Ahad, 2 Disember 2012

Karangan Jenis Fakta/Rencana



Karangan Jenis Fakta/Rencana

Ciri-ciri karangan jenis fakta.

1. Karangan fakta ialah karangan yang diolah untuk:
            a) rnenerangkan sesuatu peraturan;
b) menerangkan proses kejadian sesuatu perkara;
c) menerangkan peranan seseorang;
d) memberi petunjuk dan arahan;
e) menerangkan sesuatu kaedah dan penggunaan ciptaan.

2. Sebuah karangan fakta yang baik mempunyai:
a) isi-isi yang tepat, padat, kukuh, dan logik;
b) contoh yang benar;
c) statistik yang tepat;
d) bahasa yang mantap, ringkas, dan mudah difahami.

3. Pendahuluan sesebuah karangan fakta diolah berdasarkan tema atau
    kunci daripada soalan yang dikemukan.

4. Isi-isi disampaikan secara tersusun dan berkesinambungan antara satu
    sama lain.

5. Penutup karangan fakta diolah dengan membuat kesimpulan
    daripada keseluruhan karangan. Penutup yang paling mudah adalah
    dengan memberikan unsur-unsur pengajaran dan nilai-nilai murni.


















Apakah peranan akhbar kepada masyarakat? Bincangkan.

Akhbar atau surat khabar merupakan satu bahan bacaan yang popular. Akhbar adalah alat sebaran am yang amat berguna kepada manusia. Akhbar diterbitkan dalam pelbagai bahasa. Di negara kita, terdapat akhbar berbahasa Malaysia, Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Akhbar mempunyai pelbagai peranan. Akhbar berfungsi sebagai penyampai maklumat kepada orang ramai. Melalui akhbar, kita dapat mengetahui berita tentang peristiwa yang berlaku di dalam dan di luar negara. Berita-berita ini meliputi berita semasa, politik, sukan, dan
sebagainya.

Selain itu, akhbar dapat memupuk semangat minat membaca di kalangan masyarakat. Dengan cara ini, manusia dapat menambah dan meluaskan pengetahuan masing-masing. Pembacaan yang meluas, dapat mengelakkan kita daripada digelar seperti “katak di bawah tempurung’.

Selain meluaskan pengetahuan sedia ada, dengan membaca surat khabar pelbagai bahasa, kita dapat memperbaiki tahap penguasaan sesuatu bahasa yakni sama ada bahasa Inggeris, Cina, Tamil mahupun Bahasa Malaysia.

Kesimpulannya, akhbar mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan kita setiap hari.

Kosa hati

Popular                     : terkenal dan di sukai ramai
Alat sebaran am   : media massa (radio, surat khabar dan sebagainya)
Diterbitkan              : dicetak dan diedarkan
Memupuk                : menjadikan / menyebabkan
Penguasaan           : Kebolehan seseorang menguasai sesuatu
Katak di bawah     : orang yang mengetahui tentang dunia atau hal
tempurung                di sekelilingnya sahaja.




Cara-cara mengekalkan permainan tradisional.

            Permainan tradisional ialah permainan yang diwarisi sejak zaman datuk nenek kita lagi. Terdapat pelbagai jenis permainan tradisional seperti sepak raga, wau, gasing, batu seremban dan sebagainya. Permainan –permainan ini perlu dikekalkan kerana permainan ini merupakan budaya yang amat bernilai.

            Banyak cara yang boleh kita lakukan untuk mengekalkannya. Langkah yang pertama ialah memberi kesedaran kepada semua, khususnya generasi muda, mengenai kepentingan permainan tradisional. Golongan muda tidak harus hanya memberikan tumpuan yang lebih kepada permainan-permainan yang moden sahaja.

            Kanak-kanak patut digalakkan bermain permainan tradisional. Jika mereka dilatih untuk menyayangi permainan ini sejak kecil, apabila dewasa nanti mereka tidak akan meninggalkan permainan-permainan ini.

            Kita perlu mengadakan pertandingan bagi menarik perhatian orang ramai seperti bermain wau, gasing, galah panjang dan seumpamanya. Dengan itu, permainan ini tidak akan dilupakan.

            Selain itu, kita juga patut berusaha untuk menjadikan permainan tradisional sebagai acara sukan dalam sukan negara atau ke peringkat antarabangsa.

            Oleh itu, setiap pihak perlu bekerjasama bagi menjayakan usaha ini. Jika tidak dikekalkan, permainan tradisional akan hanya tinggal nama sahaja nanti.

Kosa Kata :

Diwarisi          : dipusakai
Budaya         : peradaban sesuatu bangsa
Khususnya    : terutamanya
Generasi       : angkatan
Tumpuan     : perhatian




Tuliskan rencana tentang pendatang tanpa izin.

            Pendatang tanpa izin adalah sekumpulan manusia yang masuk ke dalam sesebuah negara secara haram. Golongan ini bekerja di sektor perladangan, pembinaan, perkilangan, dan sebagainya.

            Peluang pekerjaan yang banyak di Malaysia telah menarik perhatian pendatang untuk bekerja di sini. Sikap rakyat Malaysia yang terlalu memilih kerjaya menyebabkan peluang-peluang pekerjaan diambil alih oleh golongan pendatang.

            Kemerosotan ekonomi yang dialami oleh beberapa negara jiran menjadi faktor penolak mereka datang ke Malaysia. Kestabilan ekonomi dan politik menyebabkan pendatang asing begitu yakin mencari sesuap nasi di sini.

            Kedatangan pendatang tanpa izin ini menyebabkan kadar jenayah semakin meningkat. Kawasan penempatan juga semakin terhad akibat pembukaan kawasan rumah setinggan. Hal ini menyebabkan negara menghadapi masalah penempatan yang agak serius.

            Masalah pendatang tanpa izin ini kian meruncing dan perlu ditangani segera. Semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu mengatasi masalah ini agar tidak menjadi kudis kepada negara.

Kosa kata :

Sektor                        : bidang sesuatu usaha                           Kerjaya          : pekerjaan
Kestabilan    : tetap,tidak berubah                              Sesuap nasi  : rezeki
Setinggan    : pertempatan haram                             Meruncing   : serius
Kudis              : punca segala masalah                         Terhad          : terbatas

Latihan

Tuliskan sebuah karangan berkenaan masyarakat Malaysia.







Bincangkan kepentingan kegiatan ko-kurikulum di sekolah.

            Kegiatan ko-kurikulum adalah aktiviti yang dilakukan di luar kelas selepas waktu sekolah. Pelbagai kegiatan yang dijalankan oleh murid-murid. Biasanya, kegiatan ko-kurikulum ini diadakan pada sebelah petang.

             Setiap pelajar perlu menyertai kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Antaranya ialah, kita dapat mengisi masa lapang, menyihatkan badan, dan mendapat ramai kenalan.

            Jika kita mengikuti aktiviti yang diadakan, kita dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam segala kegiatan yang tidak berfaedah seperti melepak, merokok, dan sebagainya. Pendek kata, kita dapat menghindarkan diri daripada bercampur dengan budak-budak nakal.

            Ko-kurikulum juga mendidik kita agar mengamalkan sikap bertanggungjawab, berdisiplin, bekerjasama, dan lain-lain lagi. Kegiatan ini berupaya melatih kita menjadi pemimpin.

            Selain itu, kita akan mendapat kawan yang ramai. Kita boleh berkenalan dengan rakan-rakan daripada pelbagai bangsa, keturunan, dan agama tanpa mengira usia.

            Oleh itu, kita perlu menyertai kegiatan ko-kurikulum di sekolah supaya kita tidak akan rugi nanti.

Kosa kata :

Mengelakkan         : menjauhkan
Terjerumus                : terabai, terbit
Melepak                   : Membuang masa di tempat tidak berfaedah
Menghindar                        : menjauhkan
Berupaya                 : mampu


Latihan

Bincangkan tentang kepentingan sukan kepada manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan