Rabu, 4 Februari 2015

Berdasarkan kemahiran yang terdapat dalam sukatan pelajaran yang dipilih, jelaskan Peringkat Pengajaran Penulisan. Bincangkan dari segi teori, model, pendekatan, keadah dan teknik yang digunakan. Laporkan hasil kajian anda dalam bentuk penulisan ilmiah.




BIL
TAJUK/TOPIK
CATATAN
1.
PENGENALAN

2.
PENINGKATAN PENGAJARAN KEMAHIRAN MENULIS

3.
PENDEKATAN PENGAJARAN PENULISAN.

4.
KAEDAH PENGAJARAN PENULISAN.

5.
TEKNIK PENGAJARAN PENULISAN.

6.
TEORI PENGAJARAN PENULISAN.

7.
MODEL PENGAJARAN PENULISAN KAEDAH BERGAMBAR DAN CARTA.

8.
RUMUSAN.

9.
RUJUKAN.





Esei ilmiah. Tugasan 1.
Berdasarkan kemahiran yang terdapat dalam sukatan pelajaran yang dipilih, jelaskan Peringkat Pengajaran Penulisan. Bincangkan dari segi teori, model, pendekatan, keadah dan teknik yang digunakan. Laporkan hasil kajian anda dalam bentuk penulisan ilmiah.
1.0       PENDAHULUAN.
1.1       Kemahiran menulis adalah di antara cabang kemahiran yang perlu dipelajari oleh manusia untuk melengkapkan proses kelangsungan berbahasa secara natural dan mudah.  Bloomfield (1933: 21) di dalam Lyons. (1995 : 253) mengatakan bahawa penulisan bukanlah bahasa, tetapi cara mencatatkan bahasa dengan tanda yang dapat dilihat.  Tanda-tanda yang dapat dilihat itulah yang dinamakan simbol atau huruf yang disatukan sehingga menjadi perkataan yang membawa makna.  Lyons (1995 : 13) mentakrifkan penulisan ialah bahasa yang disampaikan melalui bunyi atau grafik malahan melalui cara yang tidak terhingga banyaknya. Kurikulum Standard Sekolah Rendah telah dinyatakan dengan jelas bahawa kemahiran menulis adalah keperluan wajib bagi selain daripada kemahiran membaca, mengira dan menaakul yang menjadi elemen pengukuhan aplikasi untuk perlaksanaan modul-modul pembelajaran di alaf baru ini.
1.2       Keempat-empat kemahiran ini perlu melangkah seiring memandangkan keperluan pendidikan Bahasa Melayu dan mata pelajaran lain yang masih menetapkan pengukuran prestasi dan keupayaan murid-murid dinilai secara bertulis.   Menulis tidak seperti membaca memerlukan kaedah yang spesifik dan memerlukan koordinasi minda dan anggota tubuh.  Proses menulis adalah proses berterusan yang tidak tertakluk kepada pengajaran di sekolah tetapi berlangsung sepanjang hidup.
1.3       Definisi Penulisan melalui beberapa pandangan tokoh akedemik seumpama:
1.3.1    Walshe, R.D. (1981) menyebut bahawa menulis ialah proses memilih, menggabung, menyusun dan mengembangkan gagasan di dalam ayat, perenggan atau untuk persembahan lisan seperti kuliah dan syarahan secara berkesan.
1.3.2    Sukatan Pelajaran Malaysia juga menggariskan beberapa rentangan kriteria yang perlu dikuasai oleh murid-murid dalam menghasilkan pelbagai jenis penulisan yang menepati kehendak pembelajaran dan melahirkan idea yang jelas tentang kefahaman mereka terhadap apa yang mereka pelajari.  Fungsi-fungsi kemahiran tersebut termasuklah
a.         Mendirikan tapak yang berstruktur teguh dengan menggunakan modul pembelajaran terbaik agar murid-murid dapat menulis dengan baik, cekap dan pantas.
b.         Membolehkan murid-murid mengeja dan memahami perkataan serta menyusun ayat dengan betul dan boleh difahami.
c.         Membolehkan murid-murid menggunakan kemahiran menulis untuk mengulangkaji pelajarannya dengan kaedah membaca semula tulisan atau nota, draf atau teks atau membaca buku luar sebagai tambahan dan ilmu bantu untuk mengukuhkan pehamanannya terhadap pelajarannya.
d.         Memberi peluang kepada murid-murid melahirkan gagasan, hujah dan pendapat mereka secara tersusun di dalam bentuk tulisan.
e.         Mengembangkan minat menulis dan mengarang di kalangan murid-murid.  Ada kanak-kanak yang sudah mempunyai bakat tersendiri dan mempunyai kemahiran menulis tetapi tidak digilap.
f.          Memperkayakan kosa kata dan memperluaskan pengetahuan tentang bahasa dan tulisan.
g.         Menyiapkan diri murid-murid untuk menghadapi peperiksaan.
1.4       Saya jadikan rujukan berdasarkan kemahiran menulis bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 6, iaitu 8.2 Membina dan menulis ayat tunggal dan ayat majmuk dalam sesuatu penulisan teks tentang sesuatu tajuk.
Aras 3 (i) menyediakan perenggan dengan mengguna ayat.

2.0       PERINGKAT MENGAJAR KEMAHIRAN MENULIS
2.1       Kemahiran menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan ayat danmengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik dan kemas.
2.2       Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan imaginatif. Peringkatperingkat kemahiran menulis terdiri daripada :
i.          Peringkat Pra Tulis. Peringkat pra menulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti-aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf dengan kemas dan betul. Dalam tempoh ini latihan otot –otot tangan, jari dan mata serta koordinasi mata dan tangan diberi. Ia bertujuan untuk membolehkan mereka mengusai kemahiran membentuk lambang-lambang yang kemas dan jelas. Pelajaran tulisan haruslah dirancang secara sistematik dan bermula dengan peringkat pra menulis. Ia melibatkan beberapa latihan seumpama:
a) Tangan iaitu dengan mengenggam dan membuka tangan dilakukan beberapa kali, menggengam dan meronyokkan kertas, memegang benda-banda seperti pensel atau pembaris, melukis bentuk-bentuk di dalam bekas yang mengandungi pasir atau tanah dan memasang butang atau mengikat tali kasut.
b) Latihan pergerakan mata iaitu dengan menutup kedua-dua mata dengan tangan, membuka dan menyebut banda yang ditunjuk oleh guru. Seterusnya melihat benda yang dipegang oleh guru dan dibawa kekiri-kanan dan ke kiri. Akhirnya menyebut nama-nama benda kecil yang dipegang oleh guru.
c) Latihan koordinasi mata dan tangan dengan menyusun benda mengikut golongsn, bentuk warna dan ukuran. Murid diberi peluang mencantum bahagian-bahagian gambar yang terpotong serta mencantum titik. Murid juga dibimbing untuk mencantum arah jalan, memadankan gambar bagi benda-benda yang serup dan mencari benda yang tersembunyi. Membentuk lukisan ‘zig zag dan membentuk asas huruf dan nombor adalah aktiviti asas yang digemari.
ii.         Peringkat Mekanis
Kemahiran menulis secara mekanis haruslah dikuasai pada peringkat awal supaya
murid-murid dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca. Aktiviti-aktiviti
tulisn seperti membuat corak, menekap dan membentuk huruf dan sebagainya adalah
penting kerana ia bertujuan memberi latihan dan pengalaman asas yang diperlukan
supaya dapat membantu murid-murid menguasai kemahiran menulis selanjutnya seperti
kemahiran menulis suku kata, perkataan, ayat dan sebagainya. Justeru, latihan-latihan
mekanikal yang boleh dijalankan untuk mendapatkan kemahiran tersebut ialah di
antaranya melalui:
(a) Latihan pergerakan tangan, otot, jari dan membentuk atau membuat garisan-garisan,
      bulatan, segi-segi, bentuk-bentuk awan larat dan sebagainya.
(b) Tunjukkan cara pergerakan tangan, tulisan di awangan, di pasir, papan tulis dan
      sebagainya.
(c) Bermain, menyusun dan berlatih membentuk huruf dengan benda-benda seperti
      plastisin.
(d) Melatih atau menunjukkan cara membentuk huruf, menulis perkataan dan ayat.
(e) Mengawasi tulisan murid tentang bentuk, saiz, tegak atau condong, jarak dan
      kekemasan, kebersihan, dan lain-lain.
(f) Melatih menulis cepat, senang dan mudah dibaca.
(g) Melatih menulis dengan cantik.
iii.        Kemahiran Menulis Untuk Penglahiran
 Kemahiran penulisan untuk pelahiran pula biasanya dikuasai setelah kanak-kanak
mendapat kemahiran mekanis. Kemahiran ini banyak melibatkan mental. Latihan-latihan
mental yang boleh dijalankan untuk mendapat kemahiran ini ialah seperti:
(a) Latihan penyataan fikiran atau pendapat.
(b) Latihan penyataan perasaan.
(c) Latihan mengeluarkan pendapat yang tulen atau asli.
Pengajaran-pengajaran menulis terbahagi kepada tiga iaitu:
(a) Peringkat Pramenulis (persediaan)
(b) Peringkat mendirikan asas (peringkat mekanis)
(c) Peringkat untuk pelahiran
Peringkat pramenulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti-aktiviti
menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan kemas dan betul. Dalam tempoh masa ini latihan otot-otot, tangan dan jari serta koordinasi tangan dan mata diberi kepada murid awal-awal lagi. Bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran membentuk lambang-lambang dengan kemas dan jelas, pengajaran tulisan haruslah sistematik dan berkesan. Latihan-latihan pramenulis boleh melibatkan latihan-latihan seperti:
(a) Menguasai latihan pergerakan tangan
(b) Menguasai gerakan tangan yang bebas supaya boleh menulis dengan selesa dan      
     sempurna
(c) Latihan pergerakan mata, serta latihan koordinasi tangan dan mata.
Seterusnya, dalam peringkat mendirikan asas pula murid-murid sepatutnya telah faham serta tahu cara memegang pensel, membentuk lambang dan sebagainya seperti yang diajar dalam kemahiran pra menulis.
Pada peringkat awal, dicadangkan murid membentuk huruf di kertas kosong yang tidak mempunyai garisan. Setelah didapati memuaskan barulah dilatih membentuk huruf pada halaman bergaris. Apabila murid membentuk huruf pada kertas bergaris, kawalan tulisan perlu dilakukan. Ia harus bermula daripada garisan yang lebar hingga kepada lembaran satu garis. Contohnya adalah dengan melakukan aktiviti seperti:
(a) Latihan membentuk bulatan dan garis lurus dalam keadaan terkawal
(b) Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris dua
(c) Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris satu
(d) Latihan membentuk lambang tulisan dengan cara dengan cara yang betul untuk
      mendapat keseragaman cara menulis bagi menghasilkan tulisan yang seragam dan mudah
      dibaca.
Setelah menguasai peringkat mekanis, murid-murid patut digalakkan
melahirkan fikiran mereka secara bertulis. Cara-cara yang dicadangkan ialah bermula
daripada yang terkawal iaitu berpandukan gambar-gambar dan perkataan, mengisi tempat
kosong, melengkapkan ayat-ayat dan perenggan sehingga murid-murid itu boleh
menghasilkan tulisan tanpa panduan. Di antara aktiviti-aktiviti menulis yang boleh
dijalankan ialah:
(a) Mengisi silang-kata
(b) Mengisi tempat kosong dalam ayat
(c) Melengkapkan ayat dengan menambah rangkai kata yang sesuai
(d) Menuliskan ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi
(e) Memanjangkan ayat dengan menambah rangkai kata yang sesuai
(f) Membentuk ayat bagi memudahkan cerita
(g) Menulis ayat berdasarkan gambar yang disediakan
(h) Menulis jawapan-jawapan kefahaman
(i) Menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan
(j) Menulis karangan daripada tajuk yang disediakan dan sebagainya dengan merujuk sukatan Pelajaran Bahasa Melayu.

3.0       PENDEKATAN  PENGAJARAN PENULISAN.
3.1       Definisi Pendekatan
3.1.1    Menurut Kamus Dewan (2007), pendekatan dapat didefinisikan sebagaisatu kaedah atau cara, langkah-langkah yang boleh diambil bagi memulakan dan melaksanakan tugas. Kamarudin Hj. Husin (1988), mendefinisikan pendekatan sebagai satu kumpulan andaian yang saling berkait tentang hakikat bahasa, hakikat pengajaran bahasa dan hakikat pembelajaran bahasa. Edward M. Anthony (1963), berpendapat bahawa pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik.
3.1.2    Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Menurut Parera (1986), mengatakan bahawa pendekatan merupakan satu latar belakang falsafah atau pandangan mengenai idea utama yang hendak dibahaskan dan merupakan satu aksioma (pernyataan yang diterima umum dan menjadi asas kepada sesuatu huraian). Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.
3.1.3    Pelbagai pendekatan, kaedah, dan teknik dapat digunakan dalam pengajaran aspek-aspek bahasa. Tidak ada satu pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan di dalam bilik darjah, melainkan masing-masing perlu disesuaikan dengan topik penulisan yang hendak diajar. Ini bergantung kepada kebijaksanaan guru kerana yang penting ialah pelajar dapat turut serta dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Pengajaran dan pembelajaran mestilah berpusatkan pelajar. Pelajar perlu berperanan sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru hendaklah bertindak sebagai pemudah cara dalam membantu pelajar mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan tajuk yang akan diajar.
3.1.4    Terdapat empat pendekatan yang boleh digunakan untuk pengajaran penulisan wacana. Pendekatan-pendekatan tersebut ialah pendekatan terkawal, pendekatan bebas, pendekatan pola – perenggan dan pendekatan komunikatif. ( dalam Juriah Long dan rakan-rakan, 1990:214).
a) Pendekatan terkawal.
Melalui pendekatan ini, guru dapat memandu dan mengawal pelajar daripada melakukan kesalahan. Pada peringkat awal, guru mengawal secara menyeluruh. Namun begitu, pelajar masih diberikan kebebasan untuk memilih perbendaharaan kata atau struktur ayat mereka sendiri. Melalui pendekatan ini, murid-murid dielakkan daripada menlakukan kesalahan.
b) Pendekatan bebas
Pendekatan ini memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat mereka tentang sesuatu topik penulisan. Walau bagaimanapun, pendekatan ini hanya sesuai digunakan bagi pelajar yang sudah dapat menguasai bahasa dengan baik.
Dalam pengajaran penulisan wacana yang ada hubung kait dengan masalah pencemaran alam sekitar, guru boleh keratan-keratan akhbar dan majalah untuk ditunjukkan kepada pelajar.Aktiviti perbincangan dan sumbang saran boleh dijalankan dimana murid dapat memberikan pendapat melalui aktiviti tersebut. Dengan cara ini pelajar akan lebih berminat, aktif dan dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan diri.
c) Pendekatan Komunikatif
Dell Hymes yang merupakan pengasas pendekatan ini antara lain menyatakan bahawa kecekapan komunikatif merupakan penguasaan bahasa secara naluri yang dimiliki oleh seseorang pelajar, iaitu keupayaan pelajar mengguna dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial.
Pendekatan ini menegaskan tentang seseorang yang sudah mempunyai pengetahuan tentang struktur bahasa dan kebolehan membina ayat-ayat yang gramatis. Ini tidak bermakna dia sudah dapat berkomunikasi dengan baik dan berkesan memandangkan kecekapan berbahasa dan berkomunikasi itu juga menitikberatkan unsur-unsur lain yang boleh mempengaruhinya, seperti aspek-aspek sosiolinguistik dan psikolinguistik.
Berdasarkan pendekatan ini, dapat dikatakan bahawa pelajar menulis adalah untuk dibaca oleh orang lain atau masyarakat. Justeru, guru perlu memastikan dan menggalakkan pelajar menulis sama seperti dalam situasi kehidupan seharian mereka. Dalam hal ini, guru harus menyatakan kepada pelajar bahawa penulisan yang dihasilkan adalah untuk dinikmati oleh pembaca termasuk penulisan pelajar lain di dalam bilik darjah.
d) Pendekatan pola-perenggan.
Pendekatan ini mengutamakan ciri-ciri pembentukan perenggan yang baik. Ini dapat melatih pelajar supaya berkeupayaan untuk memberikan pendapat dalam perenggan dengan kemas dan teratur. Selain itu,pendekatan ini juga dapat membantu pelajar mengetahui cara-cara meringkaskan penulisan dengan baik. Pendekatan ini sesuai digunakan untuk murid yang sudah dapat menguasai kemahiran bahasa.

4.0       KAEDAH PENGAJARAN PENULISAN.          
4.1       Kaedah bermaksud cara atau peraturan membuat sesuatu . Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaitu teknik dan pendekatan.
4.2       Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992). Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur. Sementara Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada murid bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah. Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai objektif pengajaran.
4.3       Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua murid dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan murid. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan murid. Di antara kaedah-kaedah yang sedia ada  ialah kaedah natural, kaedah terus, kaedah nahu terjemahan, kaedah oral-aural, kaedah kod-kognitif dan kaedah bahasa komuniti.  Pengajaran penulisan berkait rapat dengan kebolehan murid-murid mengumpul dan  menganalisis dapatan, mencernanya dan seterusnya mengolah idea tersebut sehingga menjadi seperangkat kata-kata yang mempunyai makna.
 4.4      Murid akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
4.5       Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran. Guru-guru mempunyai peluang untuk menggunakan mana-mana kaedah yang dirasakan sesuai dan dibawah merupakan beberapa kriteria-kriteria yang menjadi garis panduan bersama:
a. Kaedah juga harus berpadanan dengan keupayaan, pengalaman dan kepakaran guru itu sendiri.
b. Pengaplikasian kaedah tersebut dapat dilaksanakan di dalam rancangan masa yang ditetapkan.
c. Harus bersesuaian dengan kemudahan yang ada seperti prasarana dan peralatan Teknologi Maklumat dan Komputer.
d. Menepati visi dan misi sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSR dan KSSR
e. Seiring dengan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah digariskan
f. Berpadanan dengan keupayaan murid-murid berlandaskan pemerhatian terhadap tabiat dan latar belakang,dan umur.
4.6       Kaedah Pengucapan Terkawal
4.6.1    Pincas berpendapat bahawa penulisan karangan bebas adalah proses penciptaan dan kreativiti.  Beliau berpendapat bahawa penekanan harus diberikan secara berperingkat-peringkat bermula daripada penggantian perkataan di dalam ayat yang berbeza bentuk kepada penggantian ayat –ayat di dalam perenggan.  Kaedah ini boleh juga dianggap kaedah terus di dalam pembelajaran bahasa di mana guru akan memberitahu apa yang perlu dilakukan sebelum murid dibebaskan untuk memperkembangkan istilah penggantian mereka sendiri secara bebas.
4.6.2    Beliau menggariskan ciri-ciri berikut sebagai peringkat-peringkat latihan di dalam pengajaran penulisan iaitu penggunaan pelbagai leksikon dan pembentukan ayat di dalam latihan penulisan dan lisan.  Pelajar yang dibenarkan menghasilkan  tulisan hanya apabila dipastikan bahawa mereka menghargai dan memahami pelbagai tahap ciri penulisan.  Program penulisan karangan yang melibatkan penggantian pelbagai.  Pincas juga mengandaikan bahawa penggunaan bahasa adalah manipulasi  daripada corak tetap yang dipelajari daripada prosses imitasi.  Apabila ia telah difahami dan dipelajari secara konsisten, barulah terhasil keaslian  dalam variasi.
4.7       Kaedah Pengucapan Bebas
4.7.1    Eramus (1960) menggariskan beberapa ciri kaedah pengucapan bebas seperti murid-murid digalakkan menulis secara cepat dengan sedikit ulangkaji.  Kaedah ini menekankan latihan yang banyak sepanjang penulisan pelajar  dan keutamaan terhadap kuantiti ini menjadikan hasil penulisan pelajar lebih sempurna kerana murid-murid sentiasa membuat latihan.    Beliau lebih menitikberatkan aspek kuantiti dengan hujah bahawa kuantiti adalah proses penambahbaikan dari masa ke semasa untuk mendapatkan hasil tulisan yang cemerlang.
4.7.2    Beliau menghujahkan lagi bahawa metod ini akan menguatkan pemahaman bahasa pelajar dengan pengalaman membetulkan kesilapan dan penemuan perkataan-perkataan baru yang akan menambah kepelbagaian kosa kata mereka di dalam jajaran sintaksis.  Menurutnya ini hanya boleh dilakukan apabila murid-murid melalui  melahirkan hasil penulisan melalui kuantiti dan kualiti akan datang kemudian.
4.8       Kaedah Retorika
4.8.1    Retorika adalah merujuk kepada seni penggunaan bahasa yang menarik dan berkesan dalam melahirkan gagasan untuk memujuk  atau mempengaruhi khalayak mengenai sesuatu perkara.  Deskripsi ini dinyatakan oleh Nik Safiah dan Wan Malini.  Ia melibatkan perkara-perkara seperti penciptaan, susunan dan stail dalam penulisan.   Di antara elemen retorika yang terkenal ialah keberkesanan bentuk-bentuk prosa deskriptif, naratif, ekspositori dan argumentatif.  Kehadiran asas retorika di dalam teks boleh dirasai apabila kedapatan elemen-elemen skema berdasarkan maklumat atau isi yang boleh disusun.   Teks akan menekankan penyusunan isi yang berbeza berdasarkan perenggan-perenggan yang telah mungkin diproses melalui gaya analisis, analogi, kontras masa, falsafah dan sebagainya.  Oleh kerana ikatan tersebut, murid-murid akan terhalang daripada untuk menulis secara spontan dan memendekkan kejelasan pemikiran mereka.

5.0       TEKNIK PENGAJARAN PENULISAN.
5.1       Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Teknik ialah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi ketiga). Edward M. Anthony (1963), mendefinisikan teknik sebagai satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Beliau juga mengatakan bahawa teknik ialah kemahiran guru yang digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
5.2       Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1988), berpendapat bahawa teknik pengajaran ialah pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah dimana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.
5.3       Teknik Pengajaran Berpandu
5.3.1    Teknik pengajaran berpandu  merupakan teknik yang paling popular dan digunakan dengan pengawasan guru sepenuhnya.  Teknik merangkumi latih tubi dan soal jawab ini adalah gabungan kaedah pengucapan terkawal, yang memerlukan murid-murid menghasilkan kuantiti karangan yang banyak di samping mengenalpasti kesalahan yang dilakukan semasa proses menulis itu berlangsung.   Guru akan memberikan tajuk dan dan kemahiran terpenting di dalam mengarang iaitu mengenalpasti bidang isi, organisasi dan ekspresi. 
5.3.2    Ketiga-tiga elemen ini dapat digunakan ketika proses menilai sesuatu penulisan.  Penting sekali, murid-murid didedahkan dengan prinsip utama bidang kepengarangan iaitu apa yang hendak dikata (isi), bagaimana menyusun apa yang dikatakan (organisasi) dan bagaimana hendak mengatakan apa yang hendak dikatakan.  (ekspresi).  Teknik ini adalah berasaskan pendekatan deduktif iaitu di mana guru-guru akan memperkenalkan, menerangkan peraturan dan seterusnya memberikan langkah-langkah untuk menghasilkan bentuk penulisan tersebut.
 5.3.3   Tugas murid ialah menyiapkan latihan tersebut dan sebaik-baiknya dilakukan berulang-ulang untuk mendapatkan hasil tulisan yang baik dan cemerlang.   Teknik ini dinamakan teknik pengajaran berpandu di mana murid-murid akan dipandu oleh guru dan dikawal daripada melakukan kesalahan.  Pada peringkat awal, isi dan bahasa akan disediakan oleh guru dan murid-murid akan diarahkan mengisi tempat kosong atau membina ayat berdasarkan petikan gambar.
5.4.      Teknik Sumbangsaran
5.4.1    Murid boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan membenarkan murid-murid mengembangkan idea secara kolaboratif dengan pantauan guru.  Teknik yang berasaskan pendekatan bebas ini membolehkan murid-murid bebas melahirkan pendapat masing-masing secara kritis dan analitikal berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh guru.
5.4.2    Teknik ini lebih sesuai digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran untuk tahap dua.  Pada tahap ini murid-murid diberikan kebebasan untuk menentukan hala tuju idea mereka selagi masih berpegang kepada tiga prinsip mengarang yang disebutkan di atas.    Murid-murid juga boleh memanipulasi apa sahaja bahan sama ada di luar atau di dalam bilik darjah selagi ia tidak terkeluar daripada skop penghasilan penulisan mereka.  
5.4.3    Murid-murid akan dipantau sepenuhnya dan dibimbing secara berperingkat bermula daripada peringkat pra-penghasilan seperti membuat draf sehinggalah kepada menyusun isi, menyunting dan mengedit, membetulkan kesalahan bahasa, kosa kata, aspek gramatikal, olahan, hujah dan pelbagai lagi. 

6.0       TEORI PENGAJARAN PENULISAN.
6.0.1    Antara teori yang dikemukakan ialah Teori behaviorisme, kognitif, mentalis dan interaksionalis.  Kesemua teori ini dikaji sehingga melahirkan teori pembelajaran bahasa yang dipraktiskan oleh guru-guru semasa proses pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah berlangsung.
6.1       Teori Behaviorisme
6.1.1    Ia adalah teori yang merujuk kepada gerak balas yang berlaku apabila ada rangsangan daripada guru dan menghasilkan pembelajaran.  Ia dipelopori oleh Bloomfield, Edward Spir, Boss dan Brooks yang merupakan ahli bahasa dan dikaji oleh ahli psikologi seperti  Ivan Pavlov.   Ia merangkumi elemen-elemen:
a.         Proses pembelajaran memerlukan pengukuhan berbentuk ganjaran , pemantauan dan pembetulan serta merta.
b.         Latih tubi adalah keperluan sepanjang proses pembelajaran berlangsung.
c.         Pembelajaran bahasa menitikberatkan persekitaran bilik darjah yang kondusif kepada seluruh ahli yang terlibat seperti guru dan murid-murid.
d.         Proses pembelajaran bahasa adalah proses penekanan terhadap latihan dan pengulangan yang mencorak kebiasaan.  Ia adalah proses mekanis yang memerlukan koordinasi daya mental
e.         .Proses timbal balik rangsangan dan gerak balas,
f.          Gerak balas yang berulang-ulang akan dilakukan untuk memperolehi ganjaran
g.         Gerak balas yang dipantau dengan peneguhan positif akan lebih kerap diulangi
h.           Gerak balas yang kerap akan menghasilkan kebiasaan.
6.1.2    Teori  ini boleh diadaptasi oleh guru-guru untuk sesi latih tubi dan penyediaan isi dan data-data untuk membentuk sebuah karangan.     Ahli behaviorisme menegaskan bahasa    pengajaran bahasa mestilah dimulakan dengan kemahiran lisan.  Maka, teknik sumbang saran dalam pengumpulan isi , fakta dan data di dalam kelas  amat menepati teori ini.
6.2       Teori Kognitif
6.2.1    Teori lain yang ialah Teori Kognitif yang dipopularkan oleh Jean Piaget yang menitikberatkan perkembangan kognitif murid-murid  melalui latihan mengingat, mengekod dan menyimpan maklumat bersesuaian dengan kebolehan mental mereka.  Pendapat yang dipersetujui oleh ahli pemikiran kognitif lain seperti Robin Lakoff, D. Slobin dan Mangantar Simantunjak ini menegaskan bahawa proses ini (pembelajaran bahasa) adalah proses internal yang abstrak.  Ia berlaku di dalam minda dan tidak dapat diukur melalui tingkah laku.  Teori kognitif ini menggariskan ciri-ciri berikut sebagai tunjang utama teori yang dibawa mereka iaitu:
a.         Bahasa bersifat kreatif, tidak berlegar di dalam seputar persoalan objek, peristiwa, pengalaman perilaku atau pengalaman naluriah seperti yang didakwa oleh pemikir teori behaviourisme
b.         Otak/kognitif menjadi sarana penting dalam pemprosesan bahasa
c.         Fikiran harus berada di dalam pemikiran sebagai satu komponen yang tidak boleh terpisah
d.         Pengetahuan terhasil daripada pemikiran manusia secara semulajadi
e.         Teori ini merangkumi elemen kesejagatan yang ada hubungan dengan kognitif
6.3       Teori Interaksionalisme
6.3.1    Teori ini meletakkan pembelajaran bahasa sebagai komponen wacana dan melibatkan mental dan linguistik.  Mark Halliday menegaskan bahawa kebolehan pembelajaran bahasa tidak boleh bergantung sekadar kepada kebolehan kognitif semata-mata. Menurut beliau, kemahiran kognitif hanya membolehkan murid-murid mentafsir makna tetapi belum tentu pentafsiran itu boleh dilahirkan di dalam bentuk bahasa yang sewajarnya tanpa bantuan linguistik.
6.3.2    Teori ini menitikberatkan aktiviti komunikasi di mana penyampaian makna adalah subjek utama di dalam proses pembelajaran dan pengajaran bahasa.  Ia menekankan bahawa latihan berterusan harus diberikan kepada murid-murid agar mereka memperolehi kekuatan mempelajari struktur bahasa dan interaksi agar dapat menggunakan bahasa dengan fasih dan lancar.
6.4       Teori Konstruktivitisme
6.4.1    Teori terakhir yang dibincangkan ialah teori konstruktivisme.    Teori ini juga berputik daripada pandangan kognivitisme iaitu pengetahuan manusia dibina secara aktif oleh manusia itu sendiri melalui daya pemikirannya.  Segala maklumat yang diterima oleh murid-murid akan diserap dan disesuaikan dengan maklumat sedia ada untuk membentuk storan baru di dalam fikirannya.
 6.4.2   Teori pemikiran yang dibawa oleh Mc Brien & Brandt (1997) ini antaranya menegaskan bahawa manusia tidak sekadar menerima pengetahuan tetapi membina pengetahuan melalui informasi yang diterima otaknya.  Melalui pengalaman sedia ada, murid-murid membina pengetahuan dengan cara menguji idea dan pendekatan, mengadaptasinya dan meletakkannya bersama-sama pengetahuan sedia ada di storan baru.  Teori ini lebih dikenali juga dengan teori pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid. 
6.4.3    Guru bertindak sebagai penyumbang gagasan dan pereka bentuk bahan pengajaran dan terpulang kepada murid-murid untuk menganalisis idea,  mengolah semula atau mengadaptasinya bersesuaian dengan pengetahuan yang sedia ada di dalam mindanya.
6.4.4    Berdasarkan teori-teori di atas, dapatlah disimpulkan bahawa,  teori pengajaran penulisan adalah sebahagian daripada proses pemerolehan bahasa melalui prinsip yang empat yang saling berkaitan itu iaitu kemahiran membaca, mengira, menulis, dan menaakul.  Kesemua proses tersebut melibatkan koordinasi minda dan anggota lainnya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.     
6.5       Teori Mentalis
6.5.1      Teori ini menegaskan bahawa bahasa adalah aktiviti mental, milik istimewa manusia yang dikurnia bersama-sama kelahirannya.    Teori ini menekankan bahawa pengetahuan bahasa, penafsiran makna seseorang dilahirkan oleh proses di dalam otak dan saraf.  George A. Miller direkodkan sebagai mencatatkan bahawa proses mental dilakukan oleh seorang pendengar apabila menghadapi pertuturan yang meliputi proses memadan, menerima, mentafsir, memahami dan mempercayai. Ahli pemikir kognitif juga terlibat melahirkan teori mentalis yang juga dikenali sebagai Koda Kognitif atau Innatis ini.
6.5.2    Di antara ciri-ciri teori mentalis yang berkait rapat dengan pengajaran penulisan ialah
a.         Murid-murid mesti diajar dengan ayat yang gramatis, iaitu yang sempurna menurut hukum hakam tatabahasa kerana ia memainkan peranan penting dalam proses pembentukan ayat.
b.         Kemahiran membaca dan menulis adalah keutamaan dan kemahiran tatabahasa pula hendaknya diajar secara formal.
c.         Semenjak dilahirkan, manusia sudah dibekalkan dengna jentera penguasaan bahasa.  Manusia mempunyai kebolehan semula jadi untuk merumus dan membentuk ayat-ayat mengikut sistem bahasa yang mereka ada.
d.         Kecekapan yang merupakan rumus-rumus  atau tatacara bahasa sudah berada di dalam mental manusia. Manakala prestasi yang merupakan penggunaan atau penghasilan daripada apa yang berada di dalam stor mental manusia.  Kedua-dua elemen ini saling kait mengait menurut teori mentalis.

7.0       MODEL PENGAJARAN PENULISAN KAEDAH BERGAMBAR DAN CARTA.
7.1       Penggunaan kaedah ini bermaksud penulisan yang dihasilkan adalah dengan berasaskan gambar yang dilihat dan ditunjukkan. Kebiasaannya, gambar bersiri akan digunakan sebagai bahan bantu mengajar dan peristiwa yang terdapat dalam gambar-gambar itu akan dijadikan bahan penulisan. Kaedah ini juga dapat dilaksanakan menerusi teknik penyampaian dengan menggunakan slaid. 
7.2       Teknik slaid lebih menarik dan dapat menimbulkan minat pelajar kerana menyeronokkan, ditambah lagi dengan iringan irama muzik yang bersesuaian. Teknik slaid memerlukan peralatan yang tertentu. Jika menggunakan teknik ini, pelajar mesti mempunyai daya ingatan yang kuat untuk mengingati gambar-gambarslaid yang telah ditonton. 
7.3       Dalam menggunakan kaedah bergambar, terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti dalam menyampaikan pengajaran, iaitu: 
a. Gambar yang digunakan mestilah sesuai sebagai bahan bantu mengajar dan tahap peringkat pelajar, disamping tidak mengenepikan aspek kualiti gambar;
b. Guru mengarahkan pelajar meneliti gambar yang disediakan dan memikirkan perkara-perkara yang dapat diperkatakan mengenainya; 
      c.  Pelajar disuruh mencatat idea atau isi penting yang hendak diperkatakan berdasarkan gambar yang dilihat;
      d.  Aktiviti sumbang saran dapat dijalankan, iaitu pelajar diberikan peluang menyuarakan pendapat dan idea mereka secara lisan dan kemudian guru menulisnya pada papan tulis, sambil menyemak kegramatisan ayat-ayat yang diutarakan.

      e. Guru mengadakan sesi perbincangan dengan pelajar tentang isi-isi yang diberikan dan membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting; dan

      f. Pelajar menulis dengan berlandaskan perbincangan yang telah dilakukan.

      g.  Sementara itu, teknik carta aliran bermaksud guru mengedarkan atau menunjukkan sebuah carta aliran berdasarkan proses-proses penghasilan sesuatu bahan atau produk. Teknik carta aliran agak bersistematik mengikut kronologi peristiwa. Teknik ini ada persamaan dengan teknik gambar bersiri, bahawasanya setiap proses itu digantikan dengan frasa-frasa yang menceritakan secara ringkas apa-apa yang berlaku pada setiap peringkat yang dipaparkan dalam carta.  Prosedur-prosedur atau peringkat-peringkat itu boleh ditunjukkan dengan menggunakan penanda ‘anak panah’ atau berbentuk paparan carta.
 
 7.4      Cara Melaksanakan Model Pengajaran Penulisan Kaedah Bergambar Dan Carta.
Tajuk: Penternak Itik.
Objektif pengajaran dan pembelajaran:
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran ini, murid dapat:  
            Menulis karangan pendek mengenai gejala pencemaran dengan menggunakan ayat majmuk yang betul.
Hasil Pembelajaran:
8.2 Membina dan menulis ayat tunggal dan ayat majmuk dalam sesuatu penulisan teks tentang sesuatu tajuk.
Aras 3 (i) menyediakan perenggan dengan mengguna ayat
Kemahiran Bahasa : Kemahiran bertutur, menulis dan mendengar.
Sistem Bahasa : Sistem ejaan, ayat tunggal dan ayat majmuk, sebutan dan intonasi.
Ilmu : Bahasa Melayu, Alam sekitar
Nilai : Kebersihan, menghayati, menghormati dan menghargai.
Kemahiran Bernilai Tambah (KBT)
Kemahiran Berfikir : Membuat perbezaan, membuat inferens, dan kemahiran mengkategori.
Kemahiran Belajar : Menerima maklumat, memproses dan melaporkan.
Kecerdasan Pelbagai : Kinestetik, intrapersonal, interpersonal, naturalis dan emosi.
Pengetahuan Sedia Ada : Murid dapat menceritakan pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai gejala pencemaran alam sekitar dengan cara berdialog dan membina ayat dengan menggunakan ayat mudah.
Bahan Bantu Mengajar : Gambar Bersiri.
Langkah-langkah Pengajaran 
Langkah 1
a. Guru mengedarkan gambar kepada murid-murid. Guru meminta murid-murid supaya meneliti aktiviti, peristiwa atau perkara-perkara penting yang dapat diperkatakan atau diceritakan berdasarkan gambar yang diberi.
b. Guru boleh menetapkan jumlah aktiviti atau peristiwa yang dikehendaki bagi setiap gambar.
Langkah 2
a. Murid-murid diminta mencatat perkara-perkara penting, aktiviti atau peristiwa berdasarkan gambar yang diberi. Aktiviti ini boleh dilakukan secara individu atau kumpulan. Jika aktiviti ini dijalankan secara individu, guru hendaklah memainkan peranan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi aktif.
b. Guru perlu bersoal jawab dengan murid jika tidak ada pelajar yang ingin memberi pendapat secara suka rela. Bagi pelajar-pelajar yang lemah, guru hendaklah membimbing mereka agar mereka dapat menyatakan idea dengan lebih yakin. 
c. Murid-murid perlu diingatkan supaya mengambil bahagian dalam sesi perbincangan. Setiap pelajar diwajibkan mengemukakan pendapat berdasarkan perkara yang dibincangkan. Guru juga boleh menerapkan nilai murni kepada murid-murid semasa aktiviti kumpulan dijalankan.
d. Guru perlu memainkan peranan sebagai fasilitator dengan memantau setiap kumpulan dan memberi bimbingan kepada kumpulan yang menghadapi masalah. Setiap kumpulan dibekalkan dengan peralatan yang diperlukan untuk sesi pembentangan hasil kerja.
e. Guru juga perlu menyatakan masa yang diperuntukkan untuk sesi perbincangan supaya murid-murid tidak terleka. 
Langkah 3
a. Setiap kumpulan dikehendaki menghantar wakil kumpulan untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing. Semasa sesi pembentangan, seorang lagi ahli kumpulan dikehendaki mencatat idea atau isi penting yang dibentangkan oleh pembentang kumpulannya pada papan tulis.
b. Murid-murid atau ahlikumpulan yang lain diminta mendengar pembentangan itu dengan teliti dan mencatat idea atau isi penting yang dibentangkan oleh kumpulan lain. 
c. Apabila setiap kumpulan selesai membentangkan hasil perbincangan mereka, kumpulan lain diberi peluang untuk memberi komen tentang idea atau isi penting yang dikemukakan oleh kumpulan tersebut.
d. Kumpulan lain juga perlu peka terhadap idea atau isi penting yang yang telah dikemukakan oleh kumpulan terdahulu agar tidak berlaku pertindihan idea. Idea atau isi penting yang sama tidak perlu dibentangkan oleh kumpulan berikutnya. Selepas itu, murid-murid diminta membaca idea-idea yang tercatat pada papan tulis hasil perbincangan semua kumpulan.
e. Guru juga boleh memilih murid-murid secara rawak untuk membina ayat secara lisan dengan menggunakan idea yang telah diperoleh.
f.  Guru mengadakan perbincangan dengan para pelajar tentang isi-isi yang diberikan dan membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting,dan sistem bahasa.
Langkah 4
a. Murid-murid diminta menulis karangan dengan menggunakan idea atau isi-isi penting yang telah dibincangkan atau dibentangkan oleh setiap kumpulan. Aktiviti ini boleh dilakukan secara individu atau kumpulan.
b. Seorang ahli kumpulan perlu menulis karangan manakala ahli yang lain membantu membina ayat-ayat yang gramatis (jika aktiviti berkumpulan dijalankan).
c. Guru pula memainkan peranan sebagai fasilitator. Semasa aktiviti ini dijalankan, guru perlu sentiasa mengingatkan para pelajar tentang kesalahan umum yang sering dilakukan oleh kebanyakan pelajar semasa menulis.
d.  Murid perlu menyemak untuk memastikan sama ada terdapat tulisan yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain. 

Langkah 5
a. Beberapa kumpulan akan dipilih untuk membacakan karangan masing-masing.Murid-murid n diminta mendengar dengan teliti dan memberi komen terhadap kesalahan yang terdapat dalam karangan(kesalahan dari segi struktur ayat, penggunaan imbuhan dan sebagainya).
b. Guru juga hendaklah membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh setiap kumpulan pada masa itu juga. Setiap kumpulan diminta membuat pembetulan terhadap kesalahan yang telah dilakukan sebelum menghantar karangan mereka kepada guru. 

Langkah 6
a. Guru menyemak karangan tersebut dengan teliti dan membetulkan setiap kesalahan yang dilakukan oleh murid-murid.
b. Karangan tersebut akan dipulangkan kepada murid-murid dan setiap ahli kumpulan dikehendaki menulis semula karangan tersebut dalam buku masing-masing.
c. Setiap kumpulan juga diminta menyediakan satu salinan karangan yang telah dibaiki untuk ditampal di dalam kelas atau dijilid untuk dijadikan sebuah buku sebagai rujukan murid-murid. 

7.5       Dalam aspek pengajaran penulisan guru perlu lebih memahami tentang pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang sepatutnya diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
7.6       Dapatan Analisis.
Kajian telah dibuat berdasarkan 15 sampel karangan murid-murid tahun empat kelas tahap baik di sebuah sekolah di Melaka. Murid-murid tersebut telah diajar menggunakan kaedah yang paling popular iaitu kaedah latih tubi.  Melalui kaedah ini, guru membincang dan menyenaraikan isi-isi penting di papan hitam.  Murid-murid akan diberikan mencantikkan isi-isi tersebut di dalam sesi sumbangsaran dan seterusnya menyiapkan latihan yang diberikan.
7.7       Isi.
Daripada kelima-lima contoh tersebut, didapati kefahaman murid mengenai isi adalah 100 peratus.  Kesemua mereka dapat menguasai bidang isi iaitu apa yang hendak dikata.  Kesemua mereka dapat menulis dengan jelas mengenai subjek yang hendak diceritakan.
7.8       Organisasi.
Dari segi kebolehan bidang organisasi ataupun kebolehan menyusun apa yang hendak dikatakan, didapati 100 peratus murid-murid dapat menguasainya dengan cemerlang.  Malah ada yang dapat melakukannya dengan baik tanpa mengenepikan aspek pengenalan, pertengahan isi dan penutup karangan.
7.9       Ekspresi
Murid-murid ini tidak dapat mengembangkan ayat menggunakan idea sendiri untuk permulaan ayat dan menggunakan ayat yang sama yang telah diberikan oleh guru di papan hitam.  Kemungkinan mereka menghadapi masalah untuk mengatakan apa yang dikatakan ataupun dikenali kebolehan mengeksploitasi bidang ekspresi.  Begitu juga dengan aspek tatabahasa daripada segi penggunaan huruf besar, kesalahan ejaan dan isi yang terkeluar daripada tajuk yang menyebabkan mereka kehilangan markah. 

8.0       RUMUSAN.
8.1       Warga pendidik harus gigih berusaha melahirkan murid sebagai pemikir berkesan dan ini merupakan matlamat penting dalam dunia pendidikan. Murid yang diaspirasikan perlu bertidak secara efektif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan. Maka penyesuaian elemen pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
8.2       Bagi merealisasikan matlamat untuk meningkatkan kemahiran menulis, terdapat faktor-faktor yang memainkan peranan penting dalam mempengaruhinya. Antaranya ialah faktor minat, jantina dan kaedah serta pendekatan yang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas. Faktor-faktor ini merupakan penyumbang terpenting dalam mempengaruhi keputusan dan pencapaian murid.
8.3       Elemen pendekatan, teori, kaedah, model dan teknik, dapatlah dirumuskan bahawa pengetahuan secara holistik merupakan satu keperluan yang mendesak di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran penulisan.  Ciri pengajaran berkesan ialah kepelbagaian penyampaian dan kejelasan penyampaian oleh guru.   Di antara objektif penulisan ialah memperkembangkan imaginasi dan pemikiran kritis murid-murid  di samping menyediakan murid-murid yang berpengetahuan menyampaikan maksud melalui penulisan yang betul.  Di samping menitikberatkan proses penulisan yang sesuai, tidak ketinggalan juga ialah pemuliharaan hukum bahasa baku yang melibatkan tatabahasa, ejaan, kosa kata serta sebutan yang betul di dalam aktiviti menulis dan membaca.
9.0       RUJUKAN.
Juriah Long, Raminah Hj. Sabran & Sofiah Hamid. (1990). Pendekatan mengajar  bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Raminah Hj. Sabran. (1993). Kecekapan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Raminah Sabran & Rahim Syam. (1985). Kaedah pengajaran bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM]. (2001). Sukatan pelajaran kurikulum bersepadu sekolah menengah bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zainol Ismail. (2003). Fokus Unggul/ UPSR Penulisan. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
Abu Hassan Abdul, Abd. Rashid Md. Idris. (2012). Seni Mengarang BMK 3043. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Awang Sariyan.(2004).Tertib Mengarang.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dr Ali Mahmood, Mashudi Bahari, Lokman Abd Wahid, Dr Seman Salleh, Munsyi Zainal Abidin Kasim, Dr Adenan Ayob, Mohd RaĆ¢€™in Shaari.(2011).Pengenalan Pendidikan Bahasa Melayu.Seri Kembangan:Open Uninersity Malaysia.
Raminah Hj. Sabran,Rahim Syam.(1986).Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia.Petaling Jaya:Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan