Isnin, 4 November 2013

Persedian dan tips hafazan Al-Quran.




Beberapa persediaan menjayakan Hafazan Al-Quran
Sebelum menghafal
1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafal
2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafal.
3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafal.
4. Berada dalam keadaan tenang.
5. Kosongkan fikiran sebelum menghafal.
6. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafal.
8. Membaca ayat 164 surah Al-Baqarah sebelum mula menghafal.
Teknik Menghafal

A. Teknik "Chunking"
1. Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
2. Memisah-misahkan selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
3. Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
4. Memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu', cerita dan sebagainya.
5. Memisah-misahkan Al-Qur'an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.

B. Teknik Mengulang
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafal bahagian Al-Qur'an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.

C. Teknik Tumpu dan Ingat
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mati dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.

D. Teknik Menghafal Dengan Seorang Teman
1. Pilih seorang teman yang sama minat.
2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.

E. Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari' yang baik bagi seluruh Al-Qur'an atau beberapa qari' bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari' tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari' tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur'an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.

F. Teknik Merakamkan Suara
1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafalan yang betul.
2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafalnya.

G. Teknik Menulis
1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu', atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.

H. Teknik "Pointers" dan "Keyword"
1. Buat beberapa kotak.
2. Setiap kotak merupakan satu mukasurat.
3. Catit dalam kotak tersebut beberapa perkataan yang menjadi keyword bagi mukasurat tersebut.
4. Merenung dan membayangkan kotak tersebut dalam ingatan.

I. Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisi-nya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.

J. Teknik "Mindmaping"
1. Bagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu rubu'. Tulis ayat pertama rubu' tersebut dicabangnya.
2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau rubu'.
3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi rubu'.


Mengekalkan Hafalan
1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
4. Kerjakan solat Taqwiyatul hifz.
5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau ngantuk.
8. Menulis setiap ayat yang mutashabih.

Selasa, 27 Ogos 2013

Ciri Pendidik Berkesan dan Berkualiti.



Pendidik Berkesan dan Berkualiti.

Dalam berusaha mencari keredhaaNYA dan izinNYA dapat saya tintakan seadanya beberapa  ciri pendidik yang berkesan (Highly Effective Teachers).

A.  Pengetahuan mendalam tentang SubjectMatter.

  • Guru berkesan mempunyai latihan dan pembangunan kemahiran dalam bidang akademik yang diajarnya.
  • Mereka bekerja kuatuntuk memastikan pengetahuan dan kemahirannya terkini dan tepat (sharp).

 B.  Perancangan Instructional Guru yang baik menyediakan RancanganPengajaran in advance supaya masamengajar tidak terbazir.

  • Merekabekerjasama memastikan standard pengajaran dan standard prestasi yangdicapai pelajar berada pada aras yg tinggi

C.  Pengetahuan tentang Pentaksiran dan Penilaian

  • Guru berkesan mempunyai program yang sistematik untuk mentaksir kejayaan usahanya sendiri dan usaha pelajar melakukan perubahan. 
  • Mereka mengelak menilai pelajar secara arbitrary tanpamengetahui objektif pembelajaran dan standard yang perlu dicapai.

D.  Memahami Pelajar dan bagaimana mereka belajar.

  •  Guru berkesan percaya setiap pelajar boleh belajar. (jangan membebel dalam bilik guru dengan memburukkan pelajar yang lemah dan tiada kesediaan belajar. Ingat anda dibayar untuk mendidik, bukannya mengossip.)
  • Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran yg berbeza. One size does not fit all.
  • Guru berkesan merancang pengajarannya sesuai dgn keperluan individu dan seluruh pelajardalam kelas.
 E.  Memotivasi pelajar utk belajar.

  • Guru berkesan tidak sentiasa berdiri di depan kelas dan bersyarah. 
  • Mereka mencipta peluang pembelajaran melalui kerja hands-on, aktiviti dlm kumpulan kecil, bimbingan rakan sebaya dan pengajaran individu.
  • Membuat pembelajaran menyeronokkan melalui pengajaran yg menarik dan relevant. 
  • Murid jua digalakkan berinteraksi secara formal dan hikmah. 
F. Mencipta bilik darjah yg selamat, produktif dan terurus.
  • Guru berkesan faham bahawa disiplin yang tegas menyumbang suasana akademik yang sihat. 
  • Ini dicipta melalui kehadiran, ketepatan waktu, hormat guru dan murid lain serta good conduct. 
  • Guru yg baik faham bahawa murid respond kepada arahan yang konsisten, adil dan tersusun/teratur.
G.  Celik Teknologi.

  • Guru berkesan faham dan terlatih bagaimana menggunakan state-of-the-art technology. 
  • Mereka mengintegrasi teknologi ke dalam pengajaran.
  • Mereka faham bahawa teknologi boleh menjadi alat untuk meningkatkan minat, motivasi dan pencapaian murid.
H.  Memahami dan Mengiktiraf Kepelbagaian(Diversity).

  • Guru berkesan jelas ekspektasi dan komunikasinya bahawa semua murid boleh berjaya mencapai apa sahaja yang dihajati mengikut kebolehan masing-masing. 
  • Guru yang baik mempunyai toleransi sifar kepada diskriminasi, prejudis, perkauman, buli dan pencabulan. Mereka menyemai rasa ingintahu dan hormat menghormati antara kaum, jantina dan budaya.
I.  Mempromosi Hubungan Rumah- Sekolah-Komuniti.
  • Guru berkesan berusaha mengetahui muridnya secara individu dan membina keterbukaan serta jambatan antara rumah dan bilik darjah.
  • Mereka mencipta berbagai rangkaian komunikasi dengan ibu bapa dan ahli masyarakat.
  • Mereka melihat murid secara keseluruhan dan menyedia bantuan dan rujukan kepada yg menghadapi masalah di luar sekolah.
J.  Komitmen kepada Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Pembangunan Professional.

  • Guru berkesan boleh bekerja dan merancang secara kolaboratif dgn guru lain. 
  • Mereka sentiasa berkembang dan belajar. 
  • Mereka memotivasi antara satu sama lain dan berkongsi kejayaan. 
  • Tiada antara mereka yang menganggap dirinya sebagai pakar tetapi sebagai pelajar sepanjang hayat.

Jumaat, 23 Ogos 2013

KEPERIBADIAN TAWADUK



1.0      KEPERIBADIAN MULIA INSAN MUSLIM - TAWADUK.

 1.1    Sesungguhnya, kebahagiaan dan kemuliaan sejati adalah dimiliki oleh kekasih-kekasih Allah, iaitu insan-insan yang ketika di dunia selalu bermuragqqauabah kepada Allah SWT dengan melakukan segala perintah-Nya, tanpa rasa jemu dan hanyalah semata-mata   kerana Allah SWT.

1.2     Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:
“Orang yang cerdik lagi berakal ialah orang yang merendahkan dirinya (dengan sifat tawaduk), di samping menghisabkannya dan beramal untuk selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, ialah orang yang mengikut nafsunya dan bercita-cita kepada Allah beberapa cita-cita (angan-angan).” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah)

1.3     Sifat tawaduk juga memungkinkan kita mudah  mendapat pertolongan saat-saat berdepan kesulitan dari Allah SWT. Hal ini menggambarkan jiwa yang subur dengan ketulusan dalam segenap tindakan dan amalan dilakukan sekali gus terhindar daripada perbuatan suka menunjuk-nunjuk atau takbur dengan helah dan agenda peribadi songsang.

1.4     Jika diperhatikan penjelasan Rasulullah SAW, ternyata merendah diri sama sekali tidak menjadikan seseorang itu hina bahkan diangkat oleh Allah SWT di tempat yang tinggi seperti mana maksud hadis:

“Tidak akan berkurang harta yang disedekahkan dan Allah tidak akan menambah bagi seorang hamba yang pemaaf melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah melainkan akan Allah angkat darjatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

1.5     Namun masih ada segelintir masyarakat yang belum faham maksud tawaduk sehingga menjadi gambaran dan ukuran mereka ialah gaya berjalan yang perlahan tidak bermaya atau tidak mahu berhias dengan mengenakan pakaian yang bagus.

1.6     Hakikatnya, konsep tawaduk mengikut agama bukanlah sesempit itu. Apa yang dijelaskan agama ialah tunduk patuh kepada kebenaran dan menerima kebenaran itu.

1.7     Seperti pernah disuarakan Ibn Atha’,:
tawaduk adalah orang yang menerima (dengan lapang dada) dan mengakui kebenaran daripada orang lain.

1.       Fudhail bin Iyadh pula menambah:
 “Rendah hati untuk kebenaran, menyelamatkan diri untuk kebenaran, dan menerima kebenaran dari orang lain. Sebaliknya, orang yang menolak kebenaran dengan apapun alasannya adalah suatu bentuk kesombongan.”

1.9     Syeikh Ahmad Ibn ‘Athaillah dalam kitab Al-Hikam berkata,:
orang yang tawaduk tidak marah apabila dicaci atau diejek, tidak benci apabila dituduh sombong, tidak tamak dengan harta atau pangkat dan tidak pernah berasa dirinya termasuk orang yang disegani setiap orang.


2.0     PENGERTIAN TAWADUK.


2.1     Tawaduk adalah memilih jalan tengah di antara dua sikap yang tidak baik dan membinasakan. Iaitu sikap membesarkan diri (takbur /sombong) dan sifat terlalu merendah diri yang memberi kesan kehinaan kepada diri seseorang.

2.2     Sikap tawaduk ini juga boleh diertikan sebagai meletakkan sesuatu/ mengambil sesuatu tindakan bersesuaian dengan keadaannya.

2.3     Tawaduk atau merendahkan diri serta bercampur gaul itu, tidak menyebabkan kurangnya harga diri jika dibandingkan dengan darjat orang yang takbur atau bongkak dengan sebab ilmu pengetahuannya atau keagamaannya.

2.4     Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya bertawaduk, sehingga tidak ada seorang pun yang menyombong dirinya terhadap orang lain dan tidak ada seorangpun yang menganiaya terhadap orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

2.5     Tawaduk adalah sikap  merendah diri yang bersumber rasa memiliki kekuatan, kemuliaan, penghormatan pada orang lain, dan bukannya rendah diri yang bersumber dari rasa memiliki kekurangan, kelemahan, kehinaan, dan keperluan kepada orang lain (inferiority complex).

2.6     Sikap ini adalah sifat yang mulia warisan nabi-nabi, rasul-rasul, sahabat dan tabiin sejak zaman dahulu kala. Sikap ini haruslah bersandarkan pada niat yang ikhlas kerana ada kalanya manusia bersikap tawaduk namun tertipu oleh syaitan kerana di dalam hatinya masih terselit keinginan bahawa perbuatannya itu dipandang mulia oleh manusia lain.

2.7     Orang yang berusaha agar dirinya selalu dicintai orang lain, atau mengharap dirinya adalah orang yang baik pada mata umum. Sebenarnya ia tertipu dengan perasaannya. Yang penting hanya keredhaan ALLAH yang wajib diusahakan.

2.8     Tawaduk juga akan melenyapkan sikap berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri bagi menjayakan episode cakap nak menang (yang merupakan jua tanda-tanda munafik) .

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membangga diri.”
(Surah Luqman, ayat 18)

2.9     Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan supaya umat Islam menghiasi diri dengan sifat tawaduk secara instikomah.

Sabda Baginda SAW :

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.”
(Hadis riwayat Muslim)

3.0     PENAMPILAN SIFAT TAWADUK.


Insan yang memiliki sifat tawaduk akan berfikir, berperasaan dan mengambil tindakan-tindakan seumpama berikut:

3.1     Menerima dengan redha ketetapan dan taqdir Allah SWT kepada dirinya walaupun dilihat tidak bersesuaian dengan kehendak dirinya sendiri.

3.2     Bersangka baik dengan Allah SWT dengan menganggap bahawa sesuatu ketentuan itu adalah untuk kebaikan dirinya. Seorang itu juga perlu memahami bahawa disebalik sesuatu kebaikan yang akan dikurniakan kemudian, pasti terlebih dahulu dikurniakan dugaan.

3.3     Mentaati perintah dan hukum Allah SWT tanpa mempersoal atau memprotes. Contoh yang sering dibahaskan adalah mengenai kewajipan menutup aurat, poligami dan hukum hudud dan qisas.

3.4     Merendah diri adalah tuntutan agama. Oleh itu, menjadi kewajipan semua mukmin memiliki dan mengamalkannya tanpa mengira tempat atau keadaan sepanjang langkah hayat dikandung badan.

3.5.    Mengerjakan amal fardhu dan sunat dengan merendah diri, merasa bimbang  dan mengharap amalan itu diterima oleh Allah SWT.

3.6.    Mengaitkan atau mengembalikan setiap pujian yang diberikan kepada Allah SWT dengan mengucapkan syukur kepada Allah ( Alhamdulillah) dengan kefahaman yang jelas dan bukan sekadar kata perbualan biasa /retorik.

3.7.    Mendahulukan amanah dan suruhan Allah SWT (usaha dakwah keIslaman, keimanan dan keinsanan) dari hal-hal keduniaan dan kepentingan diri sendiri.
Mengutamankan risalah Rasullah SAW dalam amalan, pekerjaan, kemasyarakatan urusan kenegaraan dan seumpannya .

3.8     Mengutamakan, memuliakan Rasulullah SAW dan sunnah baginda SAW (surah, sirah, sarirah) dengan mengamalkannya dan tidak beranggapan bahawa sunnah itu sesuatu yang telah lapuk dan tidak sesuai lagi diaplikasikan di zaman ini.

Mereka yang selalu merendah diri, Rasulullah SAW melihatnya sebagai orang yang memiliki keinsafan tinggi dan kesempurnaan akal serta menonjolkan identiti mukmin yang diredhai Allah SWT.


3.9     Tidak bersikap sombong terutamnya  terhadap  golongan yang lebih lemah, miskin atau rendah status /jawatan dari kita.
Tawaduk adalah merendah, lawan dari sombong dan takabbur.
Tawaduk adalah ketundukan yang bersumber rasa memiliki kekuatan, kemuliaan, penghormatan pada orang lain, dan bukannya ketundukan yang bersumber dari rasa memiliki kekurangan, kelemahan, kehinaan, dan keperluan kepada orang lain.

Manakala seorang manusia merasa bahwa dirinya adalah hamba Allah yang mulia, dan ketawadukan yang ditunjukkan kepada saudara-saudaranya yang mukmin adalah jua merupakan ketaatannya dalam tawadu kepada perintah Allah SWT.
Justeru itu, insan tawaduk sebegini akan merasa kemanisan memiliki kemuliaan dan keluhuran. ( bukan kehinaan dan kejahilan yang diamalkan oleh mereka yang hipokrit  lagi fasik).

3.10   Ikral muslimin adalah garis rujuk dalam urusan semua golongan masyarakat tanpa mengira tahap dan kedudukan mereka.

Mereka yang diamanahi dengan jawatan pemimpin sesebuah organisasi perlu menerapka amalan kehidupan muslim sepenuhnya dan sesekali tidak diuja/ terpedaya dengan amalan setempat yang tersongsang akidahnya.

Warisi staf  yang anda pimpin sehaluan dengan tuntutan yang dibawa hanya oleh Rasullah. Inilah masanya anda membuat pilihan samada memilih:

hati yang diredha lagi dirahmati oleh Allah SWT
atau
poket yang penuh terisi subahat, kemungkaran lagi kezaliman.
Rasulullah selalu mengulurkan tangan mengajak bersalaman kepada setiap orang, baik orang kaya maupun miskin, anak-anak maupun orang dewasa, orang yang berkulit hitam mahu pun berkulit putih.
Beliau selalu mendahului dalam mengucapkan salam. Jika beliau diundang walaupun oleh orang yang asing, beliau pasti memenuhi undangan tersebut. Tidak pernah beliau menghina makanan yang dihidangkan di dalam undangan, walaupun hanya sepotong roti atau segelas air.

3.11. Tidak menganiayai orang lain.
Penganiayaan yang jelas sukar kita lihat dewasa kini. Penindasan alaf  akhir zaman kelihatan mendapat sokongan malah tajaan di kalangan ahli akedemik sendiri. Memperolehi sanjungan ibarat firaun lahnatullah menjadi impian mereka. Sesiapa yang mengikut telunjuk mereka akan diistiharkan cemerlang dan aset kepada organisasi. Insan yang hanya ingin menyebarkan risalah Rasullah SAW akan menjadi pengugat mereka.

3.12   Tidak menunjuk-nunjuk ketinggian ilmu, rezeki yang melimpah ruah, maulad yang dinikmati  dan kemahiran kepada orang ramai. Elakkan daripada memperlekehkan hasil kerja orang lain dan membandingkan dengan hasil kerja sendiri.

3.13   Tidak bertengkar atau berbahas-bahas tentang perbezaan pandangan kumpulan masing-masing seolah-olah tidak ada jalan tengah di antaranya ataupun menganggap golongan lain kafir dan murtad. Utamakan sikap menang-menang ke arah kebenaran risalah Rasullah SAW. Jangan berbahas dengan orang yang bodoh sombong, sebaiknya tinggalkan mereka dengan doa (agar mereka mendapat hidayah) dan sangkaan baik.

3.14   Menghormati guru yang menyampaikan ilmu walaupun mempunyai pandangan yang berbeza dengan guru berkenaan dengan menunaikan hak mendengar terlebih dahulu. Jangan cepat melabel orang sesat atau kufur. 

Mengaji dan mengkaji ilmu yang diterima dengan tapisan akal fikiran yang waras melalui pembelajaran daripada  guru mursyid  bersanadkan Rasullah SAW. Doakan mereka yang terbabas dari landasan agama Islam, mendapat hidayah. Dan mereka yang benar, didoakan semakin bertakwa dalam menjalankan urusan Rasullah SAW iaitu dakwah ke arah kebenaranNya.

3.15   Merasakan perlu kepada orang yang diberi khidmat (ditolong ). Elakkan  merasakan orang lain memerlukan diri anda  dan tanpa diri anda hadir sama akan mengakibatkan  semua kerja tidak dapat dilakukan (penyakit perasaan ujub).  

3.16.  Menerima teguran dengan hati yang redha kerana/hanya Allah SWT. Walau pun yang menegur adalah orang yang lebih rendah status / superiority dari dirinya.

3.17   Sanggup menerima pertolongan dan bantuan dari seorang yang dianggap musuh/ tidak digemari (membuang ego diri).

Imam Ali as sebagai pemimpin yang memimpin lima puluh organisasi, beliau yang dianugerahkan dengan segala kebesaran dan kemuliaannya, masih suka berjalan di laluan-laluan sempit, membantu orang-orang yang memerlukan, dan hanya mengenakan pakaian sederhana.
Beliau membawa sendiri barang-barang keperluannya. Ketika orang-orang datang kepadanya menawarkan bantuan, “Wahai Amirul Mukminin, biar kami yang membawanya, ” beliau menolaknya seraya berkata, “Penanggung jawab keluarga lebih berkewajiban membawanya.”

3.18   Perlu menerima kenyataan bahawa ada orang yang lain yang  lebih baik dari dirinya.

3.19   Mengaku kesalahan diri dan meminta maaf. Tidak menganggap bahawa memberi maaf itu petanda kalah atau kelemahan diri dan lebih mengutamakan memperbaiki hubungan dari menegakkan kebenaran. 

JANGAN pula menjadikan maaf sebagai satu proses untuk menyelamatkan diri dan terlepas dari hukuman.
JANGAN paksa individu lain yang telah anda khianati/aniaya untuk memaafkan anda. Anda perlu redha menerima kifarah. Bertaubatlah setulusnya dengan berusaha tidak subahat melakukan atau mengulanginya.
(Adakah anda melakukan lagi polisi  memulaukan, mengadu domba, menyebahkan fitnah atau menganiaya individu yang tidak memaafkan anda?)

3.20   Bermuzakarah secara profesional dan hikmah serta  tidak menyerang peribadi lawan untuk menjatuhkannya.
Ingat, setiap perbuatan anda akan dipertanggung jawabkan dihadapan Allah SWT. 
MAMPUKAH anda mempunyai hujah releven lagi benar apabila di hadapan Tuhan yang Maha Berkuasa Di Hari Pembalasan kelak.

Insan perlu yang selalu menghiasi diri dengan sifat suka merendah diri atau tawaduk akan menyerlahkan keperibadian yang luhur. Sesungguhnya ia adalah sifat para nabi, sahabat dan orang soleh yang perlu dipraktikkan seluruh umat Islam.

3.21   Memuliakan orang alim (yang hanya membawa risalah Rasullah SAW) dan mendahulukan mereka dalam setiap perkara.

3.22   Tidak memperlihatkan harta kekayaan yang dimiliki dengan tujuan menandingi orang lain.

3.23. Tidak berbangga-bangga dengan kecintaan seseorang terhadap dirinya.

.24.    Tidak taksub dengan pendapat kumpulan sendiri sehingga menutup pintu muzakarah atau menyebabkan orang lain sukar /tidak berani menegur kesalahan kita.

3.25   Tidak mencari alasan untuk mengHALAHkan apa-apa keSALAHan dan PECAH AMANAH yang telah dilakukan dengan mengemukakan pendapat pihak-pihak lain yang menyokong.
Adakah anda menjadi penaung atau perancang aktiviti atau sesuatu sistem yang menyebabkan teraniayanya anak-anak yatim, fakir, miskin mahupun ibu-ibu tunggal.

Masih hebatkah anda di sisi Allah SWT setelah anda gunakan wang asnad ini, membantutkan peluang mereka malah merampas hak mereka untuk belajar, makan, hidup selesa dan menafikan keperluan mereka untuk beribadat.

Masih bergelar Islamkah anda, jika anda menggunakan hak asnad ini bagi menjayakan agenda songsang anda, mendewakan dan menghiburkan orang atasan anda dan menyediakan keselesaan hanya untuk diri sendiri, ahli kerabat dan tidak ketinggalan penghasut-penghasut setia anda.

Komunis dan bintang tiga diistiharkan sebagai pengkhianat negara. Apakah pula pingat gelaran yang harus diberikan kepada anda dan mereka yang sewaktu dengannya.

4        KEPENTINGAN TAWADUK.

Seorang yang memilik sifat tawaduk akan:

1.       Mendapat keredaan dan rahmat dari Allah SWT di dunia dan diakhirat.

2.                 Ilmu yang dipelajari dari mana-mana guru mudah masuk meresap ke dalam hati.

3.                 Menggalakkan pengamalan dari ilmu yang diperolehi dan bukannya sekadar bahan untuk perbahasan bagi menunjukkan kelancaran lidah dan ketinggian ilmu.

4.                 Membuka jalan untuk melihat kesilapan diri sekaligus memperbaiki dan memajukan diri.

5.       Disenangi ramai orang. Bersikap tawaduk kepada manusia mencakup banyak hal diantaranya: 
Anda menjadikan diri Anda sepadan (tidak lebih tinggi) dengan mereka. 
Manusia akan tertarik dan suka kepada orang yang merendah di hadapannya, dan sebaliknya akan lari dan menjauh dari orang yang bersikap sombong di hadapannya.
Termasuk tawaduk adalah Anda sama-sama melakukan apa yang mereka lakukan, tidak mengistimewakan diri Anda di tengah-tengah teman Anda, dan memberikan kepada manusia apa yang Anda suka jika Anda diberi.

6.                 Dihormati teman dan musuh. (ANDA SOPAN SAYA SEGAN)

7.                 Dijauhi dari sifat bongkak dan sombong.

8.                 Rezeki dari sumber yang suci dan tiada unsur penganiayaan.

9.                 Contoh dan ikutan kepada orang lain untuk meperbaiki diri.

10.            Mendapat darjat ibadah yang tinggi.


5.0     CARA MENDAPATKAN SIFAT TAWADUK

1.       Tidak taksub dengan pendapat kumpulan sendiri sehingga menutup pintu muzakarah atau menyebabkan orang lain sukar menegur kesalahan kita.

2.       Memandang kebaikan orang lain walaupun kelemahan orang itu terlampau banyak berbanding kebaikannya.

3.       Melihat kelemahan diri sendiri walaupun mempunyai pelbagai kelebihan yang diiktiraf ramai orang.

4.       Menjadikan kritikan musuh sebagai cermin untuk melihat kelemahan diri sendiri.

5.       Memahami bahawa sesuatu kejayaan tidak akan kita perolehi tanpa izin dari Allah SWT.

6.       Membiasakan diri mengaitkan sesuatu kebaikan yang kita perolehi dengan kekuasaan dan keizinan dari Allah SWT dan bukannya asbab usaha diri kita sendiri.

5.       Berkawan dengan orang yang lemah/kekurangan berbanding diri kita untuk menimbulkan rasa syukur (bukan untuk membangga diri) dan memuliakan mereka bukannya untuk membenamkan lagi perasaan rendah diri yang mereka sedia ada.

6.       Mengamalkan sunnah dengan hidup sederhana dan tidak bermewah-mewah dengan keindahan dan harta dunia.

7.       Mengurangkan perhiasan dan kemasan di dalam rumah kerana dikuatiri dengan pujian dari tetamu akan menimbulkan rasa bangga diri dan lalai dengan percakapan dunia.

8.       Merujuk sesuatu permasalahan kepada orang yang lebih berpengalaman atau lebih tua sebelum mengambil keputusan.

9.       Mengambil kira pandangan staf atau rakan sepejabat sebelum sesuatu keputusan diambil ditempat kerja dan tidak menggunakan kuasa untuk memaksa mereka melakukan sesuatu yang membebankan atau diluar kemampuan mereka.

10.     Menghormati hak jiran tetangga dan elakkan kelakuan yang menyakiti hati mereka. Perselisihan dengan jiran jangan pula dijadikan bahan jajaan bagi meraih simpati atau populariti murahan.  

11.     Elakkan membiasakan diri dengan helah bela diri (defend mechanism). Contoh helah bela diri adalah seseorang itu mengemukakan satu pendapat, apabila dilihatnya orang lain tidak menyokongnya, maka dia memberi apa-apa dalih untuk menyokong dirinya tetapi tidak pula mengaku kelemahan pendapat atau tindakannya.

12.     Sentiasa beranggapan bahawa seseorang yang kelihatan jahil dan lalai itu berpotensi untuk menjadi lebih baik dari diri anda dan mungkin dipilih Allah untuk berada di kalangan orang yang dikasihiNya.

13.     Tidak menghina orang lain atas kejahilan dan kelemahan mereka dan sentiasa menganggap bahawa mereka mempunyai alasan atau latar belakang yang tidak menyokong mereka untuk mengambil tindakan yang betul.

14.     Memenuhi undangan walaupun si pengundang menjemput anda atas perantaraan orang lain dan redha dengan apa sahaja makanan yang dihidangkan.

15.     Membiasakan diri melakukan setiap pekerjaan sendiri atau membantu pembantu rumah sekiranya mereka letih.

16.     Menghormati suami walaupun si isteri lebih berpelajaran dan bergaji besar berbanding si suami.