Khamis, 4 Oktober 2012

Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan.






                                               
 KANDUNGAN







1. Keunikan Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan  demokrasi berperlimen dan raja berpelembagaan daan sejarah awalnya.
2. Demokrasi berparlimen.
3. Struktur Parlimen Malaysia.
4. Sistem Demokrasi di Malaysia.
5. Ciri-ciri Demokrasi Berparlimen
6. Perlembagaan.
7. Keluhuran perlembagaan.
8  Kepentingan perlembagaan.
9. Ketertinggian Perlembagaan Malaysia
10. Pindaan perlembagaan.
11. Raja Berpelembagaan.
12.  Kuasa perintahan. 
13.  Badan Perundangan (Legislatif)
14.  Badan Pelaksana (Eksekutif)
15.  Badan Kehakiman (Judisiari)
16.  Pilihan raya.
17. Parti-parti ploitik di Malaysia.
18. Negara persekutuan.
19. Kerajaan persekutuan.
20. Kerajaan negeri.
21. Lambang-lambang negara.
22. Jata negera.
23. Bendera kebangsaan.
24. Lagu kebangsaan.
25. Rumusan.
26. Rujukan.



1. Keunikan Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan  demokrasi berperlimen dan raja berpelembagaan daan sejarah awalnya.
1.1       Keunikan Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berperlimen dan raja berpelembagaan akan akan dikupas melalui beberapa aspek iaitu konsep demokrasi berparlimen, struktur Parlimen Malaysia, sistem demokrasi di Malaysia, ciri-ciri demokrasi berparlimen, perlembagaan, keluhuran perlembagaan, kepentingan perlembagaan, ketertinggian Perlembagaan Malaysia, pindaan perlembagaan, konsep Raja Berpelembagaan, kuasa perintahan, badan Perundangan (Legislatif), badan Pelaksana (Eksekutif), badan Kehakiman (Judisiari), pilihan raya, parti-parti ploitik di Malaysia, negara persekutuan, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, lambang-lambang negara, jata negera, bendera kebangsaan dan lagu kebangsaan.
1.2       Sejarah awal Malaysia bermula dengan kewujudan manusia awal berusia 40,000 tahun yang ditemui di Kompleks Gua Mulu dan kompleks gua niah, Sarawak. Secara dasarnya sejarah negara ini telah melalui empat zaman utama sejarah manusia iaitu Prasejarah, Proto Sejarah, Zaman Pertengahan dan Zaman Kolonial.
1.3       Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui pelabuhan di Selat Melaka. . Penemuan beberapa tapak arkeologi  Zaman Proto Sejarah membuktikan wujud petempatan pesisiran pantai seawal abad ke-2 Masihi lagi. Ia membawa kepada kemunculan kerajaan awal sebelum abad ke-10 adalah merupakan penemepatan pesisir pantai dan pelabuhan kecil. Ini  termasuk  Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Gangga Negara di Perak, dan Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat Melaka.
1.4       Manakala di Borneo pula, kewujudan kerajaan purba Marudu sebelum abad ke-13 Masehi dan Santubung lebih awal lagi membuktikan telah wujud entiti politik yang mendahului kewujudan Kesultanan Brunei dan kesultanan Sulu.
1.5       Penempatan terawal British di Malaysia bermula dengan pendudukan Pulau Balambangan pada tahun 1769 hasil dari perjanjian dengan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Manakala penempatan Selat Koloni DiRaja Britain diwujudkan pada 1826, dan Britain sedikit demi sedikit menyebarkan pengaruh dan kawalannya ke atas seluruh semenanjung. Penempatan Selat termasuk Pulau Pinang, Singapura dan Melaka.. Pada 1867, Inggeris menjadi semakin agresif dan mula mendapatkan negeri negeri Melayu yang lain. Disebabkan perang saudara, gangguan persatuan sulit Cina, Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah masalah penduduk Negeri Selat. Akhirnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke negeri negeri Melayu (iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikenali juga Negeri-negeri Bersekutu). Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Tidak Bersekutu ialah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu  berada di bawah kuasa Thai.
1.6       Di Borneo pula, Borneo Utara yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu sekarang Sabah) telah berada dibawah pajakan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada tahun 1881 sehingga 1946 apabila ia ditabalkan sebagai Koloni Diraja British. Manakala Sarawak menjadi milik keluarga  Brooke sebelumnya.
1.7       Akibat penaklukan  Jepun pada Perang Dunia II dan kebangkitan komunis, kesedaran untuk merdeka semakin menyerlah dan kuat. Perkara ini amat dikhuatir oleh British khususnya dalam menjaga kepentingannya dan masyarakat imigran. justeru British mewujudkan Malayan Union, masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-Melayu, menolak kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal (berbanding dwiwarganegara, yang membolehkan kaum pendatang mendapat status warganegara Malaya dan negara asal mereka). Kemerdekaan untuk semenanjung diperolehi pada 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya, tanpa Singapura.
1.8       Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak. Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei.. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan menakluk Malaysia, dan tuntutan oleh Filipina terhadap Sabah. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan berlakunya rusuhan kaum pada 1969.

2. Demokrasi berparlimen.
2.1       Parlimen Malaysia melambangkan keutuhan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
2.1.1    Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan maksud Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.
2.1.2    Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.
2.1.3    Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa. Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis 2.1.4           Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.
2.1.5    Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.
2.1.6    Parlimen Persekutuan mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dua Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.
2.1.7    Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang kemudiannya. Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu. Walau bagaimanapun, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan itu dari masa ke semasa.
2.1.8    Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat pertamanya selepas Pilihanraya Umum.
2.1.9    Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen, Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan Rakyat hendaklah diadakan, dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya.

3. Struktur Parlimen Malaysia.
3.1       Pemerintahan Malaysia yang bercirikan demokrasi berperlimen dan raja berpelembagaan yang unik kerana Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen:-
· Yang Di-Pertuan Agong
· Dewan Negara
· Dewan Rakyat
3.2       Setiap negara mempunyai kaedah dan sistem pemerintahan yang tersendiri.
Terdapat berbagai nama yang diberikan untuk menggambarkan bentuk pemerintahan sesebuah negara seperti demokrasi, sosialis, monarki dan lain-lain. Dalam sistem berkenaan, terdapat jenis pemerintahan yang membenarkan penglibatan rakyat dalam mengurus dan mengemudi pemerintahan negara.
3.3       Sementara itu terdapat juga pemerintahan yang tidak memberi ruang kepada rakyat untuk terlibat dalam urusan pemerintahan negara.
3.4       Sistem pemerintahan demokrasi amat bermakna bagi sesebuah negara yang mendaulatkan kebebasan rakyat. Ianya menggambarkan suatu sistem yang memberi keutamaan kepada suara dan kehendak majoriti rakyat. Istilah popular demokrasi “kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat”.
3.5       Unsur penting dalam demokrasi ialah “pemerintahan rakyat”. Dalam sistem demokrasi yang berkuasa ialah rakyat. Demokrasi mempunyai makna yang bertentangan dengan autokrasi. Dalam autokrasi, rakyat tidak boleh bersuara dan tidak dibenarkan terlibat dalam urusan pemerintahan negara.

4. Sistem Demokrasi di Malaysia.
4.1       Pemerintahan Malaysia mengamalan pemerintahan demokrasi berparlimen dengan raja berpelembagaan seperti dinyatakan dalam perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.
4.2       Dalam sistem ini, kuasa perundangan Persekutuan terletak kepada Parlimen yang mengandungi Yang Di-Pertuan Agong dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.Parlimen mempunyai kedudukan tertinggi dan merupakan badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang dan dasar-dasar.
4.3       Dalam demokrasi berparlimen, rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin dan kerajaan. Wakil yang dipilih oleh rakyat sama ada bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri akan bertanggungjawab serta bertindak untuk memperjuangkan kepentingan rakyat yang diwakilinya. Amalan memilih pemimpin dan kerajaan dalam demokrasi berparlimen ini dibuat melalui pilihanraya.
4.4       Pilihanraya merupakan salah satu saluran penglibatan warganegara dalam membuat keputusan politik. Melalui pilihanraya, rakyat diberi hak bagi memberi mandat kepada sesuatu seperti parti untuk membentuk kerajaan. Kuasa rakyatlah yang akan menentukan parti yang akan memerintah negara serta membentuk corak pembangunan dan masa depan rakyat.

5.  Ciri-ciri Demokrasi Berparlimen
5.1        Negara demokrasi lahir daripada perjuangan berasaskan kedaulatan rakyat. Umumnya terdapat dua corak pemerintahan negara demokrasi, iaitu sistem Raja Berperlembagaan dan Sistem Republik.
5.2.      Malaysia telah memilih dan mengamalkan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
5.3.      Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara manakala Raja-Raja Melayu menjadi lambang taat setia rakyat.
5.4.      Sistem Raja Berperlembagaan, merupakan pemerintahan yang mengekalkan raja sebagai pemerintah tertinggi negara dan negeri yang dibantu oleh Perdana Menteri.
5.5       Sementara sistem Republik menolak institusi beraja. Kerajaan ini diketuai oleh presiden yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.

6.   Perlembagaan.
6.1.      Pemerintahan Malaysia bercirikan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan secara langsung menjadikan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan.
6.2.      Perlembagaan dijadikan dokumen rasmi dan di dalamnya terkandung segala peraturan dan prinsip sebagai panduan kerajaan untuk melaksanakan kuasanya dan mentadbir negara.
6.3.      Parti politik yang memerintah akan mengetahui hala tuju pentadbiran negara dan hal ini menjamin kerajaan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat melalui peruntukan yang terkandung di dalamnya.
6.4.      Perlembagaan Malaysia yang diperkenalkan pada 16 September 1963 mengandungi 183 perkara.
6.5.      Perlembagaan ini mengandungi pelbagai peruntukan seperti Senarai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, Institusi Yang di-Pertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Badan Kehakiman.
6.6       Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan, Perlembagaan Malaysia telah membuat pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
6.7.      Negeri-negeri yang bergabung dalam persekutuan Malaysia diberikan hak, kuasa dan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri.

7.   Keluhuran perlembagaan.
7.1       Pemerintahan Malaysia  mengamalkan keluhuran perlembagaan yang merupakan prinsip Rukun Negara yang ketiga yang  bermaksud keagungan dan ketertinggian undang-undang atau perlembagaan itu sendiri.
7.2.      Keluhuran Perlembagaan Malaysia mengatasi Yang di-Pertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Mahkamah. Ini bermakna semua jenis undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia adalah tidak sah.
7.3       Maka, undang-undang negeri mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 75 menyatakan, undang-undang negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal dengan sendirinya.
7.4       Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk membatalkan akta yang diluluskan di luar bidang kuasa Parlimen atau bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia. Mahkamah berkuasa menentukan kesahihan setiap undang-undang bagi menjamin keluhuran dan ketertinggian Perlembagaan Malaysia.

8.  Kepentingan perlembagaan.
8.1.      Pemerintahan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan mementingkan perlembagaan yang berperanan untuk menjamin kestabilan sesebuah negara dengan menentukan rangka dan bentuk pentadbiran agar wujud kecekapan, keadilan, ketulusan serta kelancaran.  Setiap pemimpin memerlukan panduan semasa memerintah supaya pemerintahannya menepati kehendak perlembagaan dan aspirasi rakyat.
8.2.      Perlembagaan Malaysia menjamin taat setia rakyat dengan memegang matlamat yang sama supaya semangat patriotisme dapat dibentuk.
8.3       Perkara 24 Perlembagaan Malaysia menyatakan seseorang yang mempunyai kerakyatan negara lain akan dilucutkan kewarganegaraannya. Perkara 25 pula menyatakan bahawa seseorang warganegara boleh dilucutkan kerakyatannya jika terbukti tidak setia kepada negara ini. Tujuannya supaya rakyat memberikan sepenuh ketaatan kepada tanah air untuk mengekalkan identiti negara dan bangsa Malaysia.
8.4       Perlembagaan Malaysia menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini. Setiap warganegara mempunyai hak asasi dan kebebasan seperti berpersatuan, beragama dan memiliki harta. Maka rakyat mengetahui had kebebasan di sisi undang-undang.
8.5       Perlembagaan Malaysia, dalam Perkara 153 memperuntukkan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga dan memelihara hak istimewa serta kedudukan orang Melayu dan bumiputera di Sarawak dan Sabah. Hak istimewa tersebut ialah pemberian jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, kemudahan pendidikan serta pemberian. lesen perniagaan dan perdagangan. Walau bagaimanapun, perlembagaan juga memastikan Perkara 153 tersebut dilaksanakan dengan berhati-hati supaya pelaksanaannya tidak mengabaikan kaum-kaum lain.
8.6.      Perlembagaan Malaysia juga menjamin kerjasama, kesepakatan, keadilan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri di mana Perlembagaan adalah  rujukan utama dalam penggubalan undang-undang persekutuan dan negeri.
8.7.      Pembahagian ini menjelaskan Perlembagaan Negeri pula tidak boleh bercangggah dengan Perlembagaan Malaysia.

9.  Ketinggian Perlembagaan Malaysia
9.1       Ketertinggian perlembagaan dilihat pada peruntukan kuasa parlimen,
kedudukan Yang di-Pertuan Agong, kuasa perundangan clan kebebasan asasi.
9.2       Parlimen memperoleh kuasa daripaca perlembagaan.Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia.

10.  Pindaan perlembagaan.
10.1.    Sejak tahun 1957 Perlembagaan Malaysia telah dipinda beberapa kali. Pindaan ini bertujuan untuk sentiasa relevan melindungi kepentingan rakyat, menjaga keselamatan negara dan melicinkan urusan pentadbiran negara.
10.2     Perlembagaan juga telah dipinda bagi melarang perkara sensitif dipersoalkan secara terbuka. Antara perkara sensitif dalam perlembagaan yang tidak boleh dipersoalkan termasuklah pemerintahan beraja,agama Islam, kedudukan bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
10.3.    Parlimen telah meluluskan pindaan Akta Hasutan 1970 yang mengehadkan seseorang individu daripada bercakap sewenang-wenangnya sehingga menyentuh perkara yang sensitif yang boleh menimbulkan perbalahan antara kaum di negara ini. Tujuannya untuk memelihara keselamatan, ketenteraman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita.
10.6. Antara pindaan besar yang telah dibuat termasuklah pemansuhan imuniti (kekebalan) bagi Yang di- Pertuan Agong dan Raja yang memerintah negeri daripada kesalahan jenayah.

11  Raja perlembagaan.
11.1.    Satu ciri unik dalam pemerintahan Malaysia ialah institusi Raja Berperlembagaan yang bermaksud sistem pemerintahan beraja mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.
11.2     Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan nasihat Perdana Menteri.  Semasa menjalankan tugasnya, baginda tidak boleh bertindak sendirian kecuali dalam perkara tertentu Yang memerlukan budi bicara baginda untuk membuat keputusan.
11.3.    Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan sembilan orang Raja Melayu daripada sembilan buah Negeri Melayu secara bergilirgilir.
11.4     Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.Yang di- Pertuan Agong Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan sejak tahun 1957. Tonggak negara dan Ketua Utama Negara.Merupakan simbol keutuhan dan perpaduan rakyat di negara ini.
11.5     Sistem ini malah membantu memantapkan kewibawaan institusi beraja di negara kita di samping memberikan keseimbangan kepada raja yang menaungi rakyat serta rakyat yang dinaungi oleh raja.

12.  Kuasa pemerintahan.
12.1.    Malaysia ialah salah sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa.
12.2.    Menurut konsep ini, kuasa pemerintahan dibahagikan kepada tiga cabang, iaitu badan perundangan, badan pelaksana clan badan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini harus dipegang oleh pihak yang berasingan untuk mengelakkan pembolotan kuasa.

13.   Badan Perundangan (Legislatif)
13.1.    Perundangan merujuk pada undang-undang yang digubal oleh badan perundangan yang dipertanggungjawabkan oleh perlembagaan. Ianya Fungsi badan perundangan adalah menggubal undang-undang bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat.  Parlimen ialah badan perundangan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang di negara kita.
13.2.    Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
13.3.    Dewan Negara atau Senat merupakan dewan tertinggi dalam sistem pemerintahan negara. Dewan Negara mengandungi 69 orang ahli. Ahli Dewan Negara yang digelar Senator i mewakili setiap negeri dan mereka dilantik tanpa melalui pertandingan dalam pilihan raya.
13.4     Seseorang Senator memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun. Senator mestilah berumur sekurang-kurangnya 30 tahun. Taraf Senator sama dengan Ahli Parlimen. Mereka boleh dilantik menjadi ahli Jemaah Menteri.
13.5.    Keahlian Dewan Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Ahlinya terdiri daripada individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkhidmatan awam, bidang profesional, atau bidang tertentu seperti perniagaan, perusahaan, pertanian, kesenian dan kebajikan, atau yang mewakili sesuatu kumpulan minoriti seperti Orang Asli.
13.9.    Dewan Rakyat merupakan dewan terpenting kerana ahlinya dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum.
13.10.  Dewan Rakyat mengandungi 219 orang ahli yang mewakili semua kawasan pilihan raya di seluruh negara. Tempoh jawatan bagi anggota ahli Dewan Rakyat ialah lima tahun.
13.12. Tugas utama Dewan Rakyat adalah menggubal dan meluluskan undang-undang pada peringkat Dewan Rakyat.
13.13. Undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dinamai Akta dan undang-undang yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri dinamai Enakmen kecuali di Sarawak dan Sabah dinamai Ordinan.

14.  Badan Pelaksana (Eksekutif)
14.1.    Jemaah Menteri atau Kabinet merupakan badan pelaksana dasar-dasar kerajaan.
14.2.    Kabinet merupakan pembuat dasar tertinggi negara. TugasJemaah Menteri atau Kabinet adalah menggubal dasar-dasar kerajaan dalam semua perkara.
14.3.    Perdana Menteri merupakan Ketua Jemaah Menteri.
14.4.    Biasanya, Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri juga mengetuai sesebuah atau beberapa kementerian.
14.5.    Setiap kementerian bertanggungjawab menggubal dasar-dasar kerajaan, merancang serta menyelaras program pembangunan ekonomi dan sosial di negara kita.
14.6.    Setiap kementerian diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik.
14.7.    Seseorang Menteri yang tidak diberikan tugas dalam kementerian tertentu dikenali sebagai Menteri Tak Berportfolio. Beliau akan diberikan tugas-tugas tertentu oleh Perdana Menteri.
14.8.    Perkhidmatan awam di Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara. Beliau bertanggungjawab mengawasi perjalanan kementerian dan jabatan kerajaan.
14.9.    Pada peringkat kementerian, pentadbirannya diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian. Beliau dibantu oleh kakitangan kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan pegawai perkhidmatan awam.
14.10. Semua kakitangan awam bertanggungjawab melaksanakan dasar dan tugas yang ditetapkan oleh kerajaan.
14.11.  Jabatan kerajaan yang diketuai oleh Ketua Jabatan yang dikenali dengan gelaran Ketua Pengarah.
14.12.  Sesebuah kementerian biasanya mempunyai jabatan pada peringkat pusat, negeri dan daerah.
14.13.  Terdapat juga badan-badan kerajaan yang dikenali sebagai badan berkanun. Badan berkanun merupakan badan separuh kerajaan yang mempunyai kuasa autonomi tertentu.
14.14.  Badan berkanun mempunyai peruntukan kewangan tersendiri.
14.15.  Badan ini ditadbir oleh sebuah Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab kepada Menteri yang berkenaan.
14.16.  Badan berkanun ini mempunyai pelbagai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk mempercepat pentadbiran dan program pembangunan di bawah rancangan lima tahun kerajaan.Beberapa contoh Badan Berkanun,Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA)
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (F RIM)
14.17.  Beberapa suruhanjaya telah ditubuhkan di negara kita untuk mengendalikan urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan pemantauan disiplin kakitangan perkhidmatan awam.
14.18.  Antaranya termasuklah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan,Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-undang dan Kehakiman, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Majlis Angkatan Tentera.

15. Badan Kehakiman (Judisiari)
15.1. Badan Kehakiman mempunyai kuasa mendengar serta menentukan perkara sivil dan jenayah.
15.2. Perkara sivil berkaitan dengan saman biasanya memerlukan afidavit.
15.3. Perkara jenayah pula melibatkan kanun keseksaan.
15.4. Badan Kehakiman boleh menentukan kesahihan undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan dan pihak badan pelaksana.
15.5. Badan kehakiman juga berkuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.
15.6. Sistem mahkamah telah diwujudkan oleh Perlembagaan Malaysia untuk melaksanakan tugas kehakiman di negara ini.
15.7. Mahkamah mempunyai kuasa mentafsirkan perlembagaan negara, mentafsirkan undang-undang, mengisytiharkan undang-undang bertulis Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan mempunyai kuasa mengisytiharkan sesuatu tindakan kerajaan tidak sah di sisi undang-undang.
15.8. Mahkamah tidak boleh meminda undang-undang kerana perkara itu merupakan kuasa badan perundangan atau Parlimen.
15.9. Sistem mahkamah di Malaysia disusun mengikut hierarki piramid. Melalui sistem ini individu atau kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan perjalanan mahkamah boleh membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi.
15.10. Semua hakim dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.
15.11. Urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan pelucutan jawatan terletak di bawah kuasa Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Seseorang hakim tidak boleh dipecat dengan sewenangwenangnya tanpa sebarang sebab yang munasabah.
15.12. Hakim tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik. Tujuannya supaya hakim dilindungi daripada pengaruh politik untuk menjamin keadilan dan kesaksamaan undang-undang.
15.13. Penasihat undang-undang kerajaan ialah Peguam Negara. Peguam Negara akan menjadi Pendakwa Raya atau Peguam Bela bagi kerajaan. Peguam Negara dibantu oleh Pegawai Perkhidmatan Undang-Undang dan Kehakiman.

16.  Pilihan raya.
16.1. Pemerintahan Malaysia memaparkan amalan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan telah menjadikan pilihan raya sebagai proses memilih wakil rakyat untuk memerintah sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan. Ini merupakan ciri penting sistem demokrasi berpalimen di Malaysia.
16.2. Pemilihan ini dilakukan secara sulit dengan menggunakan prosedur yang telus dan teratur.
16.3. Pengiraan undi dibuat secara terbuka dan keputusannya direkodkan. Calon yang mendapat undi terbanyak dikira menang yang dikenali dengan sistem majoriti mudah.
16.4. Pilihan raya di Malaysia dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ditubuhkan untuk menjamin pilihan raya yang adil dan bebas tanpa tekanan parti pemerintah atau pembangkang.
16.5 Keanggotaannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu.
16.6.    Tiga fungsi utama SPR adalah menentukan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya, menjalankan pendaftaran pemilih dan mengendalikan pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.
16.7.    Pilihan raya umum diadakan untuk memilih ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri secara serentak di seluruh Semenanjung Malaysia.
16.8.    Di Sarawak dan Sabah pula pilihan raya umum bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri diadakan secara berasingan.
16.9.    Pilihan raya kecil diadakan apabila berlaku kekosongan kerusi di mana-mana kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Kekosongan itu berlaku mungkin disebabkan hal-hal tertentu seperti kematian, peletakan jawatan dan perlucutan jawatan.
16.10. Pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung Malaysia dan 90 hari bagi Sarawak dan Sabah selepas kekosongan itu.
16.11   Warganegara Malaysia bebas memilih dan menganggotai mana-mana parti politik yang mereka gemari dan  boleh menjadi calon dan bebas untuk bertanding dalam pilihan raya.
16.12  Seseorang yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya mestilah warganegara Malaysia, berumur 21 tahun, bermastautin di Malaysia, sempurna akal, bukan orang yang muflis, tidak memegang jawatan dalam perkhidmatan awam dan tidak disabitkan dengan sesuatu kesalahan oleh mahkamah.
16.13. Seseorang warganegara akan hilang kelayakannya sebagai ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri jika  dihukum penjara tidak kurang daripada 12 bulan atau didenda tidak kurang daripada RM2000 dan belum mendapat pengampunan.
16.14. Calon-calon dalam sesuatu pilihan raya boleh bertanding atas nama parti atau atas nama individu sebagai calon bebas.
16.15. Mereka harus mengemukakan kertas penamaan calon pada hari penamaan calon.
16.16. Seseorang pengundi yang berkelayakan boleh mengundi jika namanya didaftarkan dalam Senarai Daftar Pemilih.
16.17. Menurut perkara 119 Perlembagaan Malaysia, seseorang warganegara yang berumur 21 tahun, bermastautin atau tidak bermastautin, tinggal di mana-mana kawasan pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri boleh mengundi dalam pilihan raya tersebut.
16.18. Seseorang pengundi hanya boleh mengundi dalam sebuah kawasan pilihan raya sahaja.
16.19. Perlembagaan membenarkan anggota pasukan keselamatan, pelajar di luar negara dan pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara mengundi melalui pos dengan syarat nama mereka terdaftar  sebagai pengundi.
16.20. Di negara kita, sebelum proses pengundian dijalankan, sama ada dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, calon daripada pelbagai parti yang bertanding dibenarkan berkempen dalam tempoh berkempen adalah antara tujuh hingga lima belas hari sahaja.
16.21   SPR telah menubuhkan urus setia yang diketuai oleh seorang setiausaha yang berperanan sebagai Ketua Eksekutif dan Ketua Pentadbir urus setia.
16.22   SPR dibantu oleh sekumpulan kakitangan awam. Urus setia SPR diwajibkan mengikuti garis panduan dan dasar SPR. Tujuannya untuk memastikan pilihan raya dijalankan dengan efektif dan adil.

17.  Parti-parti politik di Malaysia.
17.1. Secara umumnya parti politik merujuk kepada sekuimpulan orang yang mempunyai ideologi politik untuk mencapai matlamat bersama.
17.2. Parti-parti politik ini berjuang untuk mendapatkan kuasa. Ahli-ahlinya membayar yuran keahlian dan selalunya memberikan kesetiaan dan komitmen terhadap perjuangan parti.
17.3. Selain ideologi politik, sikap perkauman juga menjadi asas pembentukan dan penyatuan ahli-ahli parti.Contohnya Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Cina Se-Tanah Melayu (MCA)dan Kongres India Tanah Melayu (MIC) di negara kita.
17.4. Parti-parti ini ditubuhkan dengan matlamat untuk menyatukan dan memelihara kepentingan kaum masing-masing.

18. Negara persekutuan.
18.1. Pemerintahan Malaysia yang unik mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan memaparkan  Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan  yang bermaksud penyatuan beberapa buah negeri yang mempunyai sebuah Kerajaan Persekutuan serta beberapa buah Kerajaan Negeri bagi menjalankan tugas berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.
18.2. Senarai Persekutuan memuatkan bidang kuasa Persekutuan, iaitu hanya Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa terhadapnya.
18.4. Senarai Negeri mengandungi bidang kuasa yang diperuntukkan kepada negeri, iaitu Kerajaan Negeri sahaja mempunyai kuasa terhadapnya.
18.5. Senarai Bersama pula menurunkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Dalam bidang kuasa ini, kedua-dua kerajaan mempunyai kuasa terhadapnya.
18.6. Persekutuan merupakan satu kaedah menyatupadukan pelbagai wilayah yang dahulunya wujud berasingan bagi membolehkan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri diselaraskan.
18.8. Sifat ini bukan sahaja dapat membentuk Kerajaan Persekutuan yang stabil serta berwibawa dan membantu mengurangkan perbalahan antara etnik.

19.  Kerajaan persekutuan.
19.1 Keunikan pemerintahan Malaysia adalah kerana Perlembagaan Persekutuan memberikan peruntukan yang luas kepada Kerajaan Persekutuan berhubung dengan pentadbiran negara.
19.2 Badan pelaksana atau eksekutif mempunyai tugas untuk menjalankan kuasa-kuasa eksekutif mengikut perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada.
19.3 Mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa eksekutif bagi Kerajaan Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
19.4. Kabinet atau Jemaah Menteri ialah badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Yang di-Pertuan Agong.
19.5. Jemaah Menteri ini diketuai oleh seorang Perdana Menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat.

20.  Kerajaan negeri.
20.1. Perlembagaan Malaysia memperuntukkan kuasa eksekutif kepada setiap negeri. Kuasa eksekutif itu terletak pada Raja atau Sultan atau Yang Dipertua Negeri.
20.2. Menteri Besar atau Ketua Menteri dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri daripada kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
20.3. Urusan pentadbiran peringkat negeri pula terletak pada perlembagaan negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.
20.4. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Semenanjung Malaysia, Majlis Tertinggi di Sarawak dan Kabinet di Sabah mengandungi sebilangan ahli DUN serta tiga orang pegawai kerajaan (ex-officio), iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri yang berperanan menjalankan dasar pentadbiran negara pada peringkat negeri.

21. Lambang-lambang negara.
21.1. Bagi melahirkan rasa kesetiaan, kesanggupan untuk berkorban dan kecintaan terhadap tanah air lambang negara telah diwujudkan.
21.3. Antara lambang negara kita termasuklah jata negara, bendera kebangsaan dan lagu kebangsaan.
21.4. Tujuannya supaya rakyat sentiasa bersemangat, bersatu padu dan sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara Malaysia.

22. Jata negara.
22.1. Setiap negara mempunyai jata negara masing-masing. Jata negara Malaysia menjadi lambang kemegahan penduduk negara ini.
22.2. Setiap lambang pada jata negara mempunyai maksud yang tertentu.

23. Bendera kebangsaan.
23.1. Bendera kebangsaan yang dikenali sebagai Jalur Gemilang berfungsi untuk membangkitkan semangat perjuangan.
23.2. Bendera kebangsaan berkibar megah di negara kita sebaik-baik sahaja bendera Union Jack diturunkan pada tengah malam 31 Ogos 1957.
23.3. Pada tahun 1949, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu. Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan pada peringkat kebangsaan bagi memilih bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru.
23.4. Pada 28 November 1949, akhbar The Malay Mail telah menyiarkan keputusan majoriti orang ramai. Reka bentuk ciptaan Encik Mohamad Hamzah, arkitek kerajaan di Johor, telah terpilih.
23.5. Pada 22 dan 23 Februari 1950, beberapa pindaan telah dibuat terhadap reka bentuk bendera tersebut sebelum diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 19 April 1950.
23.6. Pada 19 Mei 1950, King George VI telah memperkenankan reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu.
23.7. Bendera Persekutuan Tanah Melayu berkibar buat kali pertama pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI.
23.9. Di Malaysia, Jalur Gemilang sentiasa dikibarkan dalam majlis dan adat istiadat rasmi. Misalnya, pada Hari Kebangsaan dan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, bendera Malaysia dikibarkan di semua bangunan kerajaan dan juga premis persendirian sebagai tanda ketaatan kita kepada raja dan negara.

24. Lagu kebangsaan.
24.1. Sebelum merdeka lagu kebangsaan negara kita ialah lagu kebangsaan British, iaitu God Save the Queen.
24.2. Lagu kebangsaan negara kita dikenali dengan tajuk Negaraku yang dicipta pada tahun 1957.
24.3. Pemilihan lagu ini dibuat oleh Tunku Abdul Rahman yang mengetuai sekumpulan jemaah hakim di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur.
24.4 Pasukan Pancaragam Polis Diraja telah memperkenalkan empat buah lagu. Lagu Terang Bulan, iaitu lagu kebangsaan negeri Perak telah dipilih kerana mempunyai unsur kemelayuan.
24.5 Majlis Raja-Raja Melayu telah memperkenankan keputusan jemaah hakim tersebut.
24.6. Lirik lagu kebangsaan ini telah digubah semula oleh Encik Saiful Bahri berdasarkan lagu Terang Bulan.
24.7. Lirik lagu kebangsaan negara menggambarkan kesetiaan rakyat , menuntut kita supaya bersyukur, taat kepada raja dan sanggup berkorban demi mempertahankan negara.

25. Rumusan.
25.1     Malaysia sebuah negara yang berdaulat, mempunyai keluruhan Perlembagaannya  yang tersendiri. Pelembagaan Persekutuan yang  dijunjung oleh rakyat warganegara Malaysia merupakan faktor keharmonian dan keselamatan yang dikecapi hingga kini.
25.2     Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukan bahawa kuasa dijalankan oleh 3 badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
25.3     Perkara-perkara yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan dan
perlaksanaannya adalah pada peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang
diwakili oleh ketiga-tiga badan tersebut dan keseluruh jentera pentadbiran kerajaan hingga ke kampung telah menjalinkan satu jalinan kompleks sehingga mampu mewujudkan dan mempertahankan sebuah negara yang demokratik.
25.4 Ini berlaku kerana pengasingan kuasa antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri
dan Kerajaan Tempatan mengikut syarat-syarat yang diizinkan juga menunjukkan tidak berlaku monopoli kuasa.
25.5     Akhir sekali, adalah tidak lengkap sekiranya aspek Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen jika pilihanraya tidak dibincangkan. Pilihanraya dijalankan untuk memilih wakil-wakil rakyat yang akan mengisi kekosongan di Dewan Rakyat yang akhirnya menjalankan kehendak-kehendak rakyat melalui wakil-wakil rakyat yang dipilih.

26. Rujukan.
Mahadi Shuid, Suzani Osman, Pra-U STPM Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, Longman, 2006, hlmn 230, 231, 232, 233, 234, 235, 236, 237, 238.

Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail, Zaini Othman, Kenegaraan Malaysia, Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd, 2005, hlmn  78, 79, 80, 183, 184, 185.

Raminah Hj Sabran, Wong Khek Seng, Kok Meng Kee, Ace Ahead Teks STPM Pengajian Am Kertas 1&2, Kuala Lumpur: Oxford fajar Sdn Bhd, cetakan kedua 2010, hlmn 6, 8, 9, 15,16, 17, 18, 22, 23, 24, 25, 26, 27, 28, 29, 30, 38, 39, 40, 41.

Mustapa K.S, STPM Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Federal Publiction, cetakan ketiga 2000, hlmn 125, 126.

Mustapa K.S, Strategi Kejayaan STPM Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Federal Publiction, cetakan kedua 2001, hlmn  230, 231, 251, 252, 253.

Ranjit Singh Malhi, Rujukan STPM Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, Kuala Lumpur: Federal Publiction, cetakan keempat 2001, hlmn 32, 33, 34, 35.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan