Isnin, 8 Oktober 2012

DATO' ONN PENGASAS NEGARA BANGSA.


Dato' Onn PengasasNegara Bangsa



YANG Dipertua pertama UMNO, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar telah dimartabatkan sebagai Pengasas Sebuah Negara Bangsa dalam sejarah kemerdekaan negara.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor mahu Allahyarham dirujuk demikian setelah mengambil kira sumbangannya menyatupadukan penduduk  negara ini, termasuk ketika memulakan langkah tersusun menentang Malayan Union.

Persidangan Kebangsaan Mengenai Dato’ Onn di Persada Johor pada 1 hingga 4 Disember lalu, dalam resolusinya menekankan bahawa Dato’ Onn adalah tokoh yang memupuk perpaduan Melayu, mencetus semangat nasionalisme, menggerak perpaduan kaum, menebus maruah bangsa, menegak keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Sehubungan itu, resolusi berkenaan juga mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menubuhkan Kursi Dato’ Onn bagi meneruskan pengajian pemikirannya manakala Kerajaan Negeri Johor diminta menyediakan geran biasiswazah bagi tujuan penyelidikan di peringkat sarjana.

Seramai 30 tokoh pelbagai latarberlakang termasuk sejarah, perundangan, sosiologi dan kebudayaan membentangkan kajian dan buah fikiran masing-masing dalam persidangan empat hari itu.

Ia menjadi lebih bermakna apabila anak Dato’ Onn sendiri, Dato’ Jaafar dan Prof Syed Hussein Al-Attas dijemput mengkisahkan perjuangan Allahyarham dari pengalaman dan pemerhatian mereka sendiri.

Kedua-dua sesi pengkisahan tersebut memberi kesan yang amat mendalam kepada peserta persidangan untuk mengenali hidup Dato’ Onn, terutama peristiwa-peristiwa kecil yang tidak pernah didokumenkan, tetapi mempunyai makna penting dan mempengaruhi sejarah perjuangannya.

Persidangan itu adalah program kemuncak mengimbas perjuangan Dato’ Onn sempena ulangtahun UMNO ke-60 yang dianjurkan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dan Kerajaan Negeri Johor, melalui Yayasan Warisan Johor.

Sejak awal tahun, pelbagai program lain telah disempurnakan dalam memperingati perjuangan dan sumbangan Dato’ Onn termasuk memaparkan semula perhimpunan orang Melayu di Batu Pahat, dalam langkah pertama menentang Malayan Union, ciptaan penjajah Inggeris.

Kalau 60 tahun lalu, lebih 15,000 orang Melayu dengan diketuai Dato’ Onn berhimpun buat julung kalinya secara terbuka menentang Malayan Union di Batu Pahat, pemaparan semula di tempat yang sama pada 26 Febuari lalu, disertai lebih 20,000 orang.

Dalam program itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam ucapannya mengiktiraf perjuangan Dato’ Onn dan menyeru ahli-ahli parti supaya mengekalkan perpaduan.

Peristiwa penentangan terhadap Malayan Union itu merupakan titik tolak pembebasan tanah air kerana pelaksanaan gagasan penjajah tersebut akan menyebabkan negara ini terus dijajah dan diperintah secara langsung dari United Kingdom.

Di samping memaparan penentangan terhadap Malayan Union, program  mengimbas perjuangan Dato’ Onn itu dipenuhi dengan acara lain seperti pameran bergerak, pertandingan esei di peringkat sekolah, kembara Dato’ Onn, perhimpunan mengingati penubuhan UMNO di Istana Besar Johor Bahru dan persembahan teater muzika Balada Sang Adiputera.

Malah, dalam perhimpunan di Istana Besar pada 11 Mei, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berkenan berangkat mencemar duli bersama-sama pemimpin UMNO dan rakyat jelata di perkarangan istana itu.


Erti Mewarisi Perjuangan

BARANGKALI dalam tanggapan kebanyakan kita, lebih-lebih lagi generasi muda, Dato’ Onn Jaafar telah gagal dalam perjuangan politiknya. Asas tanggapan ini adalah kerana beliau memilih untuk tidak terus memimpin Umno, dan kerananya tidak pula dapat memimpin negara sebagai Perdana Menteri, sebagaimana penggantinya sebagai Yang Dipertua Umno, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Namun, apakah perjuangan seseorang tokoh politik itu hanya wajar dinilai sebagai berjaya apabila ia memegang tampuk kekuasaan negara? Walhal, begitu ramai pemimpin muncul silih berganti, zaman-berzaman, mencurahkan bakti perjuangan dalam sejarah panjang pembentukan negara kita, yang bebas lagi merdeka ini.

Lalu, Umno Johor mengangkat Dato’ Onn sebagai tokoh yang perlu diberikan tempat yang sewajarnya sempena 60 tahun usia parti, kerana baktinya sebagai pelopor perjuangan kemerdekaan. Dato’ Onn bukan teraju negara apabila tanahair ini merdeka pada 1957, tetapi beliau meninggalkan pengaruh dan pemikirannya sebagai warisan kepada bangsa.

Walaupun Dato’ Onn dalam sejarah politiknya keluar dari Umno, pernah menubuhkan dua parti lain, menjadi pembangkang dalam dewan perwakilan, tetapi inti perjuangannya terpahat dengan teguh. Laungan perjuangan Hidup Melayu yang dicetuskannya, lebih 60 tahun lalu, tidak sekadar satu slogan, tetapi sarat dengan isi perjuangan membela kedudukan Raja-Raja, agama, bahasa, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan hak-hak istimewa orang Melayu. 

Beliau menyedarkan orang Melayu betapa Malayan Union adalah satu ancaman yang akan melenyapkan bangsa di tanah airnya sendiri. Pelaksanaan Malayan Union menyebabkan negara ini terus diperintah secara langsung dari United Kingdom dan kita kekal dijajah. Ia bermakna terhakisnya kuasa Raja-Raja Melayu, lenyaplah kerajaan-kerajaan Melayu dan hilanglah identiti Melayu di buminya sendiri.

Setiap negeri-negeri Melayu, yang asalnya terdiri daripada kerajaan-kerajaan Melayu dalam sistem pemerintahan Raja-Raja Melayu, dipecah perintah secara berasingan oleh Inggeris. Kerakyatan terbuka kepada semua orang, tidak kira siapa sahaja yang datang mahu bermastautin di negara ini.

Hampir dua tahun lamanya, Dato’ Onn berhadapan dengan Inggeris, memujuk Raja-Raja Melayu, mengumpulkan kekuatan suara dan perpaduan orang Melayu untuk menggagalkan Malayan Union. Gerakan mendesak Inggeris tanpa mengenal jemu dan penat lelah itu, akhirnya membuahkan hasil apabila penjajah akur untuk menguburkan Malayan Union selepas 21 bulan dilaksanakan dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Idea kenegaraan Dato’ Onn diterima oleh Inggeris dalam merencanakan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Dalam proses menyediakan perjanjian itu, beliau mengetuai pasukan orang Melayu memastikan Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu menjadi dasarnya.

Idea ini menjadi teras dalam perjuangan Umno dan orang Melayu, sekalipun beliau meninggalkan parti dalam usaha mencari strategi lain pula untuk mendapatkan kemerdekaan. Beliau menyedari bahawa Inggeris mahu melihat ada kerjasama antara kaum sebagai syarat kemerdekaan, berikutan penentangan terhadap Malayan Union dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, tidak pun mendapat sokongan kaum lain.

Dato’ Onn memilih keluar dari UMNO apabila cadangannya membuka pintu parti kepada kaum lain tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Orang Melayu ketika itu berasa ganjil dengan idea tersebut, tanpa dapat memahami ia bertujuan meletakkan semua kaum di bawah satu naungan. Tapi, apabila akhirnya idea pakatan antara parti dicetuskan melalui penubuhkan Perikatan, Dato’ Onn menubuhkan Parti Negara, namun masa sudahpun beredar dan tidak mengizinkan beliau kembali ke arus perdana.

Begitupun, yang jelas ialah, idea kenegaraan Dato’ Onn itu terus diwarisi dan diamalkan oleh kepimpinan UMNO selepasnya. Ia menjadi petunjuk dan panduan dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Dari idea perjuangan itulah kita beroleh pengiktirafan sempadan negara kita sendiri apabila mendapat kemerdekaan. Sebab itu, Dato’ Onn tidak sehaluan dengan beberapa pemimpin politik sezamannya, yang cenderung menerima konsep Indonesia Raya untuk mencapai kemerdekaan bersama dengan negara jiran.

Pembentukan negara bangsa menjadi lebih jelas apabila kita dipandu oleh Perlembagaan Negara yang dimasyhurkan pada tahun 1957 sempena menempa kemerdekaan. Asas-Asas Perlembagaan Persekutuan itu diambil bulat-bulat daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang diusahakan oleh Dato’ Onn.  Maka, terbelalah Raja Melayu, terpeliharalah Agama Islam, diiktiraf kedudukan bahasa Melayu dan kekal hak-hak orang Melayu dibuminya.

Perkembangan kependudukan di Tanah Melayupun menjadi terkawal dengan adanya peraturan kewarganegaraan. Kaum pendatang yang masuk beramai-ramai di zaman penjajah, ditawarkan keistimewaan sebagai warganegara negara ini dan dilindungi serta mempunyai suara di bawah sistem demokrasi.  

Ketiga-ketiga ciri utama tadi iaitu kedaulatan sempadan negara, Perlembagaan Negara dan kewarganegaraan adalah asas pembentukan negara bangsa, yang diasaskan perjuangannya oleh Dato’ Onn. Inggeris menerima usaha tersebut dengan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial, yang sudah sekian lama wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Lantas ia berperanan menstabilkan sistem politik negara.

Sewajarnya kita berterima kasih kerana idea kenegaraan itu telah menghasilkan formula yang memupuk perpaduan Melayu, mencetus semangat nasionalisme, menggerak perpaduan kaum, menebus maruah bangsa, menegak keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Saya berharap generasi muda dapat menghayati idea kenegaraan ini, sebagai bekalan dan pedoman untuk memahami erti mewarisi perjuangan, agar ia terus subur dan segar dalam menempa kemajuan masa depan. –Sedutan Ucapan Dato’ Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor di majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Mengenai Dato’ Onn.


RESOLUSI

Persidangan Kebangsaan Mengenai Dato’ Onn yang diadakan pada 1 hingga 4 Disember 2006, di Persada Johor Bahru, yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Johor dan Yayasan Warisan Johor, dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia; yang dihadiri 350 peserta yang mewakili pelbagai pertubuhan dari seluruh negara serta dari Singapura dan Indonesia mengambil ketetapan sebagaimana berikut:

PERTAMA; memartabatkan Allahyarham Dato’ Onn Bin Jaafar, untuk dirujuk sebagai sebagai Pengasas Sebuah Negara Bangsa.

Pengiktirafan ini amatlah wajar dan tepat dengan mengambil kira sumbangan Dato’ Onn sepanjang hayatnya dalam mempelopori perjuangan kemerdekaan dengan mewariskan idea kenegaraannya kepada rakyat negara ini.

Sepanjang perjuangannya yang penuh liku-liku itu, Dato’ Onn ternyata menjadi pemupuk perpaduan Melayu, penggerak perpaduan kaum, pencinta kedamaian, penyelamat Raja-Raja Melayu, penebus maruah bangsa, penegak keadilan ekonomi dan pejuang kesejahteraan sosial.

KEDUA; mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia supaya menubuhkan Kursi Dato’ Onn Mengenai Pembinaan Bangsa di Universiti Malaya.

Penubuhan Kursi ini bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada Allahyarham Dato’ Onn serta mendalami lagi pemikirannya sebagai Pengasas Sebuah Negara Bangsa, agar idea kenegaraannya bukan sekadar diwarisi, malah terus difahami dan dihayati sebagai panduan dan pedoman kepada generasi demi generasi.

Kursi ini hendaklah dipegang oleh tokoh akademik yang pakar dalam bidang kenegaraan dan pembinaan bangsa untuk terus memberi sumbangan kepada pemikiran tersebut.

KETIGA; mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Johor supaya mewujudkan geran penyelidikan dan biasiswazah Dato’ Onn.

Johor Bahru
4 Disember 2006

Tiada ulasan:

Catat Ulasan