Salam sejahtera. Terima kasih seawalnya saya ucapkan jika
kupasan saya ada yang diterimapakai dan maaf saya pohon jika berlaku keadaan
sebaliknya. Melalui pembacaan peribadi saya yang masih daif saya hamparkan
bahawa era globalisasi dunia mencetuskan banyak perubahan dalam menghayati
kehidupan selepas arus paskal permodenan. Perubahan terhadap gaya
hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat memberikan kesan dan
menjadi cabaran terhadap nilai, budaya, pemikiran dan corak hidup yang
bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama.
Perkembangan keduniaan masa kini amat pantas hasil ledakan
teknologi maklumat. Setiap hari pelbagai hasil ciptaan baru dari inovasi
teknologi. Maka:
Teknologi dan maklumat telah berjaya menghapuskan batasan
sempadan sesebuah negara. Malahan ia berjaya merubah bentuk pemikiran,
ideologi, budaya dan berbagai elemen luar memasuki ruang negara lain tanpa
sekatan dan kawalan.
John Naisbitt (1990) meramalkan bahawa salah satu daripada
sepuluh kecenderungan manusia di awal abad kedua puluh satu ialah maklumat.
Maklumat sangat berharga dalam dunia globalisasi hingga ia menadi penentu dan
penggerak kepada masa depan.
Kertas kerja ini mengupas isu di mana ledakan teknologi
membawa cabaran dan impak yang kuat terhadap pegangan dan penghayatan
nilai-nilai murni agama serta akhlak masyarakat dan pengaruh negatif yang
merubah minda serta gaya hidup
insan. Ia menghakis dan mengubah paradigma tauhid, syariah dan akhlak mulia
sehingga mengikis nilai-nilai keinsanan.
Jesteru itu, suatu pendekatan dan tindakan yang menggunakan
metodologi Islam perlu dilaksanakan bagi tujuan mengwal, mendidik dan menjamin
agar pengaruh buruk ICT tidak menjadi barah kepada penyakit sosial yang sedia
ada. Pendekatan Islam dikemukakan bagi tujuan mendidik dan mengawal individu
daripada hanyut dan lemas dalam dunia tanpa sempadan
Ditinjau perkaitan
ICT dari sudut bahasa. Kesan menurut Tesaurus adalah efek, akibat, padah dan ekoran.
Manakala menurut Kamus Dewan pula ialah yang turut terdapat
(timbul, digunakan) selain yang asas atau yang utama – masalah kecil dan yang
boleh diselesaikan – hasil-hasil yang turut diperoleh daripada usaha untuk
menghasilkan sesuatu, hasil lain di samping hasil yang utama – kesan-kesan lain
di samping kesan yang utama.
Cabaran menurut Kamus Dewan ialah hasil mencabar
(mempersoalkan, mempertikaikan) – ajakan (untuk berlawan ) – sesuatu (unsur,
faktor) yang mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu
organisasi).
Siber menurut Kamus Dewan adalah sesuatu yang berkaitan
dengan komputer dan internet. Internet ibarat pasar raksasa yang menemukan
pembeli dengan penjual dalam ruang.
Pembangunan menurut Kamus Dewan ialah perihal membangun,
proses membangun (mencapai kemajuan, perkembangan) usaha atau kegiatan
membangunkan (memajukan dan mengembangkan).
Akhlak menurut Ibn Miskawayh ialah sesuatu situasi yang
terbentuk dalam diri seseorang manusia dan ia berfungsi sebagai kuasa eksekutif
yang mengarah orang tersebut melakukan semua perbuatannya.
Masyarakat ialah sekumpulan orang yang hidup bersama di
sesuatu tempat dengan cara-cara dan peraturan-peraturan tertentu.
Istilah dunia siber atau ‘cyberworld’ pertama kali digunakan oleh
William Gibson seorang penulis sains fiksyen dalam bukunya yang bertajuk
Neuromancer( 1984), yang mana beliau gambarkan sebagai “suatu istilah tekno dan
menggugat perasaan tetapi pada dasarnya tidak bermakna, yang berfungsi sebagai
kata laluan untuk semua idea sibernatiknya.”
Kini, isitilah ini menjadi suatu perkataan yang sangat biasa
dan digunakan dengan meluas untuk menggambarkan segala sesuatu berkaitan dengan
komputer, teknologi maklumat, internet dan pelbagai budaya internet. Secara
mudahnya, ia merujuk kepada dunia atas talian, iaitu suatu tempat yang
benar-benar wujud, walaupun sebagai media komunikasi berbanding suatu galaksi
lain.
Antara cabaran-cabaran yang terdapat dalam dunia siber
adalah antaranya :
a) Kesahihan maklumat.
Berpandukan kepada dalil Naqli iaitu ayat al-Quran Allah
berfirman yang bermaksud :
“Sekiranya datang kepadamu
orang yang fasik(jahat) membawa berita maka hendaklah
kamu
berwaspada(berhati-hati) akan kebenarannya”.
Maklumat yang tepat dan benar kesahihannya adalah penting
bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan dan kepalsuan fakta. Terutama sekali
dalam soal ilmu keagamaan yang perlu dipastikan kebenarannya.
Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari jalan
bagi menyeleweng dan melakukan dusta bagi tujuan menyesatkan orang lain. Hal
ini memberi cabaran terhadap proses tradisonal dalam mendapatkan maklumat yang
sahih. Misalnya dengan hanya merujuk kepada bahan dari internet seperti
al-Quran kemungkinan berlaku kesalahan fakta seperti ayat dari versi
Israeliyat.
Oleh itu seseorang perlu merujuk kepada simber asal bagi
mengesahkan maklumat dan mengelakkan kekeliruan. Kesan yang nyata dari amalan
ini ialah ramai pencari maklumat mudah mempercayai bahan yang diperolehi dari
internet. Rujukan maklumat semata-mata kepada internet tanpa pengesahan akan
menimbulkan masalah tentang kebenaran fakta sesuatu maklumat.
b) Pelayaran Web Negatif.
Minat dan kesukaan melawati laman-laman web yang tidak
bermoral dan tidak berfaedahmemberi kesan negatif dalam perkembangan minda dan
fizikal manusia. Ketagihan terhadap laman web negatif mencetuskan kerosakan maruah,
nilai keperibadian, dorongan terhadap jenayah seksualiti, masalah perundangan,
perhubungan interpersonal dan pembaziran wang serta masa.
Kewujudan laman web lucah yang mudah diakses oleh sesiapa
sahaja termasuk anak-anak sekolah, remaja dan golongan dewasa memberi kesan
negatif terhadap perubahan nilai dan gaya hidup mereka. Larangan agama terhadap
perlakuan yang boleh menghampiri zina tidak mampu menyekat remaja dan golongan
dewasa daripada menghindari perbuatan tercela. Sebagaimana firman Allah dalam
al-Quran yang bermaksud
“Jangan kamu hampiri
perbuatan Zina kerana ia adalah amalan yang sangat keji ‘.[10]
Ketagihan internet ini tertumpu kepada cybersex addiction
dan comulsive gambling. Material berkaitan sex begitu mudah dan tersiar di
internet dengan pelbagai dimensi dan ilustrasi pornografi dan chatroom yang
membicarakan unsur-unsur seksual Kewujudan berbagai bentuk laman web negatif
telah mencabar nilai dan gaya hidup insaniah sebagaimana yang diajar oleh
Islam. Pendidikan Islam jelas mencegah umat dari terlibat dalam kegiatan tidak
bermoral. Pendidikan akhlak menurut Islam ialah pembentukan jiwa dan peribadi
muslim yang mampu menjaga dan menjauhi amalanamalan buruk termasuk melayari
laman web lucah. Impak kepada gejala ini maka merebaklah bermacam penyakit
sosial akibat ketagihan seks seperti perzinaan, pelacuran, penularan HIV/AIDS,
Homoseksual dan Lesbian, penyakit kelamin, curang dalam hubungan dan melakukan
seks sebelum kahwin di kalangan remaja. Menurut laporan akhbar dan kajian oleh
penyelidik Universiti Malaya pada tahun 2005 ramai remaja sudah melakukan
hubungan seks dalam menjalinkan perhubungan mereka. Malahan ada yang merakamkan
untuk simpanan peribadi dan disebar untuk umum melalui internet dan telefon
peribadi menggunakan teknologi 3G.
Berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan, Pertubuhan
Kesihatan Sedunia, Universiti Malaya dan sebuah syarikat swasta pada tahun lalu
mendapati 13 peratus remaja berusia 15 hingga 21 tahun pernah mengadakan
hubungan seks sebelum.Kajian itu mendapati 76 peratus daripada respondennya
remaja lelaki manakala 61 peratus membabitkan remaja perempuan.[11]
Dalam kajian lain Kementerian Kesihatan terhadap remaja
bersekolah berumur 13 hingga 18 tahun mendapati 1.8 peratus daripadanya mengaku
pernah terbabit dalam aktiviti seks. Walaupun isu seks bebas remaja membabitkan
kedua-dua jantina lelaki dan perempuan, permasalah lebih besar sering
melingkungi kaum hawa.
c) Penyebaran Fitnah dan Gossip
Kemudahan melalui ICT sering disalahgunakan untuk
kepentingan peribadi. Gejala utama yang selalu dikaitkan dengan teknologi ICT
ialah penyebaran fitnah dan gossip oleh satu pihak bagi tujuan memburukkan,
memalukan atau menjatuhkan pihak lain. Fitnah disebar menggunakan laman web
internet, sms, mms dan media lain terutama di musim pilihanraya. Hal ini
mencabar etika dan tatasusila hidup bermasyarakat dan bernegara. Menurut ajaran
Islam, penyebaran fitnah adalah satu jenayah yang sangat besar. Fitnah memberi
kesan terhadap maruah dan kedudukan seseorang individu serta keluarganya.
Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Fitnah itu lebih merbahaya
dari membunuh”[12]
d) Permasalahan Remaja
Minat remaja terhadap ICT terutama teknologi internet dan
alat komunikasi mendorong mereka menghabiskan masa di cyber café ,internet café
dan telefon tangan. Program seperti chatting, permainan video, sms, mms, 3G dan
berbagai aktiviti melaluinya membawa kesan dan cabaran tersendiri. Kegilaan
anak remaja ini memberi cabaran kepada ibubapa mereka. Ramai pelajar yang
ponteng sekolah, menyalahgunakan wang saku, meminjam wang teman bahkan ada yang
sanggup menipu dan mencuri. Setiap ibubapa adalah pemimpin kepada anak-anak
mereka.
Menurut ajaran Islam setiap pemimpin bertanggungjawab
terhadap pengikut mereka. Kawalan dan penjagaan yang berterusan perlu bagi
menjamin anak-anak tidak terlibat dalam kancah gejala sosial. Hal ini mencabar
pengurusan sekolah, pihak berkuasa dan orangramai terhadap masalah pelajar yang
mengunjungi pusat internet di waktu persekolahan dan selepas persekolahan.
Kesannya ialah pembaziran masa kerana terlalu lama di cyber cafe, tidak ada
kawalan keluarga dan berkembangbiaknya masalah serta gejala sosial di kalangan
remaja. Hal ini menyebabkan kerajaan terpaksa bertindak mengawal aktiviti
kunjungan remaja ke pusat-pusat internet.
e) Aktiviti Perjudian
Pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi yang terlibat
mendapati berlakunya penyalahgunaan pusat internet sebagai pusat judi.
Permainan video yang berorientasikan judi mendapat perhatian di kalangan orang
dewasa dan anak-anak remaja. Kegiatan perjudian mencabar nilai hidup Islam yang
jelas mengharamkan judi. Firman Allah dalam al-Quran bermaksud:
“Wahai orang-orang yang
beriman! Sesungguhnya arak, judi, menenun nasib dan menyembah berhala adalah
kotor dari amalan syaitan . Oleh itu hendaklah kamu jauhi mudahan kamu berjaya”[13]
f) Perubahan Gaya Hidup dan Pencemaran
Bahasa
Perpatah Melayu ada menyebut:
“Yang Kurik Itu Kendi, Yang Merah Itu Saga”
“Yang Elok Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa”
Pengaruh ICT yang menular dalam kehidupan moden hari ini
jelas telah berjaya merubah paradigma sosiobudaya dan bahasa komunikasi.
Penjajahan budaya hidup Barat dalam aspek pakaian, makanan, minuman,
tingkahlaku, hiburan telah menukar jati diri manusia. Pakaian tradisonal setiap
kaum dan bangsa hanya menjadi pakaian rasmi acara atau perayaan. Ia tidak lagi
menjadi pakaian harian yang dibanggakan. Makanan seperti kuih tradisional
bertukar dengan makanan impot dengan pelbagai jenama terkenal di dunia.
Seperkara yang menarik dalam isu ICT ialah berlakunya tanpa disedari iaitu kerosakan
bahasa. Bahasa sms dan chatting memerlukan tulisan yang ringkas dan mudah.
Kesannya terbawa sehingga banyak pihak menerima pakai dalam komunikasi harian
mereka terutama di kalangan anak remaja. Misalnya perkataan Assalamualaikum
sudah diringkaskan dengan berbagai cara seperti Asm.,Akum, Aslam dan Salam
mulai tersebar penggunaannya. Perkataan ini jelas tidak tepat dari susunan
ejaan, kata-kata dan maknanya sendiri. Ianya jelas merosakkan penggunaan
istilah, perkataan dan bahasa itu sendiri.
Dalam tugasan kertas kerja yang ringkas ini adalah tidak
mungkin penulis dapat menghuraikan keseluruhan cabaran-cabaran dan isu-isu yang
berkaitan dengan pengaruh dan penggunaan siber dalam proses modenisasi
masyarakat Malaysia. penulis akan memfokuskan perbincangan kepada beberapa isu
berkaitan dengan generasi muda dan beberapa contoh salah guna ICT. Di antara
perkara yang akan disentuh adalah melayari sumber-sumber/cerita-cerita atau
gambar-gambar yang tidak bermoral; berhubung rapat dengan orang yang tidak
dikenali secara terbuka dan penuh percaya dan; terlibat atau melibatkan dengan
penipuan-penipuan berbentuk kewangan secara terlindung.
Sebagai contoh yang pertama, melayari
sumber-sumber/cerita-cerita atau gambar-gambar yang tidak bermoral. Perkara ini
nampak seolah-olah satu perkara kecil, tetapi mempunyai kesan yang besar kepada
psikolgi dan tindak-tanduk remaja. Akibat daripada sistem pemakanan dan taraf
hidup di Malaysia, (khususnya di kawasan Bandar) umumnya seseorang yang berumur
13 tahun ke atas telah mempunyai tahap kematangan biologi yang mencukupi untuk
menjadi seorang ibu atau bapa. Bermakna seseorang perempuan itu telah mampu
mengandung dan melahirkan bayi, (telah timbul keinginan sex) tetapi dari segi
sosial (dan keperluan sosial dan ekonominya) seseorang itu dalam konteks
masyarakat Malaysia kini dia masih belum mampu. Dia masih memerlukan masa di
antara 8-10 tahun lagi bagi menamatkan pengajian, mendapatkan pekerjaan yang
sesuai (terjamin kewanganya) dan kemudiannya mendirikan keluarga. Dengan melayari
gambar-gambar dan cerita-cerita seks (atau berunsur seks) ini boleh
meningkatkan ransangan dan keinginan melakukan hubungan seks. Seseorang remaja
bukan tidak mengetahui bahawa hubungan sex luar nikah adalah berdosa, risiko
yang besar dan akan menghadapi kesan yang buruk bagi masa depannya, tetapi
ketidak-seimbangan rohani, sosial dan keinginan biologinya menyebabkan
seseorang itu terdorong melakukan hubungan kelamin luar nikah. Meningkatnya
bilangan remaja berumur di antara 13-20 tahun yang sanggup melakukan hubungan
sex dengan rela dipercayai mempunyai hubungan dengan sumber-sumber
gambar/cerita daripada ICT yang berleluasa dan tidak terkawal. Ianya juga
mempunyai hubungan dengan kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa sejak
kebelakangan ini.
Contoh yang seterusnya adalah berhubung rapat dengan orang
yang tidak dikenali secara terbuka dan penuh percaya. Kemudahan ICT juga telah
membuka ruang yang sangat luas bagi seseorang mengenali dan berhubung dengan
seseorang secara lebih bebas dan terbuka. Seorang remaja yang mudah percaya
kepada seseorang yang tidak dikenali (hanya kenal dan berhubung melalui ruang
siber) akan membuka ruang seseorang yang berniat jahat mengambil peluang ke
atasnya. Tahap kematangan yang rendah serta pengaruh emosi serta tekanan keinginan
biologi tanpa kawalan social dan undang-undang yang benar-benar ketat mendorong
berlakunya hubungan rapat yang tidak sepatutnya berlaku. Struktur masyarakat,
persekitaran kejiranan serta struktur keluarga memudahkan seseorang yang
berniat jahat mengambil peluang ke atas sesorang. Misalnya seorang gadis yang
tinggal di kawasan yang jiran-jirannya tidak saling mengenali di antara satu
sama lain dan kedua-dua ibubapanya bekerja dengan kemudahan ICT akan memudah
dan mendorong dia berhubung dengan seseorang yang tidak dikenalinya. Keadaan
akan menjadi lebih mudah jika si-gadis itu berada dalam kesunyian serta
si-lelaki yang dikenalinya itu pula benar-benar pandai berpura-pura bersifat
baik padanya. Kes-kes gadis hilang dan mengikuti lelaki yang tidak sepatutnya
dipercayai mempunyai hubungan dengan persoalan ini. Bahkan ada kes yang
si-gadis yang berkenalan melalui alam siber ini, sanggup terbang ke luar negara
(ke Amerika Syarikat dan ke United Kingdom dan sebagainya) semata-mata kerana
benar-benar percaya berdasarkan semata-mata maklumat daripada komputer. Melalui
ICT dan salah guna serta salahtafsir telah banyak gadis-gadis yang menjadi
mangsa dan telah diperdagangkan dan dijadikan mangsa oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab.
Manakala contoh yang terakhir berakaitan kesan dari sudut
negatif tentang siber dalam sudut ICT adalah terlibat atau melibatkan dengan
penipuan-penipuan berbentuk kewangan secara terlindung. Penipuan dalam bentuk
kewangan ini telah semakin merebak dan semakin ramai mangsanya. Penipuan yang
bermotifkan kewangan ini dilakukan dengan banyak cara di antara contohnya;
tawaran hadiah tertentu kepada seseorang kerana telah terpilih berdasarkan
sesuatu sebab (misalnya alamat e-mail anda bertuah melalui pilihan rambang);
kerjasama dalam pengurusan membawa keluar dana-dana tertentu dalam jumlah yang
besar (misalnya 2 juta USD) dan juga kategori yang lebih kecil jumlahnya
seperti anda telah menerima sebuah kotak hadiah tetapi mesti membayar (melalui
pindahan akaun bank atau kad kredit) sebelum hadiah itu dapat dihantar dan
dituntut. Walaupun kadang-kadang mangsa terasa bahawa ianya mungkin ditipu,
tetapi kadang-kadang penipuan terlindung ini licik dan banyak juga mangsa yang
terkena tipu.
Walaubagaimanapun, terdapat juga kesan-kesan yang positif
yang boleh dilihat dalam pembangunan akhlak masyarakat tentang kebejatan dunia
siber hari ini. Jika dilihat kepada pengunaan kad-kad elektronik pada hari ini,
banyak mendatangkan kesan positif. Sebagai contoh, pengunaan Mykad yang mana
Mykad mempunyai potensi yang besar untuk menggerakkan masyarakat dalam satu
jaringan elektronik kerana menyediakan perkhidmatan seperti ini kepada awam.
Antara perkhidmatan yang boleh digunakan apabila memiliki Mykad seperti
berurusan secara dalam talian bagi mendapat maklumat peribadi, maklumat saman
dan sebagainya. Fungsi Mykad yang lebih meluas seperti ini akan mendorong
sepenuhnya potensi perkembangan masyarakat jaringan di Malaysia, maka wajarlah
kerajaan Malaysia memperkenalkannya untuk kepentingan jangkamasa yang panjang
walaupun wujud isu-isu seperti masalah jaringan dan prasarana, tahap
keselamatan maklumat, mengenai kad mudah rosak dan sebagainya.
KEPERLUAN
ETIKA ISLAM DALAM PENGGUNAAN SIBER (ICT)
Tidak dapat dinafikan bahawa satu standard etika yang syumul
dan menyeluruh amat diperlukan pada zaman ini bagi mengawal dan “mengadapkan”
manusia. Dengan satu harapan suci lagi murni, melahirkan umat Malaysia
khususnya dan dunia amnya yang akan disegani kerana keluhuran budi dan akalnya.
a.
Nilai Murni
Nilai murni ialah nilai yang baik yang dapat membina
keharmonian, kekuatan dan pembangunan individu serta masyarakat . Nilai ini
perlu dikembangkan bagi membendung pelbagai krisis yang dihadapi oleh
masyarakat. Antaranya termasuklah nilai kejujuran, kesetiaan, keadilan dan sebagainya.
Dalam dunia siber ini, di mana Internet menjadi senjata utama manusia, maka
amat perlu dipastikan mereka yang terlibat di dalam dalamnya sentiasa terpandu
dengan nilai ini. Sebagai contoh seorang pengguna Internet wajar tahu setakat
mana hak penggunaannya. Pembuat laman web mesti sedar apakah berita yang
disebarkan itu akan menambah nilai kepada masyarakat atau sebaliknya.
Pengamalan kepada nilai murni ini pastinya akan membimbing manusia ICT.
b.
Nilai Moral
Ia merupakan nilai asas dan fundamental di dalam pembinaan
individu dan masyarakat. Mempertahankan kebaikan dan menolak keburukan serta
tindakan yang memperjuangkan kebenaran perlu dipertingkat di dalam masyarakat
dewasa ini. Semua manusia mesti sedar moral individu yang baik maka akan
lahirlah satu masyarakat yang cemerlang.
c.
Nilai Etika
Masyarakat yang beretika ialah masyarakat yang
mempertahankan tanggungjawab moral dan social, membentuk individu sebagai
anggota masyarakat yang komited terhadap peraturan dan lunas-lunas yang
berhemah. Islam sebagai contoh telah menyediakan asas etika dan akhlak yang
luhur untuk diamalkan oleh semua peringkat manusia di zaman siber ini. Asas
sifat seperti Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fataonah wajar dipraktiskan dalam
seluruh generasi ICT. Sikap Siddiq yang bermaksud “benar” amat besar perananya
dalam hidup manusia. Permasalahan kerakusan “manusia pornografi” akan dapat
diatasi jika manusia seluruhnya sentiasa memastikan setiap tindakan mereka
sentiasa benar. Hal ini hanya dapat dipastikan jika manusia itu punyai iman dan
pekerti yang luhur. Amanah sebagai standard umum perbuatan manusia akan
melahirkan generasi yang “success” dalam segenap lapangan. Penyebar maklumat
yang amanah akan sentiasa memastikan bahan yang disebar adalah betul dan tepat
dan akan dipertanggungjawabkan di kemudian hari. Didikan terhadap perbuatan
amanah ini mestilah dilakukan sejak manusia itu diperingkat “rebung”. Sifat
Tabligh pula akan memastikan amalan menyuruh manusia berbuat kebaikan dan
melarang manusia berbuat kejahatan akan berterusan. Setiap individu yang
terlibat secara landsung ataupun tidak secara lansung dalam dunia Internet dan
maklumat sewajarnya faham akan maksud “tabligh”. Manakala sifat atau standard
Fatonah juga sewajarnya disebarluaskan dikalangan umat ICT. Fatonah yang bermaksud
bijaksana akan mendorong manusia sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan
sesuatu di dalam Internet. Jika sifat ini berjaya ditanam dalam jiwa manusia
seluruhnya maka standard etika yang cemerlang akan berjaya diaplikasikan dalam
masyarakat dunia. Hal ini kerana, “the character of the Muslim community is not
determined by the rituals alone”. Muslim mesti mengetahui bagaimana untuk
memperbetulkan segala serangan dan dakyah yang dilontar terhadap mereka.
d.
Nilai Kerohanian
Nilai kerohanian tidak dapat dinafikan akan kepentingannya.
Ia menjadi benteng ulung bagi membina kekuatan, ketahanan dan peribadi
seseorang. Jiwa yang kuat akan melahirkan individu yang cemerlang. Sebagai
sebuah masyarakat malaysia yang unggul maka sewajarnya kita biasakan diri dengan
nilai kerohania yang mulia. Malaysia akan dipandang mulia jika masyarakatnya
berhati budi dalam segenap perkara, samada dari aspek hubungan individu
hinggalah ke aspek ICTnya.
e.
Nilai Budaya
Nilai budaya ialah nilai-nilai yang mencorakkan kehidupan sesuatu
masyarakat atau bangsa. Budaya masyarakat melayu terkenal dengan identiti
tersendiri yang dipengaruhi kuat oleh adat, kepercayaan, tradisi,
kemasyarakatn, bahasa, baik hati, dan lain-lain lagi. Nilai budaya yang baik .
Jika dilihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai
agama rasmi negara maka sewajarnya nilai-nilai baik ini disebarluaskan
diseluruh pelusUk negara. Kepenggunaan Internet harus diterima dengan hati yang
terbuka, tetapi ia harus di pandu dengan etika dan akhlak mulia agar menjadi
budaya masyarakat Malaysia, melayari Internet untuk mencari maklumat adalah
satu kebiasaan dan maklumat yang diakses hanyalah maklumat yang dapat
memantapkan minda dan hati nurani. Penyemaian nilai hormat wajar diberi
keutamaan. Meletakkan nilai hormat yang tepat dan bersesuaian dengan kehendak
ajaran mulia agama dalam institusi ICT dewasa ini adalah satu kemestian.
f.
Nilai Jujur
Kejujuran adalah asas dalam perlakuan manusia. Bagi
seseorang muslim setiap amal mereka dinilai berdasarkan kepada eikhlasan dan
kejujuran. Nabi Muhammad menjelaskan dalam hadis baginda yang bermaksud “
Setiap amal bermula dengan Niat”. Satu perkara yang dapat kita laksanakan ialah
memaparkan pada papan skrin mengenai etika melayari laman web. Ia dapat membantu
mendidik seseorang daripada melakukan sesuatu yang salah dan membina kejujuran
diri.
PENUTUP
Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur mestilah
melengkapkan masyarakatnya dengan standard etika yang cemerlang bagi melayari
alam siber yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Islam sebagai agama yang
membawa rahmat hendaklah dijadikan rujukan utama di dalam penggubalan standard
etika kepenggunaan Internet, sesuai dengan ciri Islam itu sendiri yang membawa
perubahan menyeluruh samada dari sudut sosial, ekonomi dan sebagainya. Islam
mewajibkan kepada seluruh kaum muslimin agar yang satu menghormati yang
lainnya, yang seorang menjaga kemuliaan diri dan kawannya, keharuman namanya,
kebagusannya dengan hati yang seikhlas-ikhlasnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan