Jumaat, 23 Ogos 2013

KEPERIBADIAN TAWADUK



1.0      KEPERIBADIAN MULIA INSAN MUSLIM - TAWADUK.

 1.1    Sesungguhnya, kebahagiaan dan kemuliaan sejati adalah dimiliki oleh kekasih-kekasih Allah, iaitu insan-insan yang ketika di dunia selalu bermuragqqauabah kepada Allah SWT dengan melakukan segala perintah-Nya, tanpa rasa jemu dan hanyalah semata-mata   kerana Allah SWT.

1.2     Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:
“Orang yang cerdik lagi berakal ialah orang yang merendahkan dirinya (dengan sifat tawaduk), di samping menghisabkannya dan beramal untuk selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, ialah orang yang mengikut nafsunya dan bercita-cita kepada Allah beberapa cita-cita (angan-angan).” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah)

1.3     Sifat tawaduk juga memungkinkan kita mudah  mendapat pertolongan saat-saat berdepan kesulitan dari Allah SWT. Hal ini menggambarkan jiwa yang subur dengan ketulusan dalam segenap tindakan dan amalan dilakukan sekali gus terhindar daripada perbuatan suka menunjuk-nunjuk atau takbur dengan helah dan agenda peribadi songsang.

1.4     Jika diperhatikan penjelasan Rasulullah SAW, ternyata merendah diri sama sekali tidak menjadikan seseorang itu hina bahkan diangkat oleh Allah SWT di tempat yang tinggi seperti mana maksud hadis:

“Tidak akan berkurang harta yang disedekahkan dan Allah tidak akan menambah bagi seorang hamba yang pemaaf melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah melainkan akan Allah angkat darjatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

1.5     Namun masih ada segelintir masyarakat yang belum faham maksud tawaduk sehingga menjadi gambaran dan ukuran mereka ialah gaya berjalan yang perlahan tidak bermaya atau tidak mahu berhias dengan mengenakan pakaian yang bagus.

1.6     Hakikatnya, konsep tawaduk mengikut agama bukanlah sesempit itu. Apa yang dijelaskan agama ialah tunduk patuh kepada kebenaran dan menerima kebenaran itu.

1.7     Seperti pernah disuarakan Ibn Atha’,:
tawaduk adalah orang yang menerima (dengan lapang dada) dan mengakui kebenaran daripada orang lain.

1.       Fudhail bin Iyadh pula menambah:
 “Rendah hati untuk kebenaran, menyelamatkan diri untuk kebenaran, dan menerima kebenaran dari orang lain. Sebaliknya, orang yang menolak kebenaran dengan apapun alasannya adalah suatu bentuk kesombongan.”

1.9     Syeikh Ahmad Ibn ‘Athaillah dalam kitab Al-Hikam berkata,:
orang yang tawaduk tidak marah apabila dicaci atau diejek, tidak benci apabila dituduh sombong, tidak tamak dengan harta atau pangkat dan tidak pernah berasa dirinya termasuk orang yang disegani setiap orang.


2.0     PENGERTIAN TAWADUK.


2.1     Tawaduk adalah memilih jalan tengah di antara dua sikap yang tidak baik dan membinasakan. Iaitu sikap membesarkan diri (takbur /sombong) dan sifat terlalu merendah diri yang memberi kesan kehinaan kepada diri seseorang.

2.2     Sikap tawaduk ini juga boleh diertikan sebagai meletakkan sesuatu/ mengambil sesuatu tindakan bersesuaian dengan keadaannya.

2.3     Tawaduk atau merendahkan diri serta bercampur gaul itu, tidak menyebabkan kurangnya harga diri jika dibandingkan dengan darjat orang yang takbur atau bongkak dengan sebab ilmu pengetahuannya atau keagamaannya.

2.4     Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya bertawaduk, sehingga tidak ada seorang pun yang menyombong dirinya terhadap orang lain dan tidak ada seorangpun yang menganiaya terhadap orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

2.5     Tawaduk adalah sikap  merendah diri yang bersumber rasa memiliki kekuatan, kemuliaan, penghormatan pada orang lain, dan bukannya rendah diri yang bersumber dari rasa memiliki kekurangan, kelemahan, kehinaan, dan keperluan kepada orang lain (inferiority complex).

2.6     Sikap ini adalah sifat yang mulia warisan nabi-nabi, rasul-rasul, sahabat dan tabiin sejak zaman dahulu kala. Sikap ini haruslah bersandarkan pada niat yang ikhlas kerana ada kalanya manusia bersikap tawaduk namun tertipu oleh syaitan kerana di dalam hatinya masih terselit keinginan bahawa perbuatannya itu dipandang mulia oleh manusia lain.

2.7     Orang yang berusaha agar dirinya selalu dicintai orang lain, atau mengharap dirinya adalah orang yang baik pada mata umum. Sebenarnya ia tertipu dengan perasaannya. Yang penting hanya keredhaan ALLAH yang wajib diusahakan.

2.8     Tawaduk juga akan melenyapkan sikap berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri bagi menjayakan episode cakap nak menang (yang merupakan jua tanda-tanda munafik) .

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membangga diri.”
(Surah Luqman, ayat 18)

2.9     Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan supaya umat Islam menghiasi diri dengan sifat tawaduk secara instikomah.

Sabda Baginda SAW :

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.”
(Hadis riwayat Muslim)

3.0     PENAMPILAN SIFAT TAWADUK.


Insan yang memiliki sifat tawaduk akan berfikir, berperasaan dan mengambil tindakan-tindakan seumpama berikut:

3.1     Menerima dengan redha ketetapan dan taqdir Allah SWT kepada dirinya walaupun dilihat tidak bersesuaian dengan kehendak dirinya sendiri.

3.2     Bersangka baik dengan Allah SWT dengan menganggap bahawa sesuatu ketentuan itu adalah untuk kebaikan dirinya. Seorang itu juga perlu memahami bahawa disebalik sesuatu kebaikan yang akan dikurniakan kemudian, pasti terlebih dahulu dikurniakan dugaan.

3.3     Mentaati perintah dan hukum Allah SWT tanpa mempersoal atau memprotes. Contoh yang sering dibahaskan adalah mengenai kewajipan menutup aurat, poligami dan hukum hudud dan qisas.

3.4     Merendah diri adalah tuntutan agama. Oleh itu, menjadi kewajipan semua mukmin memiliki dan mengamalkannya tanpa mengira tempat atau keadaan sepanjang langkah hayat dikandung badan.

3.5.    Mengerjakan amal fardhu dan sunat dengan merendah diri, merasa bimbang  dan mengharap amalan itu diterima oleh Allah SWT.

3.6.    Mengaitkan atau mengembalikan setiap pujian yang diberikan kepada Allah SWT dengan mengucapkan syukur kepada Allah ( Alhamdulillah) dengan kefahaman yang jelas dan bukan sekadar kata perbualan biasa /retorik.

3.7.    Mendahulukan amanah dan suruhan Allah SWT (usaha dakwah keIslaman, keimanan dan keinsanan) dari hal-hal keduniaan dan kepentingan diri sendiri.
Mengutamankan risalah Rasullah SAW dalam amalan, pekerjaan, kemasyarakatan urusan kenegaraan dan seumpannya .

3.8     Mengutamakan, memuliakan Rasulullah SAW dan sunnah baginda SAW (surah, sirah, sarirah) dengan mengamalkannya dan tidak beranggapan bahawa sunnah itu sesuatu yang telah lapuk dan tidak sesuai lagi diaplikasikan di zaman ini.

Mereka yang selalu merendah diri, Rasulullah SAW melihatnya sebagai orang yang memiliki keinsafan tinggi dan kesempurnaan akal serta menonjolkan identiti mukmin yang diredhai Allah SWT.


3.9     Tidak bersikap sombong terutamnya  terhadap  golongan yang lebih lemah, miskin atau rendah status /jawatan dari kita.
Tawaduk adalah merendah, lawan dari sombong dan takabbur.
Tawaduk adalah ketundukan yang bersumber rasa memiliki kekuatan, kemuliaan, penghormatan pada orang lain, dan bukannya ketundukan yang bersumber dari rasa memiliki kekurangan, kelemahan, kehinaan, dan keperluan kepada orang lain.

Manakala seorang manusia merasa bahwa dirinya adalah hamba Allah yang mulia, dan ketawadukan yang ditunjukkan kepada saudara-saudaranya yang mukmin adalah jua merupakan ketaatannya dalam tawadu kepada perintah Allah SWT.
Justeru itu, insan tawaduk sebegini akan merasa kemanisan memiliki kemuliaan dan keluhuran. ( bukan kehinaan dan kejahilan yang diamalkan oleh mereka yang hipokrit  lagi fasik).

3.10   Ikral muslimin adalah garis rujuk dalam urusan semua golongan masyarakat tanpa mengira tahap dan kedudukan mereka.

Mereka yang diamanahi dengan jawatan pemimpin sesebuah organisasi perlu menerapka amalan kehidupan muslim sepenuhnya dan sesekali tidak diuja/ terpedaya dengan amalan setempat yang tersongsang akidahnya.

Warisi staf  yang anda pimpin sehaluan dengan tuntutan yang dibawa hanya oleh Rasullah. Inilah masanya anda membuat pilihan samada memilih:

hati yang diredha lagi dirahmati oleh Allah SWT
atau
poket yang penuh terisi subahat, kemungkaran lagi kezaliman.
Rasulullah selalu mengulurkan tangan mengajak bersalaman kepada setiap orang, baik orang kaya maupun miskin, anak-anak maupun orang dewasa, orang yang berkulit hitam mahu pun berkulit putih.
Beliau selalu mendahului dalam mengucapkan salam. Jika beliau diundang walaupun oleh orang yang asing, beliau pasti memenuhi undangan tersebut. Tidak pernah beliau menghina makanan yang dihidangkan di dalam undangan, walaupun hanya sepotong roti atau segelas air.

3.11. Tidak menganiayai orang lain.
Penganiayaan yang jelas sukar kita lihat dewasa kini. Penindasan alaf  akhir zaman kelihatan mendapat sokongan malah tajaan di kalangan ahli akedemik sendiri. Memperolehi sanjungan ibarat firaun lahnatullah menjadi impian mereka. Sesiapa yang mengikut telunjuk mereka akan diistiharkan cemerlang dan aset kepada organisasi. Insan yang hanya ingin menyebarkan risalah Rasullah SAW akan menjadi pengugat mereka.

3.12   Tidak menunjuk-nunjuk ketinggian ilmu, rezeki yang melimpah ruah, maulad yang dinikmati  dan kemahiran kepada orang ramai. Elakkan daripada memperlekehkan hasil kerja orang lain dan membandingkan dengan hasil kerja sendiri.

3.13   Tidak bertengkar atau berbahas-bahas tentang perbezaan pandangan kumpulan masing-masing seolah-olah tidak ada jalan tengah di antaranya ataupun menganggap golongan lain kafir dan murtad. Utamakan sikap menang-menang ke arah kebenaran risalah Rasullah SAW. Jangan berbahas dengan orang yang bodoh sombong, sebaiknya tinggalkan mereka dengan doa (agar mereka mendapat hidayah) dan sangkaan baik.

3.14   Menghormati guru yang menyampaikan ilmu walaupun mempunyai pandangan yang berbeza dengan guru berkenaan dengan menunaikan hak mendengar terlebih dahulu. Jangan cepat melabel orang sesat atau kufur. 

Mengaji dan mengkaji ilmu yang diterima dengan tapisan akal fikiran yang waras melalui pembelajaran daripada  guru mursyid  bersanadkan Rasullah SAW. Doakan mereka yang terbabas dari landasan agama Islam, mendapat hidayah. Dan mereka yang benar, didoakan semakin bertakwa dalam menjalankan urusan Rasullah SAW iaitu dakwah ke arah kebenaranNya.

3.15   Merasakan perlu kepada orang yang diberi khidmat (ditolong ). Elakkan  merasakan orang lain memerlukan diri anda  dan tanpa diri anda hadir sama akan mengakibatkan  semua kerja tidak dapat dilakukan (penyakit perasaan ujub).  

3.16.  Menerima teguran dengan hati yang redha kerana/hanya Allah SWT. Walau pun yang menegur adalah orang yang lebih rendah status / superiority dari dirinya.

3.17   Sanggup menerima pertolongan dan bantuan dari seorang yang dianggap musuh/ tidak digemari (membuang ego diri).

Imam Ali as sebagai pemimpin yang memimpin lima puluh organisasi, beliau yang dianugerahkan dengan segala kebesaran dan kemuliaannya, masih suka berjalan di laluan-laluan sempit, membantu orang-orang yang memerlukan, dan hanya mengenakan pakaian sederhana.
Beliau membawa sendiri barang-barang keperluannya. Ketika orang-orang datang kepadanya menawarkan bantuan, “Wahai Amirul Mukminin, biar kami yang membawanya, ” beliau menolaknya seraya berkata, “Penanggung jawab keluarga lebih berkewajiban membawanya.”

3.18   Perlu menerima kenyataan bahawa ada orang yang lain yang  lebih baik dari dirinya.

3.19   Mengaku kesalahan diri dan meminta maaf. Tidak menganggap bahawa memberi maaf itu petanda kalah atau kelemahan diri dan lebih mengutamakan memperbaiki hubungan dari menegakkan kebenaran. 

JANGAN pula menjadikan maaf sebagai satu proses untuk menyelamatkan diri dan terlepas dari hukuman.
JANGAN paksa individu lain yang telah anda khianati/aniaya untuk memaafkan anda. Anda perlu redha menerima kifarah. Bertaubatlah setulusnya dengan berusaha tidak subahat melakukan atau mengulanginya.
(Adakah anda melakukan lagi polisi  memulaukan, mengadu domba, menyebahkan fitnah atau menganiaya individu yang tidak memaafkan anda?)

3.20   Bermuzakarah secara profesional dan hikmah serta  tidak menyerang peribadi lawan untuk menjatuhkannya.
Ingat, setiap perbuatan anda akan dipertanggung jawabkan dihadapan Allah SWT. 
MAMPUKAH anda mempunyai hujah releven lagi benar apabila di hadapan Tuhan yang Maha Berkuasa Di Hari Pembalasan kelak.

Insan perlu yang selalu menghiasi diri dengan sifat suka merendah diri atau tawaduk akan menyerlahkan keperibadian yang luhur. Sesungguhnya ia adalah sifat para nabi, sahabat dan orang soleh yang perlu dipraktikkan seluruh umat Islam.

3.21   Memuliakan orang alim (yang hanya membawa risalah Rasullah SAW) dan mendahulukan mereka dalam setiap perkara.

3.22   Tidak memperlihatkan harta kekayaan yang dimiliki dengan tujuan menandingi orang lain.

3.23. Tidak berbangga-bangga dengan kecintaan seseorang terhadap dirinya.

.24.    Tidak taksub dengan pendapat kumpulan sendiri sehingga menutup pintu muzakarah atau menyebabkan orang lain sukar /tidak berani menegur kesalahan kita.

3.25   Tidak mencari alasan untuk mengHALAHkan apa-apa keSALAHan dan PECAH AMANAH yang telah dilakukan dengan mengemukakan pendapat pihak-pihak lain yang menyokong.
Adakah anda menjadi penaung atau perancang aktiviti atau sesuatu sistem yang menyebabkan teraniayanya anak-anak yatim, fakir, miskin mahupun ibu-ibu tunggal.

Masih hebatkah anda di sisi Allah SWT setelah anda gunakan wang asnad ini, membantutkan peluang mereka malah merampas hak mereka untuk belajar, makan, hidup selesa dan menafikan keperluan mereka untuk beribadat.

Masih bergelar Islamkah anda, jika anda menggunakan hak asnad ini bagi menjayakan agenda songsang anda, mendewakan dan menghiburkan orang atasan anda dan menyediakan keselesaan hanya untuk diri sendiri, ahli kerabat dan tidak ketinggalan penghasut-penghasut setia anda.

Komunis dan bintang tiga diistiharkan sebagai pengkhianat negara. Apakah pula pingat gelaran yang harus diberikan kepada anda dan mereka yang sewaktu dengannya.

4        KEPENTINGAN TAWADUK.

Seorang yang memilik sifat tawaduk akan:

1.       Mendapat keredaan dan rahmat dari Allah SWT di dunia dan diakhirat.

2.                 Ilmu yang dipelajari dari mana-mana guru mudah masuk meresap ke dalam hati.

3.                 Menggalakkan pengamalan dari ilmu yang diperolehi dan bukannya sekadar bahan untuk perbahasan bagi menunjukkan kelancaran lidah dan ketinggian ilmu.

4.                 Membuka jalan untuk melihat kesilapan diri sekaligus memperbaiki dan memajukan diri.

5.       Disenangi ramai orang. Bersikap tawaduk kepada manusia mencakup banyak hal diantaranya: 
Anda menjadikan diri Anda sepadan (tidak lebih tinggi) dengan mereka. 
Manusia akan tertarik dan suka kepada orang yang merendah di hadapannya, dan sebaliknya akan lari dan menjauh dari orang yang bersikap sombong di hadapannya.
Termasuk tawaduk adalah Anda sama-sama melakukan apa yang mereka lakukan, tidak mengistimewakan diri Anda di tengah-tengah teman Anda, dan memberikan kepada manusia apa yang Anda suka jika Anda diberi.

6.                 Dihormati teman dan musuh. (ANDA SOPAN SAYA SEGAN)

7.                 Dijauhi dari sifat bongkak dan sombong.

8.                 Rezeki dari sumber yang suci dan tiada unsur penganiayaan.

9.                 Contoh dan ikutan kepada orang lain untuk meperbaiki diri.

10.            Mendapat darjat ibadah yang tinggi.


5.0     CARA MENDAPATKAN SIFAT TAWADUK

1.       Tidak taksub dengan pendapat kumpulan sendiri sehingga menutup pintu muzakarah atau menyebabkan orang lain sukar menegur kesalahan kita.

2.       Memandang kebaikan orang lain walaupun kelemahan orang itu terlampau banyak berbanding kebaikannya.

3.       Melihat kelemahan diri sendiri walaupun mempunyai pelbagai kelebihan yang diiktiraf ramai orang.

4.       Menjadikan kritikan musuh sebagai cermin untuk melihat kelemahan diri sendiri.

5.       Memahami bahawa sesuatu kejayaan tidak akan kita perolehi tanpa izin dari Allah SWT.

6.       Membiasakan diri mengaitkan sesuatu kebaikan yang kita perolehi dengan kekuasaan dan keizinan dari Allah SWT dan bukannya asbab usaha diri kita sendiri.

5.       Berkawan dengan orang yang lemah/kekurangan berbanding diri kita untuk menimbulkan rasa syukur (bukan untuk membangga diri) dan memuliakan mereka bukannya untuk membenamkan lagi perasaan rendah diri yang mereka sedia ada.

6.       Mengamalkan sunnah dengan hidup sederhana dan tidak bermewah-mewah dengan keindahan dan harta dunia.

7.       Mengurangkan perhiasan dan kemasan di dalam rumah kerana dikuatiri dengan pujian dari tetamu akan menimbulkan rasa bangga diri dan lalai dengan percakapan dunia.

8.       Merujuk sesuatu permasalahan kepada orang yang lebih berpengalaman atau lebih tua sebelum mengambil keputusan.

9.       Mengambil kira pandangan staf atau rakan sepejabat sebelum sesuatu keputusan diambil ditempat kerja dan tidak menggunakan kuasa untuk memaksa mereka melakukan sesuatu yang membebankan atau diluar kemampuan mereka.

10.     Menghormati hak jiran tetangga dan elakkan kelakuan yang menyakiti hati mereka. Perselisihan dengan jiran jangan pula dijadikan bahan jajaan bagi meraih simpati atau populariti murahan.  

11.     Elakkan membiasakan diri dengan helah bela diri (defend mechanism). Contoh helah bela diri adalah seseorang itu mengemukakan satu pendapat, apabila dilihatnya orang lain tidak menyokongnya, maka dia memberi apa-apa dalih untuk menyokong dirinya tetapi tidak pula mengaku kelemahan pendapat atau tindakannya.

12.     Sentiasa beranggapan bahawa seseorang yang kelihatan jahil dan lalai itu berpotensi untuk menjadi lebih baik dari diri anda dan mungkin dipilih Allah untuk berada di kalangan orang yang dikasihiNya.

13.     Tidak menghina orang lain atas kejahilan dan kelemahan mereka dan sentiasa menganggap bahawa mereka mempunyai alasan atau latar belakang yang tidak menyokong mereka untuk mengambil tindakan yang betul.

14.     Memenuhi undangan walaupun si pengundang menjemput anda atas perantaraan orang lain dan redha dengan apa sahaja makanan yang dihidangkan.

15.     Membiasakan diri melakukan setiap pekerjaan sendiri atau membantu pembantu rumah sekiranya mereka letih.

16.     Menghormati suami walaupun si isteri lebih berpelajaran dan bergaji besar berbanding si suami.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan