Khamis, 29 November 2012

Karangan Jenis Menyambung Cerita.



KARANGAN JENIS MENYAMBUNG CERITA

Ciri-ciri

1. Ciri-cirinya tiada bezanya daripada karangan cereka dan cerita.

2. Bezanya adalah terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan. Contohnya, murid-murid diberi satu perenggan yang terdiri daripada dua atau tiga ayat. Ayat terakhir tidak lengkap, murid dikehendaki menyambung cerita tersebut.

3. Perkara yang ditekankan ialah jalan cerita, watak, peristiwa dan tempat.

4. Aspek-aspek yang dikemukakan perlu ada unsur ketegangan atau suspens supaya menjadi menarik. Anda bebas menentukan sendiri kesudahan ceritanya walaupun anda diberikan permulaan cerita tersebut.

5. Penggunaan bahasa kreatif seperti dialog, peribahasa dan ungkapan amat digalakkan. Ini membantu jalan cerita menjadi menarik.

 Pada suatu petang, Azmi dan Arjun pergi ke pekan untuk berjalan-jalan. Sewaktu mereka tiba di sebuah selekoh terdengar suatu jeritan yang kuat, “Tolong! Tolong! Aduh! Sakit!...” Lengkapkan cerita ini.

Pada suatu petang, Azmi dan Arjun pergi ke pekan untuk berjalan-jalan. Sewaktu mereka tiba di sebuah selekoh terdengar suatu jeritan yang kuat, “Tolong! Tolong! Aduh! Sakit!...” Azmi dan Arjun berlari menuju ke arah jeritan itu.
            Di sana mereka terjumpa seorang budak lelaki tersungkur di dalam semak sambil memegang kaki. Arjun membantu budak itu untuk berdiri tetapi budak itu menjerit apabila disentuh kakinya. Azmi mengeluarkan sapu tangan dan membalut kaki budak itu. Kemudian mereka berdua memapah budak itu ke bahu jalan raya dan menahan sebuah kereta.
            Mereka membawa budak itu ke klinik berhampiran dengan bantuan pemandu kereta tersebut. Di klinik, doktor memberitahu kaki budak itu terseliuh. Azmi menelefon ibu bapanya. Beberapa minit kemudian, ibu bapa budak itu tiba di klinik. Mereka kelihatan susah hati.
            Ibu bapa budak itu mengucapkan terima kasih kepada Azmi dan Arjun atas jasa baik mereka. Selepas dua hari, Azmi dan Arjun menerima sebuah bungkusan yang mengandungi beberapa buah buku dan kad ucapan terima kasih daripada ibu bapa budak itu.

Kosa Kata:
Bersiar-siar    - makan angin/berjalan-jalan
Tersungkur   - jatuh dengan mukanya terkena tanah
Memapah   - membantu orang berjalan sambil memegang
Terseliuh        - tergeliat/salah urat

Ali dengan tergesa-gesa menuju ke pondok telefon. Tanpa membuang masa dia menelefon balai bomba... Sudahkan cerita ini.

Ali dengan tergesa-gesa menuju ke pondok telefon. Tanpa membuang masa dia menelefon balai bomba dan memberitahu tentang kebakaran yang berlaku di kampungnya. Dalam masa sepuluh minit dua buah kereta bomba tiba d tempat kejadian.

Sederet rumah panjang di kampung Ali telah dijilat api. Api marak dengan cepat akibat angin yang bertiup kencang. Ahli-ahli bomba bertungkus lumus untuk memadamkan api dari merebak. Mereka memancutkan air ke arah rumah yang terbakar. Dalam masa setengah jam mereka berjaya memadamkan api tersebut.

Penghuni-penghuni rumah panjang itu tidak dapat menyelamatkan harta benda. Mereka tinggal sehelai sepinggang. Ketua kampung membawa mereka ke balai raya dan orang-orang kampung menghulurkan bantuan sementara kepada mereka.

Kebakaran ini telah memusnahkan sederet rumah panjang dan punca kebakaran masih dalam siatatan. Ketua kampung dan pengawai bomba mengucapkan terima kasih kepada Ali atas tindakan segeranya menelefon pihak bomba.

Kosa Kata

Tergesa-desa          - cepat-cepat
Kencang                  - kuat
Menghulurkan        - memberikan
Bantuan                   - pertolongan

Latihan
Tuliskan sebuah cerita yang bermula dengan ‘Kami berdiri untuk memberi ucapan selamat pagi kepada guru baru itu. Setelah itu ……………..


3 ulasan: