Selasa, 14 Mei 2013

BAGAIMANA ANAK ANDA BELAJAR.



Bagaimana Anak Anda Belajar

Fahami gaya pembelajaran anak anda dan bantunya belajar dengan berkesan di rumah dan di tadika.

Setiap anak belajar dengan cara yang berbeza. Sebagai ibubapa, kita harus memahami bagaimana cara anak kita belajar, apa yang mengujanya, apa yang memberi dorongan kepadanya dan apa yang dia gemar lakukan?
          
Kita boleh menggunakan maklumat ini untuk membantu anak-anak kita belajar dengan lebih berkesan. Artikel ini menunjukkan caranya.

Adakah anak anda aktif? Adakah dia suka berlakon dan membuat persembahan, dansuka menunjuk kepada orang lain apa yang boleh dilakukannya? Adakah dia sukakan kepelbagaian dan gemar mencuba cabaran baru dengan sendiri?

Anak anda adalah jenis PENGHIBUR.

Dorong kanak-kanak ini dengan mengakui dan memuji kebolehannya, terutamanya kebolehan menghibur orang lain. Beri dia peluang menjadi tumpuan perhatian dan untuk menunjukkan aksinya.

Petua Pembelajaran

    Beri arahan yang pendek dan jelas.
    Aplikasikan pelajarannya dalam kehidupan sebenar.
    Berikan dia ruang untuk bergerak dan jadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dengan menggunakan permainan dan objek.
    Rehat setiap 15-20 minit semasa sesi pembelajaran.


Adakah anak anda mudah memberi tumpuan di kelas? Adakah dia gemar sesuatu yang rutin dan konsisten? Adakah dia lebih sukakan pelajaran yang dipersembahkan dengan cara teratur?

Anak anda adalah jenis PENERBIT.

Dorong kanak-kanak ini dengan mengakui dan memuji kebolehannya untuk melakukan sesuatu dengan kemas, tepat masa dan teratur. Tetapkan rutin dan jadual rancangan, dan sentiasa mematuhinya.

Petua Pembelajaran

    Beri arahan dan penjelasan dengan cara yang teratur.
    Tandakan maklumat penting dalam buku dan nota.
    Jadualkan sesi pembelajaran dan jangan tukar jadual jika tidak perlu.


Adakah anak anda bersifat ingin tahu dan gemar mencuba dan meneroka perkara baru? Adakah dia menggunakan kreativitinya untuk menyelesaikan masalah, tidak kira berapa lama masa yang diambilnya?

Anak anda adalah jenis PENCIPTA.

Dorong kanak-kanak ini dengan mengakui dan memuji kebolehannya untuk menemui perkara baru dan menyelesaikan masalah dengan bijak.

Petua Pembelajaran

    Bincang dan bertukar pendapat mengenai pelajaran yang sedang diajar.
    Galakkan dia melukis dan membuat model, dan gunakan program komputer untuk mengajar.
    Mintanya jelaskan apa yang telah dipelajari daripada menulisnya.



Adakah anak anda suka membebel walaupun bila disuruh diam? Adakah dia gemar menghabiskan masa dengan kawankawan dan bekerja secara berpasukan? Adakah dia peka terhadap perasaan orang lain?

Anak anda adalah jenis PENGHUBUNG.

Dorong kanak-kanak ini dengan menumpu kepada kesaksamaan, nilai nilai murni dan semangat berpasukan di tadika. Hargai kebaikan dan sifat bertimbang rasanya.

Petua Pembelajaran

    Galakkan dia bermain secara berkumpulan dan berbincang mengenai pelajaran yang diajar.
    Mintanya jelaskan apa yang telah dipelajari daripada menulisnya.
    Bergilir-gilir membacakan dengan kuat kepada satu sama lain.


Adakah anak anda suka melamun atau mengusulkan idea baru? Adakah dia pendiam dan pemalu? Adakah dia cenderung kepada seni lukis dan kreativiti?

Anak anda adalah jenis PEMIKIR.

Dorong kanak-kanak ini dengan mengiktiraf kreativitinya dan memberinya peluang untuk mempamerkan karyanya.

Petua Pembelajaran

    Galakkan dia menconteng atau melukis gambar sambil belajar.
    Gunakan gambar, poster atau puisi untuk menjelaskan sesuatu subjek.
    Sediakan masa tenang untuk dia bersendirian.



Bolehkah gaya pembelajaran berubah?

Gaya pembelajaran boleh berubah sepanjang masa kanak-kanak membesar, disebabkan pengaruh dan faktor persekitaran. Malah, seseorang kanak-kanak boleh mendapat kaedah pembelajaran baru bila dia membesar, dan gaya pembelajarannya akan turut berubah.

Membantu Anak Anda Belajar Dengan Lebih Baik

Kita semua memang mahu kanak-kanak membesar dengan
sempurna dan mencapai kejayaan dalam hidupnya.
Tetapi, sebelum kanak-kanak mencapai tahap tersebut, dia perlu belajar pelbagai perkara.

Masih ingatkah lagi waktu semasa si manja berada dalam zaman bayi? Lihat, kini dia telah berupaya berlari-lari merata rumah dan menceritakan kepada anda bahawa dia telah mula belajar membaca di tadika. Anda tentu berasa sangat bangga dengannya. Besar kemungkinan anda berharap dia akan menjadi seorang pakar jantung satu hari nanti.

Sebilangan pakar percaya bahawa proses pembelajaran bermula sebelum seseorang kanak-kanak dilahirkan.
            
Bercakap dengan bayi ketika dia masih berada dalam kandungan akan menambahkan lagi harapan ibu bapa serta mengeratkan pertalian ibu bapa dengan anak pada peringkat awal. Selepas dilahirkan, si manja belajar apabila mendapat pengalaman baru dan maklumat yang membentuk personaliti, kebolehan serta tindakannya.

Pembelajaran merupakan proses sepanjang hayat dan tempoh lima atau enam tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah sangat mustahak. Perkembangan mereka di tahun-tahun formatif ini akan membuka jalan untuk kejayaan akademik, kreatif dan sosial di masa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan