Ahad, 2 Disember 2012

Karangan jenis laporan.



Ciri-ciri karangan jenis laporan

1. Laporan adalah maklumat sesuatu perkara atau peristiwa yang
telah berlaku dan disampaikan dengan terperinci.

2. Dalam peperiksaan lazimnya murid-murid diminta menulis laporan tentang kegiatan persatuan , lawatan , pameran , hari ucapan atau hari penyampaian hadiah.

3. Jika  anda membuat laporan bagi sesuatu persatuan, jawatan anda sama ada pengerusi , setiausaha , bendahari atau salah seorang jawatankuasa perlu dinyatakan.


4. Laporan ditulis dengan teliti , logik , tepat dan boleh diterima akal.


5. Jika anda hanya mereka-reka laporan , anda mesti memastikan laporan anda mempunyai maklumat yang lengkap.


6. Waspada dengan struktur ayat dalam laporan. Peristiwa yang dilaporkan mesti yang telah berlaku.


7. Laporan mempunyai format yang khusus.
a) mempunyai tajuk laporan – huruf pertama setiap perkataan ditulis dengan huruf besar dan digaris.
b) Kandungan laporan
c) Tanda tangan , tarikh nama pelapor – tanda tangan dan nama pelapor ditulis disebelah kiri , serta tarikh ditulis di sebelah kanan. Nama pelapor mesti ditulis dengan huruf besar , jawatan ditulis di bawah nama pelapor.






Tuliskan sebuah laporan tentang kejadian kebakaran di tempat kamu.


LAPORAN KEBAKARAN DI TAMAN SELASIH


Tarikh Kejadian       :           5 Jun 2005
Waktu                       :           Lebih kurang pukul 2.30 petang
Tempat kejadian   :           Nombor 12 A, Jalan Cempaka , Taman Selasih


            Kebakaran yang berlaku sungguh dahsyat. Kejadian ini berpunca daripada saluran gas yang bocor. Pada masa yang sama , pemilik rumah berkenaan sedang menyalakan api untuk menjerang air. Akibatnya api menyala dengan marak dalam masa yang singkat. Walaubagaimanapun pemilik rumah itu berjaya menyelamatkan dirinya.

            Beberapa minit kemudian , dua pasukan bomba datang untuk memadamkan api. Api semakin marak di bahagian dapur , kemudian merebak pula ke seluruh rumah berkenaan. Pasukan bomba berjaya mengawal keadaan dalam masa hampir 45 minit. Namun, rumah itu hangus sama sekali.

            Kerugian dianggarkan sebanyak RM 45000.00. Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

                                                                                                                        6 Jun 2005
Dilaporkan oleh ,

( INDU BARATHI )


Kosa Kata

Berpunca                 :           disebabkan oleh
Pemilik                       :           orang yang memilikinya
Marak                        :           menyala dengan lebih besar
Hangus                     :           musnah kerana dijilat api
Dianggarkan          :           dikira secara kasar sahaja
Kemalangan jiwa  :           kematian


Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu telah mengadakan pertandingan kuiz. Sebagai setiausaha persatuan tuliskan sebuah laporan mengenai pertandingan itu.


LAPORAN KUIZ PERSATUAN BAHASA MELAYU, SJKT (T) LADANG CHEMBONG

            Pertandingan Kuiz Bahasa Melayu telah diadakan pada 11 Mac 2005, jam 9.00 pagi di dewan sekolah. Sebanyak empat kumpulan iaitu kumpulan A , B , C , dan D mengambil bahagian dalam pertandingan itu. Setiap kumpulan terdiri daripada tiga orang peserta.

            Pertandingan kuiz ini diadakan sempena Minggu Bahasa sekolah. Di samping itu , pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dengan lebih meluas dan betul. Tujuan lain ialah mencari pelajar yang berkebolehan untuk mewakili sekolah dalam pertandingan kuiz peringkat daerah.

            Dalam pertandingan ini , kumpulan C , iaitu pelajar-pelajar dari Tahun 6 Tamarai telah menjadi juara. Mereka memperoleh markah sebanyak 85 mata. Kumpulan B mendapat tempat kedua dengan 79 mata. Kumpulan A mendapat tempat ketiga. Mereka memperoleh markah sebanyak 70 mata. Kumpulan D pula hanya berjaya mengumpul 69 mata.

            Ahli-ahli jawatan kuasa pertandingan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Segala kerjasama dan sokongan yang diberikan amat disanjungi.

Dilaporkan oleh,                                                                                       12 Mac 2005


( SATHIS KUMAR )
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu SJKT Ldg Chembong

Latihan

Tuliskan sebuah laporan berkenaan majlis Hari Penyampaian Hadiah yang diadakan di sekolah anda.


Karangan Jenis Cereka

Ciri-ciri karangan jenis cereka


1. Karangan jenis ini mempunyai ciri-ciri sesuatu cerita.

2. Antara ciri-ciri ialah peristiwa , watak , latar cerita , sebab  dan akibat serta jalan cerita.

3. Contoh karangan jenis ini seperti cerita pendek , cerita khayalan atau cerita jenaka.

4. Perkara yang dimaksudkan dalam cerita ialah:-
a) peristiwa – suka , duka dan ngeri
b) pengalaman – dialami sendiri sesuai dengan tajuk.

5. Jalan cerita terdapat tiga peringkat iaitu:-
a) permulaan
b) kemuncak  (klimaks)
c) kesudahan

6. Dalam cerita perlu ada unsur saspens atau ketegangan untuk mengelakkan kebosanan.

7. Cerita yang dipaparkan perlu logik dan diterima akal.

8. Penutup karangan bolehlah dimasukkan unsur nasihat dan pengajaran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan