Khamis, 29 November 2012

Karangan Jenis Menyambung Cerita.



KARANGAN JENIS MENYAMBUNG CERITA

Ciri-ciri

1. Ciri-cirinya tiada bezanya daripada karangan cereka dan cerita.

2. Bezanya adalah terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan. Contohnya, murid-murid diberi satu perenggan yang terdiri daripada dua atau tiga ayat. Ayat terakhir tidak lengkap, murid dikehendaki menyambung cerita tersebut.

3. Perkara yang ditekankan ialah jalan cerita, watak, peristiwa dan tempat.

4. Aspek-aspek yang dikemukakan perlu ada unsur ketegangan atau suspens supaya menjadi menarik. Anda bebas menentukan sendiri kesudahan ceritanya walaupun anda diberikan permulaan cerita tersebut.

5. Penggunaan bahasa kreatif seperti dialog, peribahasa dan ungkapan amat digalakkan. Ini membantu jalan cerita menjadi menarik.

 Pada suatu petang, Azmi dan Arjun pergi ke pekan untuk berjalan-jalan. Sewaktu mereka tiba di sebuah selekoh terdengar suatu jeritan yang kuat, “Tolong! Tolong! Aduh! Sakit!...” Lengkapkan cerita ini.

Pada suatu petang, Azmi dan Arjun pergi ke pekan untuk berjalan-jalan. Sewaktu mereka tiba di sebuah selekoh terdengar suatu jeritan yang kuat, “Tolong! Tolong! Aduh! Sakit!...” Azmi dan Arjun berlari menuju ke arah jeritan itu.
            Di sana mereka terjumpa seorang budak lelaki tersungkur di dalam semak sambil memegang kaki. Arjun membantu budak itu untuk berdiri tetapi budak itu menjerit apabila disentuh kakinya. Azmi mengeluarkan sapu tangan dan membalut kaki budak itu. Kemudian mereka berdua memapah budak itu ke bahu jalan raya dan menahan sebuah kereta.
            Mereka membawa budak itu ke klinik berhampiran dengan bantuan pemandu kereta tersebut. Di klinik, doktor memberitahu kaki budak itu terseliuh. Azmi menelefon ibu bapanya. Beberapa minit kemudian, ibu bapa budak itu tiba di klinik. Mereka kelihatan susah hati.
            Ibu bapa budak itu mengucapkan terima kasih kepada Azmi dan Arjun atas jasa baik mereka. Selepas dua hari, Azmi dan Arjun menerima sebuah bungkusan yang mengandungi beberapa buah buku dan kad ucapan terima kasih daripada ibu bapa budak itu.

Kosa Kata:
Bersiar-siar    - makan angin/berjalan-jalan
Tersungkur   - jatuh dengan mukanya terkena tanah
Memapah   - membantu orang berjalan sambil memegang
Terseliuh        - tergeliat/salah urat

Ali dengan tergesa-gesa menuju ke pondok telefon. Tanpa membuang masa dia menelefon balai bomba... Sudahkan cerita ini.

Ali dengan tergesa-gesa menuju ke pondok telefon. Tanpa membuang masa dia menelefon balai bomba dan memberitahu tentang kebakaran yang berlaku di kampungnya. Dalam masa sepuluh minit dua buah kereta bomba tiba d tempat kejadian.

Sederet rumah panjang di kampung Ali telah dijilat api. Api marak dengan cepat akibat angin yang bertiup kencang. Ahli-ahli bomba bertungkus lumus untuk memadamkan api dari merebak. Mereka memancutkan air ke arah rumah yang terbakar. Dalam masa setengah jam mereka berjaya memadamkan api tersebut.

Penghuni-penghuni rumah panjang itu tidak dapat menyelamatkan harta benda. Mereka tinggal sehelai sepinggang. Ketua kampung membawa mereka ke balai raya dan orang-orang kampung menghulurkan bantuan sementara kepada mereka.

Kebakaran ini telah memusnahkan sederet rumah panjang dan punca kebakaran masih dalam siatatan. Ketua kampung dan pengawai bomba mengucapkan terima kasih kepada Ali atas tindakan segeranya menelefon pihak bomba.

Kosa Kata

Tergesa-desa          - cepat-cepat
Kencang                  - kuat
Menghulurkan        - memberikan
Bantuan                   - pertolongan

Latihan
Tuliskan sebuah cerita yang bermula dengan ‘Kami berdiri untuk memberi ucapan selamat pagi kepada guru baru itu. Setelah itu ……………..


Karangan Jenis Syarahan



KARANGAN JENIS SYARAHAN 

( hanya sesuai sebagai asas karangan syarahan)


CIRI-CIRI KARANGAN SYARAHAN.

1.Karangan jenis syarahan mempunyai format yang tersendiri.

2.Syarahan biasanya disampaikan untuk pertandingan.

3.Sebelum syarahan disampaikan,pensyarah perlu mengetahui tajuk
   syarahannya terlebih dahulu.

4.Tajuk syarahan lazimnya berkaitan dengan aspek perbincangan dan
   penghuraian pendapat dengan bernas,jitu dan padat.

5.Format yang terdapat dalam karangan syarahan ialah:
    a.Kata-kata aluan dimulakan sebagai pendahuluan dalam ucapan.
        Kata-kata aluan disampaikan mengikut tingkat kedudukan.
    b.Isi-isi dimulakan dengan ucapan terima kasih dan nyatakan tajuk
        syarahan.
    c.Penutup sebuah ucapan akan diakhiri dengan membuat
       kesimpulan daripada tajuk syarahan itu dan ucapan terima kasih. 

Tuliskan sebuah syarahan yang bertajuk ‘Kesan Pencemaran Alam Sekitar Kepada Manusia’.

            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adil, Tuan Guru besar dan seterusnya hadirin sekalian. Selamat Sejahtera saya ucapkan. ‘ Kesan Pencemaran Alam Sekitar Kepada Manusia’, begitulah tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini.
            Pencemaran merupakan pengotoran alam sekitar. Pencemaran dapat dibahagikan kepada tiga iaitu pencemaran udara, air dan bunyi. Keadaan ini berleluasa di bandar dan kawasan perindustrian. Pencemaran ini memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Hadirin yang dihormati.
            Pencemaran udara berlaku apabila gas karbon monoksida daripada asap kilang dan kenderaan dibebaskan terlalu banyak ke udara. Pencemaran ini menyebabkan penyakit jantung, barah, sakit kulit, sakit mata dan sebagainya.
            Pencemaran air pula berpunca daripada pembuangan sisa-sisa kilang ke dalam sungai dan laut. Pencemaran air menyebabkan kepupusan hidupan air. Sumber air bersih juga turut terjejas. Pencemaran bunyi yang mengganggu ketenteraman awam dan boleh merosakkan pendengaran berlaku paling teruk di kawasan bandar.
            Setiap orang mesti sedar dan bertanggungjawab dalam mengatasi masalah pencemaran ini. Sebelum saya mengundurkan diri, ingin saya memohon maaf jika tersalah dan terkasar bahasa. Sekian, terima kasih.

Kosa Kata:
Berleluasa                             : semakin bertambah
Karbon monoksida            : gas beracun
Kepupusan                          : Hilang/lenyap

Kamu akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan kamu ialah ‘ Faedah Melancong’. Tuliskan syarahan tersebut.

            Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang adil, Tuan Guru besar, guru-guru dan hadirin sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah “Faedah Melancong”.
            Melancong memberi banyak faedah. Biasanya kita melancong bersama keluarga atau secara bersendirian. Tempat yang biasa dilawati ialah tempat yang menarik hati dari segi keindahan, pemandangan serta sejarahnya.
            Kita dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman dengan melancong. Jika kita melancong ke luar negara, kita dapat mengetahui kebudayaan dan adat resam negara itu.
            Di samping itu, kita juga boleh menarik pelancong-pelancong luar negara ke negara kita. Pelancongan juga dapat meningkatkan taraf ekonomi sesebuah negara hasil daripada kemasukkan wang melalui pelancong asing.
            Oleh itu, saya berharap perusahaan pelancongan akan mendapat perhatian daripada rakyat dan juga kerajaan. Ini secara tidak langsung menjadikan negara kita terkenal di mata dunia.
Sekian terima kasih.


Latihan

Andaikan anda akan mewakili sekolah anda dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan kamu ialah ‘Kepentingan Semangat Gotong-royong’.


Karangan Jenis Dialog/ Perbualan



KARANGAN JENIS DIALOG/PERBUALAN

Ciri- ciri karangan jenis perbualan/ dialog

1.Karangan dialog melibatkan dua pihak atau lebih.

2.Perbualan berkisar tentang perkara-perkara seharian atau soal-soal
    peribadi.

3.Ada perhubungan dua hala,iaitu ada soalan dan jawapan.

4.Karangan dialog mempunyai format yang ringkas iaitu:
    a.nama watak ditulis selari di sebelah kiri.
    b.Tanda titik bertindih(:) dibubuh selepas nama watak.

5.Perbualan boleh berlaku secara panggilan telefon atau secara    
   bersemuka.

6.Perbualan yang baik perlu ada perbincangan dan jawapan
   daripada hendaklah logik dan benar.

7. Untuk pendahuluan,gunakan kata-kata bertatasusila seperti
    selamat pagi,apa khabar,dan sebagainya.
 
Kawan kamu tidak hadir ke sekolah pada hari ini.Kamu menelefon kawan kamu untuk bertayakan mengapa dia tidak datang ke sekolah.Tuliskan perbualan telefon itu.

Fatin : Helo, bolehkah saya bercakap dengan Fiza?

Fiza   : Ya, ini Fiza bercakap,siapa di sana?

Fatin : Saya Fatin.Awak tidak hadir ke sekolah hari ini.Jadi, bolehkah
           saya tahu sebabnya? Kawan-kawan lain juga tertanya-tanya
           tentang awak.

Fiza  : Sebenarnya , kami sekeluarga pergi ke Lapangan Terbang
           Antarabangsa Kuala Lumpur kerana menyambut kepulangan
           abang saya.Dia baru pulang dari Universiti Tokyo,Jepun setelah
           tamat pengajian.

Fatin : Oh,begitu rupanya! Kami ingatkan awak sakit atau ada hal-hal
            lain.

Fiza  : Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan, saya sihat
           walafiat.Bagaimana dengan pelajaran pada hari ini.

Fatin : Tadi, cikgu Fori mengajar topik baru.Dia juga memberi latihan
            kepada kita .Nanti awak boleh pinjam buku saya.

Fiza  : Terima kasih. Bagus juga cadangan awak itu.Esok adalah cuti   
          hujung minggu.Saya akan datang ke rumah awak untuk 
          mengambil buku itu.

Fatin : Baiklah, saya tunggu kedatangan awak.

Kosa kata:
Menyambut : menerima kepulangan seseorang
Topik              : Tajuk
Cadangan   : Usul,pendapat

 Latihan

Kamu tidak dapat hadir ke sekolah kerana demam.Tuliskan perbualan kamu dengan guru kelas untuk menerangkan sebab-sebab kamu tidak ke sekolah pada hari tersebut.

Karangan Jenis Berita



KARANGAN JENIS BERITA

Ciri-ciri  karangan jenis berita:

1. Berita ialah maklumat yang disampaikan untuk memberikan
pengetahuan, hiburan,peristiwa semasa, dan maklumat tambahan    kepada pembaca.

2. Dalam peperiksaan, karangan berita disoal dengan memberikan satu
    situasi. Anda hendaklah menulis karangan berdasarkan situasi tersebut.
    Teknik menulis berita tidak sama dengan menulis karangan biasa. Berita  
    mempunyai perenggan yang banyak. Tidak semestinya satu
    perenggan dikira sebagai satu isi.

4. Satu perenggan berita mengandungi satu atau dua ayat.

5. Dalarn berita ada sedutan daripada kata-kata seseorang. Ini bertujuan
    meyakinkan pembaca tentang berita yang kainu sampaikan.

6. Berita mempunyai formatnya yang tersendiri.
a) nama tempat-ditulis sebelah kiri perenggang pertama dengan  
     hurufbesar dan diikuti tanda koma (;)
b) nama hari- ditulis selepas nama tempat dan diberi tanda
     sempang (-) sebelum memulakan perenggan pertama.

7. Penutup berita adalah tindakan yang diambil terhadap kejadian.
 
Tulis sebuah berita kema1angan yang berlaku di tempat anda.

Petaling Jaya, 2 Disember — Sebuah bas ekspess yang membawa 30 orang penumpang terbabit dalarn kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan sebuah van. Pemandu bas ekspress dan dua penumpangnya meninggal dunia.

Azrni Halim 33, dari Taman Indah Bangi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Salmi Hashim 20 dan Tan Chee Keong 24, kedua-duanya berasal dari Taman Sri Sentosa meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Dearah, Temangku Rahman Salmon berkata. mayat ketiga-tiga mangsa telah dituntut oleh keluarga masing-masing.

Dalam kejadian yang berlaku semalan, lima orang penumpang bas dan tiga penumpang van cedera, termasuk empat yang cedera parah. Keempat-empat mereka cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur. untuk rawatan kecemasan.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. Walau bagaimanapun polis mengesyaki kemalangan ini mungkin disebabkan kerosakkan pada enjin bas ekspress tersebut.

________________________________________________________________________

Terbabit                        - terlibat
Meninggal dunia   - mati
Dituntut                    - diambil
Cedera parah        - luka yang serius


Tuliskan sebuah berita tentang kempen “Kelasku Rumahku”
yang telah diadakan di sekolah anda.

            TELUK INTAN ,6 Disember- Sekolah Rendah Raja Perempuan 1, merupakan sekolah rendah yang pertama di daerah ini yang menganjurkan kempen “Kelasku Rumahku”.

            Guru besarnya Haji Amiruddin Daud berkata, kempen ini diadakan selaras dengan usaha untuk menubuhkan satu sesi.Ini kerana pihak sekolah mahu mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa dan unik agar murid-murid dapat merasakan,seolah-olah mereka berada di rumah

            Pelaksanaan sekolah satu sesi bermakna pelajar-pelajar harus menghabiskan lebih kurang sembilan jam dalam sehari di sekolah.Oleh itu persekitaran pembelajaran yang sesuai adalah sangat penting untuk mengelakkan kebosanan di kalangan murid.

            Menerusi program Kelasku Rumahku ini,setiap darjah diubahsuai dan dilengkapi dengan ruang makan ,ruang rehat dan ruang belajar yang dilengkapi dengan segala peralatan.

            Pegawai Pendidikan Daerah, Haji Taib Osman yang merasmikan kempen ini berharap semoga program sebegini dapat dilaksanakan oleh sekolah-sekolah lain di negara ini.


Menganjurkan – mula-mula mengadakan
Menubuhkan   -  mendirikan/membentuk
Suasana            - Keadaan
Pelaksanaan    -  menjalankan

LATIHAN

Tuliskan sebuah berita tentang seorang kanak-kanak yang ingin meminta bantuan orang ramai untuk menjalani pembedahan di luar negara.


JKarangan Jenis Keperihalan



JENIS  KEPERIHALAN

1. Karangan jenis keperihalan merupakan sebuah cerita yang berkaitan dengan diri anda sama ada cerita yang pernah dialami, dilihat, dirasa atau didengar.

2. Karangan ini boleh direka tetapi perlu logik.

3. Karangan ini menghendaki anda menceritakan hal seseorang tempat ,peristiwa atau benda.

4. Perkara yang diambil kira mungkin perwatakan, pengalaman,pemandangan , situasi,sifat,sikap dan perasaan.

5. Cerita yang anda olah adalah permulaan,kemuncak dan bentuk.

6. Unsur ketegangan atau suspens harus dimasukkan untuk menjadikan cerita anda lebih menarik.

7. Karangan jenis ini senang ditulis jika anda pernah mengalami atau melihat perkara ini.

8. Gambaran mesti berkesan.
 
Anda telah pergi menyaksikan pesta buku baru-baru ini. Ceritakan pengalaman yang telah anda peroleh.

            Pada dua minggu yang lalu, aku dan keluarga telah berkunjung ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menyaksikan pesta buku. Ramai orang datang menyaksikan pesta tersebut.
           
            Aku membeli beberapa buah buku rujukan UPSR dan membayar harga di kaunter. Terdapat banyak buku yang dipamerkan dan diskaun diberi untuk setiap pembelian.

            Selain itu, alat-alat tulis turut dijual disitu. Aku dan adik membeli barang keperluan masing-masing sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Pelbagai jenama terdapat di sana dan mutunya pula sangat terjamin.

            Pertandingan melukis Menara Kuala Lumpur turut menarik perhatian aku. Aku sangat gembira mewarna bangunan yang keempat tertinggi di Asia itu.Banyak hadiah disediakan untuk para peserta. Aku berjaya memenangi hadiah saguhati.

            Kami pulang ke rumah pada pukul enam petang. Aku sangat gembira kerana dapat menyaksikan pesta buku itu, walaupun badanku keletihan.

Kosa kata :

Berkunjung               : pergi ke sesuatu tempat
Rujukan                     : keterangan lanjutan sesuatu perkara
Kaunter                     : tempat pembayaran
Diskaun                     : potongan harga
Jenama                    : jenis barang dengan nama tertentu
Sagu hati                 : ganjaran sebagai penghargaan
Terjamin                    : boleh dipercayai
 
Gambarkan suasana di pasar  pada waktu pagi.

             Di pasar terdapat pelbagai jenis barang keperluan harian seperti daging, sayur-sayuran dan sebagainya.
           
            Pasar menjadi tumpuan orang ramai pada waktu pagi hari minggu, cuti am dan hari-hari biasa.Orang ramai sibuk membeli barang-barang keperluan mereka.

            Orang ramai suka pergi ke pasar  pada waktu pagi kerana ikan dan sayuran masih segar dan baru. Selain itu,harga barang-barang di pasar lebih murah jika dibandingkan dengan pusat membeli belah.

            Di pasar kita dapat melihat berbagai-bagai ragam manusia,tidak kira lelaki atau perempuan. Keadaan pasar sangat sempit sehingga kita terpaksa berjalan dengan terhimpit-himpit.

            Keadaan pasar sangat bising. Para peniaga terlaung-laung memanggil pembeli datang ke gerainya. Keadaan pasar tidak menyenangkan. Terdapat berbagai-bagai bau seperti bau ikan, bau sampah dan lain-lain. Walau bagaimanapun pasar amatlah penting kepada pengguna.

Kosa Kata:

Tumpuan                 : Tempat menjadi tujuan orang ramai.
Segar                         : Baru
Ragam                      : Gaya
Sempit                       : Terlalu kecil
Berhimpit-himpit    : Berasak-asak
Terlaung-laung       : Memekik-mekik

Latihan

Anda telah dipilih mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan peringkat sekolah. Ceritakan pengalaman anda.
 

Karangan Jenis Autobiografi



KARANGAN  JENIS AUTOBIOGRAFI

1. Karangan autobiografi dikaitkan dengan cerita hidup sesuatu benda,tumbuhan,binatang dan sebagainya.

2. Perkara  yang diceritakan ialah tentang sejarah ciptaan,rupa bentuk,warna,harga,khidmat yang diberi dan sebagainya.

3. Karangan ini adalah jenis rekaan. Setiap rekaan anda perlulah logik dan munasabah.

4. Untuk ‘menghidupkan’ cerita,nada perlu membayangkan diri anda sebagai objek tersebut.

5. Anda perlu memahami dan mengetahui   peranan, keistimewaan,serta kegunaan yang dimiliki oleh objek berkenaan bagi memudahkan anda mengolah cerita.

6. Ungkapan atau peribahasa yang sesuai boleh digunakan supaya karangan anda lebih menarik.

7. Pastikan ejaan,tanda baca,serta penggunaan imbuhan betul dan tidak ada kesilapan kerana perkara ini boleh mempengaruhi  markah anda.

8. Penutup karangan berkisar tentang nasib yang dialami.
 
Saya Sebuah Komputer
Aku dicipta daripada beberapa komponen elektronik hasil kajian sains teknologi. Badanku terdiri daripada ‘keyboard’, ‘monitor’, ‘hardisk’, ‘mouse’ dan juga ‘speaker’. Aku diberi gelaran sebagai Pentium MMX GSCOM.
Diriku digandingkan pula dengan rakan seperjuanganku yang lain seperti ‘mesin pencetak’ (printer) yang digelar ‘Lexmark’. Kami berdua bersahabat baik dalam mengharungi rutin hidup karni.’
Suatu hari, kami telah dibawa ke rumah banglo yang besar. Kami dibawa dengan penuh berhati-hati. Setelah tiba, baru kami sedar bahawa kami telah dibeli oieh seorang lelaki tua sebagai hadiah harijadi anak gadisnya yang berumur 13 tahun.
Semenjak itu, kami berkhidmat dengan penuh setia kepada tuan ‘Linda’ begitulah manisnya nama tuanku. Beliau amat menyayangi kami yang boleh memenuhi segala kehendaknya seperti menghasil graf, gambar-gambar, CD-Movie dan sebagainya. Jari-jemarinya sentiasa rancak bermain di atas badanku (keyboard).
Linda selalu menjaga kami dengan sempurna dan penuh berhati-hati agar badan kami tidak dijangkiti ‘virus’. Aku rasa amat bertuah kerana dapat berkhimat sepanjang hayatku.

 Kosa kata
Komponen               - bahagian             
Mengharungi          - melalul                   
Rutin                          - kebiasaan
Rancak                     - cepat



Saya sepasang Seluar

    Asal –usul saya adalah daripada kain keras bernama ‘jeans’ dan diberi gelaran sebagai ‘Levis’.Saya kemudiannya dibungkus ke dalam plastik dan dimasukkan ke dalam kotak bersama-sama dengan rakan seperjuangan lain.

    Kami dibawa ke sebuah pusat membeli-belah terkemuka di ibu kota.Seterusnya saya diperagakan oleh seorang jurujual dengan memakaikan ke atas patung manusia. Saya kelihatan anggun sekali.

    Pada suatu pagi,datang seorang pemuda berbadan tegap ke arah  saya lalu dibelek-beleknya diri saya.Nampaknya dia tertawan dengan saya lalu dibelinya saya dan dibawa pulang ke rumah.

    Setelah tiba di rumah,saya dipakai dan dilihatnya pada cermin.Saya rasakan diri saya  amat serasi dengan susuk badan tuan saya.Malang dia tidak berfikirkan begitu.

    Justeru diambilkan gunting lalu dicariknya tubuh badan saya. “Aduh sakitnya……” begitulah raungan saya,namun ia tidak diendahkan olehnya.Kini diri saya dirasakan amat sesuai baginya bersama bahagian lutut yang terkoyak.Tetapi,saya pula meratapi nasib saya yang menjadi semakin lemah dan tidak bermaya.



Kosakata

Diperagakan                      -  dipamerkan         
Tegap                                   -  besar
Serasi                                     -  sesuai
Dicariknya                            -  dikoyaknya


Latihan
Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk “ Aku Sebatang Lilin”

Fungsi Bahasa Melayu



Tiga  fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah.

1.0       Pengenalan.
1.1       Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang bermaksud bahasa yang digunakan secara meluas oleh pihak kerajaan sesebuah negara dari peringkat menteri hinggalah ke peringkat bawahan.
1.2       Bahasa Melayu tergolong dalam bahasa inklusif iaitu salah satu bahasa yang ditempatkan atas bahasa atau bahasa-bahasa yang sedia ada. Bahasa Melayu juga wujud sebagai lambang serta simbol identiti sebuah negara merdeka.Bahasa Melayu kini digunakan dalam pentadbiran sesebuah negara terutamanya dalam urusan rasmi.
1.3       Bahasa Melayu juga adalah bahasa rasmi yang berfungsi sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan sewaktu mereka menjalankan tugas rasmi negara. Ia juga merupakan media pelbagai urusan surat menyurat dalaman dan antara jabatan kerajaan. Bahasa Melayu digunakan dalam semua rekod kerajaan dan sebagai media untuk menulis semua undang-undang negara dan pentadbiran.
1.4       Bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan ialah bahasa yang melambangkan identiti dan kedaulatan negara untuk tujuan perpaduan.Bahasa Melayu diisytiharkan sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia, termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Maka bahasa Melayu menyandang pelbagai fungsi seperti:
· menyatukan rakyat,
· menegakkan persatuan antara kaum-kaum yang mendiami negara ini, menggalakkkan pertubuhan satu corak kebudayaan yang meliputi semua aliran kebudayaan yang terdapat di dalamnya.
· Mewujudkan satu budaya, satu bangsa iaitu pembentukan budaya kebangsaan selaras dengan keinginan dan hasrat membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identiti keperibadian yang dapat dibanggakan dan penuh dengan kesetiaan kepada negara.
· Sebagai alat komunikasi dan pendapat, bahasa harus dikawal supaya dapat memberi manfaat kepada manusia sebagai alat perpaduan kaum.
1.5       Tiga fungsi utama bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah adalah sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi harian.
2.0       Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di sekolah.
2.1       Bahasa ilmu ialah satu saluran untuk menyampaikan sesuatu perkara berkaitan penemuan atau satu hasil kajian. Bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca atau Bahasa perantaraan di Nusantara. Bahasa Melayu telah mencapai taraf bahasa ilmu sejak beberapa abad lalu disebabkan oleh adanya Islam yang membawa fahaman intelektualisme dan  Rasionalisme.
2.2       Setelah Malaysia mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu  menjadi  bahasa pengantar ilmu yang merupakan suatu keutamaan dalam dasar pendidikan kebangsaan.
2.3       Bahasa Melayu yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Perkara 152 Perlembagaan Negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu. Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai peneguhnya iaitu memberi halatuju kepada Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran 1961. Antaranya menyebut mengenai peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran di mana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama dalam institusi pendidikan.  Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar ilmu telah disarankan dalam Laporan Razak 1996 dan kemudian diperkuat dalam Laporan Abdul Rahman Talib 1960. Akhirnya, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu di institut pengajian tinggi bermula pada tahun 1983.
2.4       Di sekolah bahasa Melayu menjadi symbol bahasa ilmu yang berfungsi sebagai elemen:
2.4.1    Memurnikan penemuan-penemuan baru dari lingkungan lain ke lingkungan tertentu yang lebih spesefik  dan mudah difahami oleh murid. Ia adalah bahasa yang berkeupayaan digunakan untuk menyampaikan buah fikiran dan hujah dengan tepat dan berkesan.
2.4.2    Menerangkan suatu situasi khusus di dalam lingkungan yang baru yang menimbulkan masalah dan memerlukan penelitian oleh pelbagai kaum di sekolah di mana kerap kali pengunaan bahasa Melayu berjaya hingga dikemuncaknya dalam  penggunaan laras bahasa saintifik.
2.4.3    Penemuan-penemuan baru dalam bentuk tulisan dari bahasa asing dapat difahami oleh murid atau pelajar, tanpa menimbulkan keraguan penafsiran dalam bahasa Melayu.
2.4.5    Memudahkan kerjasama pelbagai kaum bagi memajukan bidang ilmu di sekolah. Ini kerana sifat kepelbagaian bahasa Melayu yang sempurna serta mempunyai pelbagai cara dan gaya dalam penyampaiannya. Fikiran, perasaan atau pendapat boleh dilahirkan dalam pelbagai cara demi mendapatkan kesan yang berlainan dengan pengunaan bahasa Melayu di sekolah.
2.4.6    Di sekolah bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti fizik, kimia, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan, dan agama. Bahasa Melayu berkemampuan sebagai alat menyampaikan ilmu pengetahuan terkini dan boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka bidang ilmu terkini di sekolah.
2.4.7    Bahasa Melayau terjamin  kesediaan menerima maklumat dan ianya telah dijamin kukuhnya di sisi Perlembagaan Negara serta Dasar Pendidikan Negara.
2.4.8    Bahasa Melayu adalah bahasa wahana ilmu kerana kemantapannya yang memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu dan telah mencapai tahap kesempurnaannya. Sifat keberkesanannya menjadikan bahasa Melayu itu berupaya memberikan maksud dengan tepat dan berkesan tanpa menimbulkan kekeliruan.
2.4.9    Bahasa Melayu mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang kompleks dan abstrak yang dapat menjayakan proses penyampaian dan penerimaan ilmu di sekolah.
2.4.10  Bahasa melayu amat releven di sekolah kerana keintelektualan bahasa Melayu dicapai melalui perkembangan perbendaharaan kata. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang sempurna yang mempunyai ciri-ciri kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan.
2.4.11  Sifat kestabilan bahasa Melayu menjadikannya bahasa ilmu di sekolah kerana ianya mempunyai peraturan/sistem. Ini diperkasakan lagi dengan ciri keindahan bahasanya yang mempunyai kosa kata, pelbagai laras dan gaya bahasa yang sedap didengar, bertenaga, menarik dan dapat menyentuh hati murid di sekolah.
2.4.12 Bahasa Melayu yang berciri kelenturan (flexible) membolehkannya menyesuaikan dan disesuaikan dengan alam sekitar dan pembaharuan-pembaharuan yang berlaku di kalangan warga sekolah. Bahasa Melayu sentiasa berupaya dan dapat disuaikan dengan perubahan masa tanpa mengorbankan sifat-sifat aslinya.

3.0       Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan
3.1       Bahasa Melayu berjaya mengalas peranan sebagai bahasa perpaduan yang merupakan satu alat yang digunakan bagi menyatupadukan antara satu kaum dengan kaum yang lain.
3.2       Dalam Laporan Razak 1956 dinyatakan bahawa, “tujuan akhir dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid yang berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Walau bagaimanapun, kemajuan ke arah ini hendaklah dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat dan tidak boleh dipaksa secara mendadak”. Berdasarkan Laporan Razak jelas bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan dapat membentuk perpaduan kaum di negara ini.”
Malah dalam Laporan Rahman Talib 1960, kedudukan sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Tujuan utama penukaran kedudukan ini adalah untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini di samping memantapkan lagi kedudukan bahasa Melayu secara berperingkat dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Maka bahasa Melayu menjadi teras yang berfungsi sebagai bahasa perpaduan di sekolah. Antara fungsinya sebagai ekemen perpaduan di sekolah adalah:
3.2.1.   Peranan bahasa sebagai alat menyatupadukan bangsa/kaum/kedaerahan yang menjadi bahasa pergaulan atau bahasa perhubungan di antara suku-suku bangsa di seluruh Malaysia.
3.2.2    Bahasa Melayu juga dipakai dalam urusan rasmi dan dalam urusan pentadbiran di sekolah.
3.2.4    Bahasa Melayu juga digunakan sebagai unsur menanamkan kesabaran, keharmonian dan nilai-nilai murni di kalangan warga sekolah.
3.2.5    Kini bahasa Melayu adalah bahasa yang dapat dijadikan alat menyatupadukan fikiran, usaha dan fahaman dalam memperjuangkan kepentingan-kepentingan negara yang sedang giat membangun agenda pendidikan.
3.2.6    Malaysia prlu memiliki rakyat yang bersatu dan saling menerima di antara satu sama lain. Usaha ini hanya mampu dimulakan di peringkat sekolah. Perpaduan adalah pra-syarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
3.3       Tanpa perpaduan yang luar biasa ini British tidak akan menyerahkan pentadbiran Tanah Melayu kepada orang Malaysia sendiri. Apabila perpaduan dicapai, maka pembangunan negara boleh dicapai. Akhirnya wujudlah kuasa momentum yang hebat bermula daripada dasar perpaduan yang kuat dan sentiasa memerlukan. Oleh itu, bahasa Melayu memainkan peranan yang penting sebagai bahasa perpaduan.

4.0 Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi harian.
4.1       Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa konumikasi harian utama sekolah di Malaysia. Ianya pasti dapat merealisasikan penerapan nilai-nilai murni dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
4.2       Bahasa Melayu mula berperanan penting sebagai bahasa  komunikasi penting di sekolah dan  kemuncaknya adalah bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan.
4.3       Marga di sejolah tidak terhad kepada orang Melayu sahaja, tetapi melibatkan semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Tidak syak lagi bahawa Bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaan sebagai bahasa komunikasi harian yang berperanan sebagai alat pengisian fikiran dan melahirkan pendapat.
4.4       Pengunaan bahasa Melayu amat di sekolah amat bersesuaian dengan nilai-nilai aspirasi yang digagaskan dalam konsep 1Malaysia. Gagasan ini menumpukan perkembangan  nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju melalui sistem pendidikan.
4.5       Pengunaan bahasa Melayu dalam komunikasi harian murid dapat memdidik kemahiran berbahasa murid secara harmonis lantas menyediakan landasan mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global.
4.5       Warga pendidik dan pentadbiran sekolah serta ibu bapa terdiri daripada pelbagai jenis kaum yang berbeza agama dan budaya. Maka bahasa Melayu secara sah sebagai bahasa rasmi dalam menjana urusan yang berkaitan.  Warga pendidik perlu bulat pendapat dan bekerjasama dalam membina dan membentuk anak bangsa. Maka mereka  perlu berkomunikasi untuk berbincang dan menyatakan pendapat, perasaan, pengetahuan, dan berinteraksi secara berkesan.
4.6       Pengunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi harian akan membentuk komuniti yang harmonis hidup serumpun. Di sini, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa komunikasi sama ada secara lisan dan tulisan, rasmi mahupun tidak rasmi.
4.6       Pengunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi harian akan memudahkan urusan rasmi berjalan den
4.7       Warga sekolah juga akan terdidik dengan kesantunan serta keindahan bahasa Melayu yang menjadi teras membentuk insan yang cemerlang dan ada jati diri sebagai rakyat Malaysia yang berbudi bahasa, bersopan-santun serta saling hormat-menghormati dengan tidak hanya berkomunikasi bersama satu-satu kaum tertentu sahaja.

5.0       Penutup.
5.1       Pada 30 September 2012,  selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia (UPM), Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan tidak akan mewujudkan sekolah aliran bahasa Inggeris kecuali berlaku perubahan pada Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.
Menurut beliau, akta dan dasar tersebut secara jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan adalah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Justeru katanya, sebagai Menteri Pelajaran, adalah menjadi tanggungjawab beliau melaksanakan sebarang dasar berasaskan pada akta dan dasar tersebut biarpun terdapat permintaan daripada pihak tertentu khususnya ibu bapa untuk mewujudkan sekolah aliran Inggeris.
“Tidak mungkin akan wujud sekolah aliran bahasa Inggeris kecuali ada perubahan dasar dan akta. Selagi akta tidak berubah, dasar itu kekal, maka tidak akan wujud sekolah aliran Inggeris.
“Swasta lain ceritalah. Swasta, bahasa Perancis pun boleh, apa pun boleh.
“Tetapi dalam aliran kebangsaan, ia adalah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia tetapi untuk sekolah jenis kebangsaan, kita setuju bahasa Cina dan Tamil,” katanya pada sidang akhbar .