Selasa, 14 Mei 2013

BAGAIMANA KANAK-KANAK BELAJAR



BAGAIMANA KANAK-KANAK BELAJAR

Kebanyakan kanak-kanak lelaki tertarik hati dengan serangga dan katak, dan kerap kali menakutkan si ibu dengan membawa haiwan kecil tersebut ke dalam rumah. Kanak-kanak perempuan pula didapati gemar mencuba alat-alat solek dan pakaian si ibu. Pada masa yang sama, kanak-kanak yang berumur tiga tahun dan ke atas sentiasa menanya pelbagai soalan, seperti “Kenapa serangga ini mempunyai enam kaki? Kenapa kasut ibu begitu besar? Kenapa ayah tidak menggunakan alat solek seperti ibu? Kenapa, ibu, kenapa?”

Semua ini menguji kesabaran ibu bapa dari masa ke masa. Walau bagaimanapun, ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak mempunyai kemahuan untuk belajar dan ingin mengambil tahu tentang perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya sebanyak mungkin. Ianya adalah salah satu keinginan semulajadi kanak-kanak untuk belajar. Mereka cuba memahami tentang dunia sekeliling melalui bertanya soalan, bermain dengan serangga atau gincu bibir. Otak mereka sebenarnya menyerap dan mencerna maklumat yang diterima, yang kemudiannya akan ditambah ke dalam kesedaran mereka dan seterusnya meningkatkan intelek kanak-kanak.



Ini bukan segala-galanya. Kanakkanak kemudiannya akan belajar menggunakan pengetahuan mereka secara aktif. Mereka perlu memahami maklumat, membuat keputusan tentang kepentingan maklumat ini dan bagaimana menggunakannya di dalam sesuatu situasi atau dalam menyelesaikan masalah.

Pakar psikologi kanak-kanak menyatakan bahawa kanak-kanak sebenarnya banyak belajar menerusi bermain. Permainan simbolik seperti ‘masak-masak’ dan ‘jamuan teh’ membantu kanak-kanak ‘mengalami’ dan memahami kehidupan dewasa.
           


Permainan memilih bentuk dan teka-teki meningkatkan kemahiran meng-analisa. Sukan dan permainan ‘formal’ seperti ‘Ular dan Tangga’ dan dam, membantu kanak-kanak belajar mematuhi peraturan.

Selain itu, kanak-kanak juga belajar melalui melakukan kerja. Kerjakerja rumah yang bermakna turut
membentuk perkembangan mental dan mengajar si manja tentang tanggungjawab dan kebebasan. Dia akan berasa seronok, lebihlebih lagi jika digalakkan menganggap ‘kerja’ sebagai satu ‘permainan’. Dia boleh melakukan kerja-kerja mudah seperti menyediakan meja makan atau mengemaskan barang permainan, yang kelihatan seperti satu permainan kepada kanak-kanak atau ‘membantu orang dewasa’. Ia membuatkan si manja merasa berguna dan ‘dewasa’.

Jika kanak-kanak baru belajar sesuatu dan amat menggemarinya, dia akan mahu melakukan perkara tersebut berulang kali. Misalnya bermain dengan tekateki yang serupa sepanjang masa. Anda mungkin merasa pelik dan tidak tahu di manakah keseronokan bermain permainan yang sama lebih dari 20 kali sedangkan si manja telah tahu cara penyelesaiannya. Tetapi ini adalah cara kanak-kanak belajar dan menyempurnakan sesuatu kemahiran.

APA YANG SI MANJA PELAJARI

Apa yang kanak-kanak pelajari di rumah membantu menyediakannya untuk masuk ke tadika. Berikan si manja permulaan yang baik dengan memperkenalkannya kepada huruf dan abjad terlebih dahulu. Baca buku bersamanya sebelum tidur sejak dari kecil lagi supaya dia akan memupuk minat terhadap pengetahuan dan cerita dari buku-buku. Dengan berbekalkan pengetahuan ini, kanak-kanak akan lebih mudah menyesuaikan diri apabila berada di tadika.



Peringkat tadika menyediakan si manja untuk masuk ke sekolah rendah, dan mengajarnya membaca, menulis dan membuat matematik. Sebenarnya sebelum kanak-kanak belajar teknik-teknik ini, dia akan belajar beberapa kemahiran asas yang penting. Salah satunya adalah berfikir. Kemahiran berfikir yang baik bermakna keupayaan untuk memproses maklumat dengan lebih berkesan. Ini akan membantu dalam proses pembelajaran seseorang kanak-kanak
           


Klasifikasi adalah salah satu kemahiran berfikir yang si manja pelajari. Dia belajar untuk membahagikan benda-benda yang mempunyai ciri-ciri yang sama.

Dia juga belajar bagaimana untuk memahami konsep relatif (‘lebih banyak’ atau ‘lebih sedikit’) dan nombor. Di samping itu, dia juga belajar kemahiran memberi sebab dan pemerhatian.

Selepas si manja belajar kemahirankemahiran berfikir tersebut, dia akan mendapati bahawa penerangan yang diberi adalah sama penting dengan jawapannya. Sebagai contoh, apabila kita memberi kanak-kanak satu set gambar yang mengandungi tiga jenis buah dan sebuah buku, dia harus memberikan sebab kenapa dia membulatkan buku sebagai benda yang tidak serupa di dalam set itu. Sebab yang diberikan mungkin kerana buku tidak boleh dimakan sedangkan buah-buahan boleh. Walaupun penerangan yang diberikan oleh kanak-kanak sangat mudah, ia menunjukkan bagaimana kanak-kanak berusaha mendapatkan jawapan. Ini adalah satu aspek yang penting dalam proses pemikiran.

Selain kemahiran memikir, si manja juga akan belajar kemahiran mengira. Kemahiran ini akan membolehkannya mamahami konsep seperti ‘besar’, ‘kecil’, ‘lebih besar’, dan ‘lebih kecil’ dengan lebih jitu. Menggunakan alat yang terdapat dalam hidup seharian (seperti alat mainan dan makanan) dalam memperkenalkan konsep tambah dan kurang adalah satu cara yang berkesan untuk kanak-kanak belajar konsep matematik asas. Tidak perlu menggunakan alat mainan yang mahal- penutup botol yang lama atau kayu aiskrim boleh digunakan. Bahasa adalah satu lagi kemahiran yang penting. Belajar berbahasa meningkatkan kemahiran literasi kanak-kanak, membolehkannya membaca, menulis dan mengekspresikan kreativitinya dengan lebih baik pada masa hadapan. Penting bagi anda memberi perhatian kepada perkembangan kemahiran si manja berbahasa, kerana kelambatan atau kegagalan mungkin merupakan petanda bagi masalah pembelajaran (lihat rencana sampingan). Bercakaplah dengan kanak-kanak dengan suara komunikasi yang biasa. Jangan gunakan percakapan ‘bayi’ atau mengikut cara percakapannya. Kemahiran belajar yang disebutkan di atas mungkin kelihatan sangat susah, tetapi ia diajar dengan cara yang menyeronokkan di tadika. Ia juga adalah asas bagi pelajaran yang lebih sukar apabila kanak-kanak masuk ke peringkat sekolah rendah.



MEMBANTU SI MANJA BELAJAR

Anda merupakan guru yang pertama dan paling berpengaruh kepada si manja. Adalah sangat penting untuk memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk belajar dari peringkat bayi lagi.

Memberi pujian adalah salah satu cara untuk memberi motivasi kepada si manja untuk belajar. Pujian patut diberikan atas setiap satu pencapaiannya.
           


Ini mungkin ketika kali pertama si manja meniarap, atau ketika kali pertama dia berupaya melukis bulatan. Pujian akan menggalakkan kemahuannya untuk belajar dan melakukan sesuatu dengan lebih baik.

Kadang-kadang kanak-kanak mungkin menghadapi kesukaran dalam mempelajari kemahiran baru. Di sini, anda perlu bersabar. Anda perlu tekun dalam membantunya. Kadangkala anda perlu melepaskan tangan dan membiarkan kanak-kanak berusaha sendiri sehingga dia mempelajarinya.

Si manja akan berasa belajar adalah menyeronokkan jika anda melibatkan diri bersamanya dalam proses tersebut. Contohnya, habiskan sekurang-kurangnya sejam sehari membaca atau berbincang tentang sesuatu perkara baru. Jika boleh, benarkan kanak-kanak membantu anda melakukan sesuatu. Dia boleh melakukan kerja-kerja rumah yang mudah manakala anda membuat yang lebih susah. Jika anda bekerja di meja, benarkan kanak-kanak duduk bersebelahan dan melukis. Dengan cara ini, kanak-kanak akan berfikir bahawa dia adalah sebahagian daripada kerja anda dan sebaliknya.

Apabila kanak-kanak sudah memasuki tadika, anda masih boleh membantu meningkatkan pelajaran serta prestasinya.

Pada peringkat tadika, si manja akan terdedah kepada pengalaman kemahiran sosial dan lebih berdikari. Pada ketika ini, dia tidak sabar-sabar menunjukkan kepada anda bahawa dia berupaya melakukan sesuatu tanpa bantuan anda. Terlalu memanjakannya tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kerana ini akan mengganggu si manja dari belajar berdikari.

Kanak-kanak mungkin memerlukan bantuan untuk membuat kerja rumah. Ini tidak bermakna anda perlu melakukannya, tetapi sebaliknya, menolong menyelesaikan kebuntuan. Bantu kanak-kanak membina kemahiran memberi sebab dan menyelesaikan masalah.

Sekiranya si manja menghadapi kerumitan ketika mempelajari sesuatu, anda tidak patut berasa marah. Jika dia berasa dirinya dipaksa untuk belajar, secara semulajadinya kanak-kanak akan tersinggung dan menolaknya. Kesulitan adalah perkara yang biasa dihadapi kanak-kanak di dalam proses pembelajarannnya. Sebilangan kanak-kanak akan belajar dengan lebih cepat berbanding yang lain. Elakkan membandingkan seseorang kanak-kanak dengan adik-beradiknya atau kawan-kawan yang lain.

Jika anda ingin tahu keadaan si manja di tadika, berbincanglah dengan gurunya. Pada masa yang sama, anda boleh berbincang tentang perkembangan si manja. Anda juga boleh mengetahui pencapaian akademik, perhubungannya dengan rakan sekelas dan bagaimana anak anda bergembira. Gurunya akan beritahu anda jika kanak-kanak tidak menunjukkan perkembangan yang normal. Anda dan gurunya bolehlah berbincang untuk menolong kanak-kanak dalam proses ini.

Kesemua ini adalah petua praktikal yang akan memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk berjaya
dengan lebih cemerlang di tadika. Apa yang dia pelajari akan membantunya di zaman persekolahan kelak.

BAHASA DAN PEMBELAJARAN

Anda mungkin pernah mendengar tentang kanak-kanak yang mengalami dyslexia dan tidak boleh membaca dengan betul. Ada kanak-kanak yang menghadapi masalah belajar matematik akibat sejenis keadaan yang dipanggil dyscalculia. Ada juga kanak-kanak yang tidak boleh berlari, melompat atau memegang pensel dengan betul kerana dia mempunyai dyspraxia.

Kanak-kanak sebegini bukan lembab atau tidak pandai. Mereka mempunyai keadaan yang dikenali sebagai masalah pembelajaran. Masalah pembelajaran disebabkan oleh masalah di dalam cara otak kanak-kanak memproses maklumat. Masalah ini mungkin memberi kesan kepada kebolehan kanak-kanak belajar.

Salah satu petanda utama masalah pembelajaran ialah kelambatan di dalam perkembangan bahasa kanak-kanak.

Kanak-kanak belajar berbahasa sejak lahir. Bahasa adalah lebih luas dari setakat kebolehan membuat bunyi. Bahasa adalah sistem simbol yang digunakan oleh kanak-kanak untuk belajar, menerangkan tentang dirinya dan bertukar-tukar maklumat.

Anda boleh mencatatkan tahap perkembangan berbahasa anak anda sejak dia lahir. Apabila kanak-kanak berusia 6 bulan, dia patut boleh menyahut percakapan kita dan mengeluarkan bunyibunyian (cooing). Ia membantu kanak-kanak belajar peraturan dalam membuat perbualan. Dia sepatutnya boleh menoleh dan melihat anda apabila anda bercakap dengannya, tersenyum sebagai balasan dan bertukar giliran untuk ‘bercakap’ dengan anda.

Apabila menjangkau 1 tahun, dia patut tahu namanya dan boleh menyebut perkataan lengkap yang pertama. Pada usia 2 tahun, dia boleh mengucapkan 2 patah perkataan seperti “mama main”. Struktur berbahasanya menjadi semakin kompleks apabila memasuki tadika dan zaman persekolahan.

Jika anak anda tidak mencapai tahap ini, bawa dia berjumpa pakar pediatrik dengan segera. Perkembangan berbahasa yang lambat adalah salah satu petanda masalah pembelajaran.

Walaupun anak anda mungkin tidak mengalami masalah pembelajaran, dia mungkin mempunyai masalah lain seperti masalah pendengaran atau masalah perkembangan yang lain contohnya autisme. Semua keadaan ini akan memberi kesan kepada pembelajaran kanak-kanak.

Jika anda syak anak bermasalah pembelajaran, jangan tunggu sehingga kanak-kanak memasuki tadika ataupun sekolah rendah. Tahuntahun sebelumnya adalah sangat penting bagi pembelajaran kanak-kanak. Mengesan masalah pembelajaran dengan awal membolehkan anda mengambil langkah-langkah yang perlu bagi membantu kanak-kanak.

Walaupun tidak ada penawar untuk masalah pembelajaran, terdapat langkah-langkah pemulihan (seperti teknik pengajaran yang tertentu) bagi membantu kanak-kanak meneruskan pembelajaran secara normal. Yang penting sekali, kanak-kanak harus sedar masalah ini bukanlah salah mereka, dan ramai orang yang menghadapi masalah pembelajaran telah mencapai pelbagai kejayaan di bidang akademik dan sukan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan