FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN, MATLAMAT,
OBJEKTIF
DAN ORGANISASI KANDUNGAN
Pengenalan
Sistem
pendidikan format atau moden di Tanah Melayu bermula sejak zaman penjajah
Inggeris. Sekolah pertama dibina ialah Penang Free School. Walau
bagaimanapun, usaha Inggeris itu sebenarnya bukan bertujuan untuk memajukan
orang Melayu, melainkan untuk menghalalkan penjajahan. Selain itu, ia bertujuan
untuk mengelakkan tuduhan penindasan terhadap rakyat Malaysia daripada parti-parti politik di Britain dan pertubuhan dunia. Usaha menjadikan
sistem pendidikan ke arah membentuk negara bangsa bermula selepas Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan. Penyata Razak (1956) telah menjadi asas pengubalan
Ordinan Pelajaran 1957. Ordinan ini menyarankan satu sistem pelajaran yang
memenuhi keperluan negara diwujudkan. Bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia atau bahasa Inglish) telah dijadikan
Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar utama di sekolah. Laporan Penyata Razak,
“... hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini
dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan
menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar ....” Laporan
Penyata Rahman Talib (1960) menyarankan agar laporan Penyata Razak
dipertingkatkan. Ia menjadi asas penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang
menghendaki sistem pendidikan negara diperkemaskan agar lebih berkesan.
Cadangan
Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib yang menghendaki satu sistem pendidikan
kebangsaan yang seragam untuk semua kaum dengan menggunakan bahasa sama sebagai
bahasa pengantar terbukti sangat penting apabila pada 13 Mei 1969 berlaku
rusuhan kaum. Kebaikan utama peristiwa berdarah itu ialah memberi kesedaran
kepada kerajaan, khususnya pemimpin politik, agar mengutamakan kepentingan
rakyat daripada kepentingan peribadi. Sejak itu kerajaan menggubal banyak dasar
yang bertujuan merapatkan hubungan kaum dan perpaduan. Pelbagai dasar telah
diperkenalkan, termasuk Rukun Negara yang bertujuan;
ü Mencapai perpaduan
erat rakyat pelbagai kaum;
ü Memelihara satu cara
hidup demokratik;
ü Mencipta satu
masyarakat adil dan menikmati kemakmuran secara bersama dan saksama;
ü Menjamin satu
masyarakat liberal terhadap kebudayaan; dan
ü Membina satu
masyarakat progresif yang menggunakan Sains dan Teknologi moden.
Usaha
mencapai cita-cita di atas adalah berlandaskan lima prinsip, sebagaimana yang berikut;
ü Kepercayaan kepada
Tuhan;
ü Kesetiaan kepada raja
dan negara;
ü Keluhuran
perlembagaan;
ü Kedaulatan
undang-undang; dan
ü Kesopanan dan
kesusilaan.
Kesan
positif lain peristiwa 13 Mei 1969 ialah pengisytiharan Dasar Ekonomi Baru.
Dasar ini bertujuan membina perpaduan dan kemajuan rakyat melalui serampang dua
mata, iaitu;
ü Membasmi kemiskinan
dengan meninggikan taraf pendapatan dan menambahkan peluang-peluang pekerjaan
untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
ü Mempercepatkan proses
penyusunan masyarakat Malaysia untuk membaiki keadaan ekonomi yang tidak
seimbang agar dapat mengurangkan dan akhirnya menghapuskan pengenalan kaum
mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
Bagi
menyokong usaha-usaha kerajaan di atas, pada tahun 1974, kerajaan menubuhkan
Jawatankuasa Kabinet bagi mengkaji sistem pelajaran negara. Laporan
Jawatankuasa Kabinet agar sistem pendidikan negara dapat melahirkan masyarakat
bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Ciri-ciri masyarakat yang dikehendaki
ialah;
ü Mempunyai keazaman,
kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta
mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai rakyat Malaysia;
ü Menghormati dan
mematuhi undang-u ndang serta perraturan, berdasarkan bekerja atau membuat
sesuatu hingga sempurna, menghormati hak-hak individu, mengamalkan ti ngkah
laku yang baik dan tidak menjejaskan kepentingan orang lain, menghhormati dan
mempunyai semangat memperbaiki keadaan secara membina, dan bersedia berkhidmat
untuk negara; dan
ü Mendapat pendidikan
dan latihan supaya boleh menyertai dengan berkesan dalam kegiatan pembangunan
negara.
Untuk mencapai cita-cita di atas, Jawatankuasa Kabinet
mengemukakan beberapa perakuan yang bertujuan meningkatkan mutu pendidikan
negara. Perakuan tersebut ialah;
ü Pendidikan
peringkat asas memberikan penegasan dalam bidang membaca, menulis dan mengira;
ü Memenuhi
kehendak pendidikan ke arah perkembangan individu secara menyeluruh;
ü Memenuhi
pendidikan negara ke arah perkembangan bakat kanak-kanak;
ü Meningkatkan
pengetahuan, nilai disiplin, kemahiran yang pelbagai dan berdedikasi;
ü Berfikir
dan bertindak dengan baik berpandukan akhlak yang mulia; dan
ü Individu
yang dihasilkan dalam sistem pendidikan negara adalah selaras dengan
pembanugnan kemanusiaan.
Laporan
Jawatankuasa Kabinet menjadi asas Kementerian Pendidikan Malaysia menggubal dan
melaksanakan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan mulai tahun
1982, dan Kurikulum Bersapadu Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan mulai
tahun 1988. Berlandaskan hasrat dan cita-cita yang terkandung dalam Penyata
Razak, Penyata Rahman Talib, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet,
Rukun Negara dan dasar-dasar kerajaan, maka Kementerian Pendidikan telah
merangka satu falsafah pendidikan sebagai pegangan dan arah tuju pendidikan
nasional.
Penyataan
Falsafah Pendidikan, Matlamat dan Objektif Pendidikan
(a) Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan merupakan tonggak kemajuan, sama ada kemajuan
individu, masyarakat mahupun negara. Pendidikan juga menentukan corak manusia
dan masyarakat. Manusia yang berpendidikan lebih berdisiplin berbanding manusia
yang tidak mendapat pendidikan sempurna. Pendidikan yang sempurna dan berkesan
dapat diperoleh apabila wujud satu sistem yang teratur. Dalam sistem itu
digarisi visi dan misi, matlamat, peraturan dan undang-undang. Antara aspek
pendidikan sempurna dan bersistem ialah apabila digubal satu falsafah
pendidikan yang seragam untuk semua bangsa dalam sebuah negara berdaulat. Pada
awalnya, falsafah pendidikan dalam sistem pendidikan Malaysia dinamakan Falsafah Pendidikan Negara,
sebagaimana di bawah.
Pendidikan di
Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan negara.
Sekitar
akhir tahun 1990-an, penyataan falsafah pendidikan itu disemakan dan
diperkemaskan. Kini ia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
sebagaimana di bawah.
Pendidikan di
Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
(b) Matlamat Pendidikan
Bagi mencapai pelaksanaan
falsafah, Kementerian Pendidikan telah merangka satu sukatan pelajaran bagi
setiap subjek yang diajar di sekolah. Untuk Bahasa Melayu dinamakan Sukatan
Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu untuk digunakan di
sekolah rendah, manakala Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM) Bahasa Melayu untuk kegunaan di sekolah menengah. Dalam sukatan
berkenaan digarisi satu matlamat pendidikan, iaitu;
Matlamat
kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan
keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan ini untuk
memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.
(c) Objektif Pendidikan
Setiap
sukatan mata pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah mempunyai objektif
masing-masing. Objektif ini akan berubah-ubah setiap kali semakan dilakukan.
Hal ini bagi memenuhi keperluan semasa dan demi satu sistem pendidikan yang
berkesan. Objektif Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)
Bahasa Melayu (edisi semakan) cetakan tahun 2003 ialah sebagaimana di bawah.
I. mendengar
dengan teliti serta memahami dan menghayati pengucapan dalam konteks perbualan
harian dan situasi formal;
II. bertutur
dengan petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai
situasi;
III. berbincang
dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan
membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
IV. membaca
pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan dengan menggunakan teknik
membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat
secara kritis;
V. menyemai
budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah membina budaya
pembelajaran berterusan;
VI. memperkembang
kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni
melalui aktiviti bertutur, membaca dan menulis;
VII. mengenali
dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan berunsur
pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang
sesuai dan betul;
VIII. menggunakan
bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata,
tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca,
dan menulis;
IX. menghargai
dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu;
dan
X. menghayati
dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme, dan perasaan
cinta akan negara.
Pengenalan
Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah
Organisasi Kandungan Sukatan
Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah mempunyai beberapa bahagian, iaitu Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa,
dan Pengisian Kurikulum.
(a) Kemahiran Bahasa
Kemahiran
Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran
Bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Kemahiran Mendengar merujuk kepada
keupayaan murid mendengar dengan teliti, memberikan maklum balas dan memahami
perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan. Kemahiran Bertutur
merujuk kepada keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan menyampaikan
pendapat, perasaan, maklumat serta idea yang bernas dengan sebutan dan intonasi
yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada penggunaan pengucapan yang
menggunakan tatabahasa yang sesuai. Lazimnya Kemahiran Mendengar dan Kemahiran
Bertutur dijalankan serentak dan dikenali sebagai Kemahiran Mendengar dan
Bertutur. Hal ini disebabkan, dalam Kemahiran Mendengar akan melibatkan
pertuturan.
Kemahiran
Membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca ayat dengan sebutan, intonasi,
jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman
dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik
membaca. Manakala, Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis
perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang
berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui
dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta
tulisan yang jelas dan cantik. Murid juga digalakkan untuk menggunakan
kreativiti mereka bagi menghasilkan penulisan bahan berunsurkan pengetahuan dan
penulisan imaginatif.
(b) Hasil Pembelajaran
Hasil
Pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum
bahasa. Pernyataan hasil pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang
kemahiran yang perlu dicapai oleh murid. Oleh itu, murid perlu menguasai
kemahiran bahasa yang terdapat dalam setiap hasil pembelajaran. Justeru, hasil
pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan
prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan. Dalam konteks pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah, hasil pembelajaran dapat dicapai dengan
menggabungjalinkan keempat-empat kemahiran bahasa, sistem bahasa dan pengisian kurikulum.
Pendekatan yang berfokus pada gaya pembelajaran yang pelbagai juga dapat
membantu murid mencapai hasil pembelajaran. Selain itu, hasil pembelajaran juga
dapat membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid.
(c) Sistem Bahasa
Sistem
Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, kosa
kata, peribahasa, ejaan, dan sebutan dan intonasi. Aspek tatabahasa merangkumi
morfologi dan sintaksis manakala aspek kosa kata terdiri daripada kosa kata
umum dan istilah yang terdapat mata-mata pelajaran di peringkat rendah.
(d) Pengisian Kurikulum
Pengisian
Kurikulum terdiri daripada elemen yang menggabungkan aspek ilmu, nilai murni,
kewarganegaraan, peraturan sosio-budaya, dan kemahiran bernilai tambah.
Setiap
bahagian (a) – (d) akan dibincangkan secara lebih khusus di bawah tajuk
masing-masing.
Perkaitan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan Matlamat dan Objektif
Terdapat
13 tuntutan atau hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Kesemua tuntutan atau hasrat itu mempunyai perkaitan dengan Matlamat Pendidikan
dan Objektif Pendidikan.
(a) Pendidikan Suatu Usaha Berterusan
Dalam
Islam, pendidikan seseorang bermula sejak menjatuhkan benih hingga seseorang
itu tamat hayat usianya. Islam menuntut benih yang halal melalui hasil
perkahwinan. Ibu yang hamil (juga bapa) dituntut berkelakuan sopan, membaca
al-Quran dan bercakap-cakap dengan janin dalam kandungannya. Perbuatan itu
dipercayai boleh mempengaruhi pembesaran janin. Setelah dilahirkan, kanak-kanak
diasuh dengan didikan agama, budi perkerti, mengenal adab budaya bangsa hingga
menerima pendidikan secara formal. Walaupun sudah tamat alam persekolahan,
manusia masih dituntut untuk terus belajar, meningkatkan pengetahuan,
kematangan dan kepakaran. Sebenarnya, proses pendidikan terus berlangsung dalam
diri seseorang. Hal ini selaras dengan Matlamat pendidikan agar manusia terus
menimba ilmu, dan Objektif Pendidikan ke V, iaitu menyemai budaya membaca
sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah membina budaya pembelajaran
berterusan;
(b) Perkembangan Potensi Individu secara
Menyeluruh dan Bersepadu
Dalam
al-Quran Surah At-Tiin ayat 4 Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya.” Ayat ini merupakan
pengakuan Allah bahawa setiap manusia telah dicipta dengan sempurna dan setiap
individu mempunyai potensi untuk maju. Yang tinggal kini ialah usaha
menggerakkan potensi individu dalam diri seseorang. Oleh sebab itu, Matlamat
Pendidikan Bahasa Melayu adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan
berbahasa dan berkomunikasi. Bahasa merupakan salah satu alat yang dapat
menggerakkan potensi individu. Peguam menang bicara kerana kepetahan
menggunakan bahasa. Demikian murid berjaya dalam peperiksaan kerana kemampuan
menggunakan bahasa untuk menyampaikan maksud yang dikehendaki soalan. Menyedari
potensi individu boleh dimajukan, maka sistem pendidikan di Malaysia memberi peluang secukup dan sama rata
kepada semua individu untuk memajukan dirinya. Hal ini banyak ditegaskan
sebagai Objektif Pendidikan misalnya, memperkembang kekuatan imaginasi,
kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti
bertutur, membaca dan menulis; atau mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis
penulisan bentuk kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran
menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul. Sesetengah individu
mempunyai bakat dan keupayaan untuk memajukan dirinya. Namun, bakat dan
keupayaan itu tidak mampu digerakkan sendirian, melainkan perlu sokongan
daripada individu-individu lain. Justeru, guru dan masyarakat perlu berganding
bahu mencungkil, memupuk, memperkembangkan dan mempertingkatkan bakat dan
keupayaan individu seseorang. Walau bagaimanapun, terdapat juga individu yang
tidak dapat dikembangkan potensi dirinya, sebagaimana maksud pantun di bawah.
Berburu
di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru
kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Mengapakah hal ini
terjadi? Dalam al-Quran Surah Asy-Syura ayat 30 Allah berfirman yang bermaksud,
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan, maka ia adalah
disebabkan apa yang kamu lakukan.” Ertinya, “bunga kembang tak jadi” bukan
disebabkan sistem pendidikan atau guru, melainkan diri individu itu sendiri
yang tersalah menjana pendidikan dirinya.
(c) Insan yang Seimbang dan Harmonis Intelek
Yang
dimaksudkan seimbang dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah memberi tempat
yang sewajar dan adil kepada semua keperluan pendidikan manusia khususnya dari
segi pertumbuhan akal, perkembangan sahsiah secara sihat dan bersepadu.
Harmonis pula ialah wujudnya keserasian antara pertumbuhan dan perkembangan
fizikal dengan pertumbuhan dan perkembangan rohani. Keserasian itu merupakan
makanan intelek. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) insan yang seimbang dan harmonis
dapat mengamalkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan
teguh kepada Tuhan, berfikiran tenteram, sihat tubuh badan, hidup bermasyarakat
dan cergas. Hal ini sangat mempengaruhi pembentukan intelek. Antara ciri-ciri
individu yang seimbang dan harmonis inteleknya ialah;
ü Sempurna kemahiran
asas iaitu membaca, menulis dan mengira,
ü Sentiasa berusaha
mencari, membaiki, meningkat, mengamal dan menyebarkan ilmu,
ü Sentiasa berfikir
keatif dan kritis, dan mencerakinkan pemikirannya untuk menghasilkan idea-idea
bernas dan menjawab permasalahan masyarakat,
ü Berupaya memanfaatkan
ilmu untuk kemajuan diri dan orang lain.
(d) Insan yang Seimbang dan Harmonis Rohani
Yang dimaksudkan
rohani ialah merujuk pembentukan dan pembinaan watak dan kejatidirian manusia.
Sebagai warga Malaysia, seharus sistem pendidikan melahirkan
watak dan kejatidirian watak yang sesuai dengan agama, adat dan sosio budaya Malaysia, sebagaimana termaktub dalam Rukun
Negara. Ciri-ciri individu yang mempunyai rohani seimbang dan harmonis ialah;
ü Menyedari
adanya Pencipta dan mempercayai-Nya,
ü Menyedari
dan mengamalkan sikap bertanggungjawab kepada agama, diri, masyarakat, bangsa
dan negara,
ü Menghargai
dan mensyukuri anugerah Tuhan, pemberian negara, masyarakat dan keluarga,
ü Memumpuk
dan membina disiplin diri, dan
ü Membentuk
akhlak mulia dan tingkah laku sopan.
(e) Insan yang Seimbang dan Harmonis Emosi
Seimbang dan harmonis
emosi dapat menjana tingkah laku dan pemikiran sihat, matang dan bertolenrasi
antara individu. Memang pendidikan mengasuh perasaan dan pemikiran sihat. Allah
menegaskan dalam diri manusia ada seketul daging, jika sihat daging itu makan
akan sihatlah pemiliknya. Yang dimaksudkan daging itu, dalam worlview Melayu
ialah hati. Sebenarnya, ‘daging’ itu merujuk juga kepada kalbu atau jiwa.
Dalamnya terkumpul budi fikir dan budi rasa manusia. Ciri-ciri emosi yang
seimbang dan harmonis ialah;
ü Berperasaan
tenang dan tingkah laku terkawal,
ü Mempunyai
rasa kasih sayang terhadap semua makhluk,
ü Memiliki
semangat kekitaan dan perpaduan dan menghormati orang lain,
ü Menghargai
dan menyayangi keindahan alam,
ü Menghargai
dan menghormati keindahan buatan manusia selagi ia tidak bertentangan dengan
agama dan adat budaya, dan
ü Selalu
bersikap matang dan terbuka.
(f) Insan yang Seimbang dan Harmonis Jasmani
Keseimbangan
dan keharmonian jasmani merujuk kesihatan tubuh badan. Walaupun merujuk tubuh
badan, kesihatannya bukan bergantung pada penjagaan tubuh badan semata-mata,
melainkan juga perlu penjagaan emosi. Hal ini kerana emosi juga mempengaruhi
kesihatan tubuh badan. Dalam ilmu perubatan Cina, tubuh badan yang sakit kerana
tiada keseimbangan Yang dengan Ying dalam badan manusia. Demikian juga dalam
sistem perubatan Melayu seperti pembomohan, Bageh, Main Puteri adalah berkenaan
memulihkan ritual dalam diri manusia. Dalam hal ini, yang dikatakan jasmani
yang seimbang dan harmoni ialah;
ü Sihat badan dan sihat
emosi,
ü Sentiasa melakukan
riadah, yoga atau bermeditasi,
ü Sentiasa sedar,
mencungkil, mengembangkan dan memanfaatkan bakat dan keupayaan diri,
ü Sentiasa amal sikap
mencuba dan berdikari,
ü Menggunakan bakat dan
keupayaan diri untuk kesejahteraan diri dan masyarakat, dan
ü Berusaha meningkatkan
daya pengeluaran.
(g) Kepercayaan dan Kepatuhan kepada Tuhan
Malaysia sebuah negara berkonsepkan teologi.
Setiap warganya mempunyai kepercayaan masing-masing. Hal ini termaktub dalam
Rukun Negara dan menjadi prinsip pertama. Malaysia percaya peranan agama sebagai pembentuk
dan pembina watak manusia berharmonis. Manusia yang patuh dan percaya kepada
Tuhan akan dipercayai menjadi tonggak kedamaian, keamanan dan keharmonian
masyarakat. Ciri-ciri manusia yang percaya dan patuh kepada Tuhan ialah;
ü Mengakui dan percaya
tentang wujudnya Tuhan,
ü Mengakui bahawa
manusia dan alam tidak wujud dengan sendiri,
ü Mengakui bahawa segala
tabii, kejadian dan fenomena alam ditetapkan oleh Tuhan,
ü Menyedari bahawa
manusia bertanggungjawab memakmurkan alam,
ü Menyedari bahawa
manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya,
ü Sentiasa berusaha
memperkukuhkan amalan keagamaan, dan
ü Sentiasa berusaha
melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.
(h) Rakyat Malaysia yang Berilmu Pengetahuan
Pendidikan
percuma dari tahun satu hingga tingkatan enam yang diberikan kepada setiap
warganegara adalah bukti kesedaran kerajaan terhadap kepentingan ilmu. Pelbagai
usaha dilakukan untuk membina insan berilmu dan berdaya saing. Ciri-ciri insan
berilmu ialah;
ü Mencintai ilmu
pengetahuan,
ü Gemar membaca dan
menimba ilmu,
ü Sentiasa berusaha
menambahkan ilmu pengetahuan,
ü Bersedia untuk diajar
dan belajar,
ü Berfikiran luas,
terbuka, kritis dan matang,
ü Berusaha mengamal dan
menyebarkan ilmu pengetahuan yang ada, dan
ü Sentiasa menggalakkan
orang lain menambah ilmu pengetahuan.
(i) Rakyat Malaysia yang Berketerampilan
Kamus Dewan
mencatatkan maksud terampil sebagai cekap (dalam melaksanakan sesuatu,
menyelesaikan masalah dsb), mampu dan cekatan. Manakala maksud keterampilan
ialah kecekapan, dan kemampuan yang tinggi. Oleh sebab itu, rakyat yang
berketerampilan adalah merujuk kepada mereka yang mempunyaikecekapan dan
kebolehan tinggi melaksanakan tanggungjawab dan tugas. Antara ciri-ciri rakyat
yang berketerampilan ialah;
ü Mempunyai kelayakan
dan kebolehan yang sepadan dengan jawatan dan tugas,
ü Mempunyai pengetahuan
luas untuk melaksanakan sesuatu tugas,
ü Dapat melaksanakan
tugas dengan cepat, cekap, dan sempurna, dan
ü Hasil kerjanya
memuaskan pengguna dan pelanggan.
(j) Rakyat Malaysia yang Berakhlak Mulia
Akhlak
atau moral sangat penting bagi setiap individu. Walaupun perlakuan berakhlak
tidak boleh diwarisi,namun amalan akhlak boleh dipelajari dan diamalkan. Orang
yang berakhlak akan dipandang mulia dan dihormati. Antara ciri-ciri rakyat yang
berakhlak mula ialah;
ü Mempunyai pengetahuan
tentang nilai-nilai murni, tatasusila dan adab,
ü Mempunyai kesedaran
tinggi terhadap perbuatan baik dan perbuatan buruk, dan
ü Sentiasa mengamal dan
mengutamakan nilai-nilai murni, tatasusila dan beradab dalam setiap perlakuan,
(k) Rakyat Malaysia yang Bertanggungjawab
Sikap
bertanggungjawab merupakan antara ciri-ciri insan yang dituntut oleh agama.
Insan yang bertanggungjawab dapat membina kejayaan diri, masyarakat dan negara.
Masyarakat juga mempunyai kepercayaan dan keyakinan tinggi apabila berurusan
dengan individu yang bertanggungjawab. Antara ciri-ciri rakyat yang
bertanggungjawab ialah;
ü Menyedari dan faham
bahawa setiap tugas adalah amanah,
ü Menyedari dan faham
bahawa setiap tugas perlu dilaksanakan dengan cekap, cepat dan sempurna,
ü Sentiasa berusaha
meningkatkan kualiti mutu kerja,
ü Sentiasa berusaha
meningkatkan kuantiti pengeluaran,
ü Sentiasa mematuhi
peraturan, undang-undang, adab dan adat bangsa, dan
ü Berusaha memajukan
diri, keluarga,masyarakat, agama, bangsa dan negara.
(l) Rakyat Malaysia yang Berkeupayaan Mencapai
Kesejahteraan Diri
Kesejahteraan
diri meliputi kesejahteraan fizikal dan mental. Sihat fizikal ditandai
keceriaan dan kelincahan diri, manakala sihat mental meliputi pemikiran dan
perlakuan yang harmonis. Antara ciri-ciri kesejahteraan diri ialah;
ü Mempunyai fikiran yang
waras, jiwa yang tenang dan badan yang sihat,
ü Mempunyai daya
ketahanan diri yang kuat untuk menghadapi sebarang cabaran,
ü Sentiasa mewujudkan
perhubungan yang harmonis dengan orang lain,
ü Matang bertindak dalam
apa jua situasi, dan
ü Berkelakuan tenang dan
tidak terburu-buru.
(m) Rakyat
Malaysia yang Dapat Memberi Sumbangan terhadap
Keharmonian dan Kemakmuran
Masyarakat dan Negara.
Setiap
rakyat dituntut memberi sumbangan ikhlas ke arah keharmonian, kemakmuran dan
pembinaan masyarakat dan negara. Masyarakat Melayu menganggap sumbangan,
material dan nonmaterial, sebagai jasa atau budi. Orang berjasa atau orang
berbudi dipandang tinggi dan dihormati. Hal ini banyak dijelaskan dalam
pantun-pantun, misalnya pantun di bawah.
Di
sana padi di sini padi,
Baru bernama sawah dan bendang;
Di
sini budi di sana budi,
Baru sempurna menjadi orang.
Antara
ciri-ciri rakyat yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara ialah;
ü Sentiasa berusaha
memupuk perpaduan rakyat melalui pelbagai aktiviti sihat,
ü Sentiasa berusaha
memajukan membangunkan diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara,
ü Sentiasa mematuhi
peraturan dan undang-undang, dan
ü Sentiasa patuh pada
prinsip dan Rukun Negara, dll.
Kesimpulan
Berasaskan
maklumat di atas, kita dapati kerajaan bersungguh-sungguh memajukan rakyat dan
negara. Usaha melaksanakan kemajuan itu digerakkan melalui pelbagai dasar dan
perancangan, termasuklah melalui pembinaan falsafah pendidikan dan kurikulum
pembelajaran di sekolah. Usaha itu digerakkan seawal usia dan dalam pelbagai
bidang yang bersesuaian dengan kebolehan diri masing-masing. Langkah itu adalah
sesuai, bak kata pepatah Cina, perjalanan beribu batu bermula dari langkah
pertama. Maksud langkah pertama, dalam konteks ini, ialah memajukan insan
seawal usia melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan