Isnin, 8 April 2013

Perdana Menteri Malaysia



Perdana Menteri Malaysia

Y.A.B Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (1981-2003) Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 20hb. Disember, 1925 bersamaan 4 Jamadilakhir 1344, di No. 18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Ayahnya, Mohamad bin Iskandar adalah guru bahasa bahasa Inggeris, dikenali dengan panggilan "Master", juga adalah Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid. Antara murid-murid ayahnya termasuklah Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Dr. Mahathir adalah anak bongsu dari sembilan adik beradik (
lima lelaki dan tiga perempuan) Ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' (Wan Mohamad Saman Canal atau Sungai Korok).

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan kemudiannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star di mana beliau tamat pelajaran menengah di peringkat Senior
Cambridge. Pada tahun 1948, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura dan lulus dengan Ijazah MBBS pada tahun 1953.

Setelah lulus, Dr. Mahathir bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau
Pinang. Pada tahun 1954, beliau dilantik menjadi pegawai perubatan dan pernah bertugas di Hospital Besar Alor Star, Pulau Langkawi dan Perlis. Pada tahun 1957, beliau meninggalkan perkhidmatan perubatan dan membuka kliniknya sendiri yang dikenali sebagai MAHA Klinik, mula-mula di Jalan Tunku Ibrahim dan kemudian berpindah ke Pekan Melayu, Alor Star. Ini merupakan klinik anak Melayu yang pertama di Alor Star.
Penglibatannya dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau bergerak cergas dalam beberapa kesatuan, antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan akhirnya dalam UMNO. Sewaktu di Universiti Malaya, Singapura beliau bersama dengan beberapa orang pelajar Melayu yang sedar telah mengemukakan satu memorandum menentang cadangan undang-undang kerakyatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perhubungan Kaum mengikut arahan British.

Dr. Mahathir buat pertama kalinya bertanding dalam pilihanraya umum sebagai calon Perikatan bagi Kawasan Parlimen
Kota Star Selatan pada tahun 1964. Dengan kemenangannya dalam pilihanraya itu, beliau menjadi seorang 'back bencher' yang aktif dalam mengemukakan berbagai pendapat dan syor untuk pertimbangan Kerajaan. Bagi menghadapi propaganda Regim Sukarno terhadap Malaysia, beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Persidangan Afro-Asian Peoples Solidarity Organisation di Ghana dan juga ke Persidangan World Assembly of Youth di Amherst, Amerika Syarikat. Pada masa itu sudah ternampak kecenderungannya terhadap satu dasar luar yang lebih bebas dan imaginatif supaya dapat menjamin keselamatan Malaysia serta penerimaannya oleh negara-negara lain.

Dalam pilihanraya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum itu, Dr. Mahathir tewas di tangan calon PAS. Beliau seterusnya dipecat dari UMNO kerana perselisihan pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7hb. Mac 1972 dan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974, beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak.
Perlantikan ini mengiktiraf minat Dr. Mahathir yang mendalam dalam bidang pengetahuan dan pendidikan. Pada tahun 1966 lagi beliau telah dilantik sebagai Pengerusi yang pertama Majlis Pelancaran Tinggi yang baru ditubuh.

Pada tahun 1972 beliau menjadi Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah menjadi Ahli Universiti Court, Universiti Malaya. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membuat banyak perubahan-perubahan ke arah memesatkan lagi perkembangan pelajaran termasuk menambah bilangan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi. Dr. Mahathir pada kemudian hari berusaha menubuhkan Universiti ke 6, dikenali dengan Universiti Utara
Malaysia.

Dengan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdul Razak pada awal tahun 1976, Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru telah melantik Dr. Mahathir sebagai timbalan Perdana Menteri. Ketika dilantik ke jawatan itu, Dr. Mahathir merupakan salah seorang Naib Presiden UMNO. Beliau mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Pelajaran. Dalam rombakan Kabinet pada 1hb. Januari, 1978, beliau berubah "portfolio" dari Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1978, Dr. Mahathir memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding dan dalam Perhimpunan Agung UMNO Jun 1981 menjadi Presiden, juga tanpa bertanding. Berikutan dengan keputusan Tun Hussein Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir secara otomatis menjadi Perdana Menteri
Malaysia yang keempat.

 

 

 

Y.A.B Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi (2003-April 2009)

emelCetakPDF
Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima pada 31 Oktober 2003.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964.

Tun Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini. Beliau adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Tun Abdullah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1984 hingga 1990, dan dipilih semula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 1999.

Tun Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa kementerian. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80), Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan (1986-87) . Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Luar sehingga Februari 1999 dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada Februari 1999.

Tun Abdullah berkahwin dengan Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Y.A.B Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak (April 2009-Kini)

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April 2009. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti.

Dato’ Sri Najib, anak sulung kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di St. John’s Institution. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran peringkat menengah di Malvern Boy’s College, Worcestershire, England. Sebaik menamatkan pendidikan peringkat menengah, Dato’ Sri Najib melanjutkan pengajian di University of Nottingham sehingga memperoleh ijazah dalam ekonomi perindustrian pada 1974.

Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat petroleum Negara, Petronas selama dua tahun. Namun pemergian bapanya pada 1976, mendorong Dato’ Sri Najib menceburi bidang politik. Beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian bapanya. Kesedihan seluruh Negara ekoran pemergian Tun Abdul Razak dan sebagai menghargai sumbangan Allahyarham kepada pembangunan negara menyaksikan Dato’ Sri Najib memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding ketika berusia 23 tahun.

Saat itulah yang merubah corak kehidupan Dato’ Sri Najib yang mencurahkan khidmatnya dalam politik dan kerajaan. Ekoran kemenangan tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen Pekan pada 1976, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos. Beliau kemudiannya dilantik Timbalan Menteri Pelajaran dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada pilihan raya umum 1982, beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Pekan dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Pahang sehingga tahun 1986.

Dato’ Sri Najib dilantik Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan ekoran kemenangannya pada pilihan raya umum 1986 apabila beliau kembali bertanding kerusi Parlimen Pekan. Di bawah terajunya, Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kali memperoleh pencapaian yang terbaik di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA). Beliau juga memperkenalkan Dasar Sukan Negara yang menggariskan pembangunan sukan dan memperkenalkan ganjaran insentif kepada atlit negara yang berjaya memenangi pingat di Sukan Olimpik.

Pada tahun 1990, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Beliau memacu Kementerian Pertahanan dengan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Usaha pemodenan yang diperkenalkannya menyaksikan Malaysia memperoleh aset-aset baru seperti pesawat buatan Rusia, MiG 29, Boeing F18 Super Hornet, kapal frigate F-2000, artileri senjata 155m dan menaik taraf sistem pertahan udara negara dengan perolehan sistem radar baru. Soal kebajikan anggota Angkatan Tentera juga diberi perhatian oleh beliau termasuk meningkatkan kemudahan perumahan dan elaun anggota.

Pada tahun 1995, Dato’ Sri Najib dilantik menerajui kementerian yang lebih mencabar, iaitu sebagai Menteri Pelajaran. Di bawah terajunya, sistem pendidikan negara mengalami perubahan yang besar termasuk memperkenalkan Akta pelajaran 1996.

Perubahan demi perubahan yang diperkenalkannya menyaksikan sistem pelajaran negara terutama institusi pengajian tinggi mengalami perubahan besar apabila mereka dibenar menawarkan kursus yang lebih banyak, kepelbagaian pilihan dan pendekatan baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Kini rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan dan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dalam pada itu, jumlah penuntut dari negara luar negara yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tempatan dan asing di negara ini juga semakin bertambah.

Malah, Dato’ Sri Najib memainkan peranan yang besar untuk memperkenalkan sistem pendidikan bertaraf dunia di Malaysia dan meletakkan negara sebagai hab pembelajaran serantau dan pusat kecemerlangan. Di sebalik itu, perhatian lebih diberikan untuk melahirkan guru-guru terlatih menerusi meningkatkan sijil perguruan kepada status diploma, supaya guru-guru dalam kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan yang lebih tinggi dan projek perumahan khas untuk guru-guru.

Pada pilihan raya umum 1999, Dato’ Sri Najib menerima keputusan mengejutkan apabila hanya memperoleh majoriti 241 undi di kawasan Parlimen Pekan yang majoriti pengundinya berketurunan Melayu, berbanding majoriti lebih 10,000 undi pada pilihan raya sebelumnya. Keputusan itu mengejutkan beliau dan para pemerhati politik. Bagaimanapun ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang amat mengejutkan memandangkan pilihan raya itu diadakan ketika suasana politik yang tidak menentu.

Selepas pilihan raya umum itu, beliau dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan untuk kali kedua dan meneruskan usaha ke arah pemodenan Angkatan Tentera, setelah negara melepasi krisis ekonomi pada 1997. Antara perolehan utama termasuk pembelian pesawat termoden buatan Rusia, Sukhoi SU30 MKM, kapal selam yang sekian lama menjadi hasrat Tentera Laut Diraja Malaysia dan kereta kebal dari Poland. Juga sistem pertahan udara negara, Jernas untuk kegunaan Tentera Darat. Bagi anggota tentera, beberapa elaun dipertingkatkan termasuk elaun penerbangan untuk juruterbang tentera udara serta kadar gaji yang lebih tinggi bagi anggota baru.

Pilihan raya umum 2004 yang diadakan beberapa bulan selepas Dato’ Sri Najib dilantik Timbalan Perdana Menteri, menyaksikan beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan dengan peningkatan majoriti mendadak iaitu 22,922 undi. Angka itu adalah majoriti tertinggi yang diperoleh pada pilihan raya berkenaan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau memenangi hati pengundi sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Pada pilihan raya umum 2008, Dato’ Sri Najib sekali lagi memenangi kerusi parlimen Pekan dengan majoriti lebih besar iaitu 26,464 undi. Ia adalah majoriti paling besar bagi Barisan Nasional di sebalik penurunan sokongan rakyat kepada BN pada pilihan raya itu.

Beliau kekal sebagai Menteri Pertahanan sehingga September 2008 apabila mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi. Pada Mac 2009, Dato’ Sri Najib memenangi jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding selepas Dato’ Seri Abdullah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu. Seterusnya pada April, Dato’ Seri Abdullah mengumumkan melepaskan jawatan Perdana menteri dan digantikan Dato’ Sri Najib yang kemudiannya mengangkat sumpah jawatan itu. Pada masa yang sama beliau masih memegang jawatan Menteri Kewangan.

Dato’ Sri Najib berkahwin dengan Datin Sri Rosmah Mansor dan dikurniakan lima cahaya mata.
PENAFIAN: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. KEMASKINI TERAKHIR: Selasa, 09 April 2013 13:05
Semua Hak Cipta Terpelihara. ©2011 KPKK. Portal ini telah dibangunkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama semua kementerian.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan