Isnin, 12 November 2012

Kata Hubung



KATA HUBUNG

Kata hubung ialah kata yang berperanan atau berfungsi untuk menggabungkan kata dengan kata, ayat dengan ayat atau frasa dengan frasa. Dalam bahasa Melayu baku, kata hubung dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu kata hubung gabungan, kata hubung pancangan dan kata hubung berpasangan.

Kata Hubung Gabungan
Kata hubung gabungan ialah kata hubung yang digunakan untuk menggabungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa dan klausa dengan klausa.

Contoh:
                atau, bahkan, dan, lalu, kecuali, manakala, melainkan, padahal, sambil, seraya, serta, tetapi

Kata Hubung
Fungsinya
Contoh Penggunaan dalam Ayat

atau
Menunjukkan pilihan
1. Kim belum pasti sama ada akan melanjutkan 
    pelajarannya ke maktab atau ke universiti.
2. “Awak atau saya yang perlu menyiapkan 
    tugasan ini, Zul?” tanya Amin.
dan
Menggabungkan dua unsur yang setara
1. Anjing dan kucing itu dipelihara oleh orang 
   kaya itu.
2. Ah Seng dan Karim pergi memancing di 
   lombong tinggal itu.
kecuali
Menunjukkan kekecualian
1. Semua murid di kelas itu membaca buku di 
    perpustakaan kecuali Shamsudin.
2. Datuk Salleh bekerja setiap hari kecuali pada 
    hari Ahad atau hari kelepasan am.
lalu
Menggabungkan dua perbuatan yang dilakukan secara berturut-turut
1. Milah masuk ke bilik lalu berbaring di atas 
    tilam yang empuk itu.
2. Anjing garang itu menerkam pencuri itu lalu
    menggigit punggungnya.
serta
Menyatakan maksud turut atau bersama-sama
1. Aliah rajin serta gigih berusaha.
2. Ali, Muthu, Salleh, dan Zaidi serta Farid
   bercadang untuk pergi menonton wayang pada 
   hari minggu ini.
sambil
Menunjukkan perbuatan lain dilakukan di samping perbuatan utama
1. Sally menyanyi sambil menari.
2. Kamala berlari sambil menjinjing beg plastik.
tetapi
Menggabungkan ayat dengan ayat yang lain
1. Amran suka makan nasi lemak tetapi dia tidak 
    suka makan roti canai.
2. Rumah banglo itu sungguh cantik tetapi 
    harganya terlalu mahal.


Kata Hubung Pancangan

Kata hubung pancangan ialah kata hubung yang digunakan untuk membentuk ayat pancangan.

Contoh:
                apabila, agar, jika, kalau, kerana, meskipun, selama, sekiranya, semenjak, selagi, sementara,
sungguhpun, supaya, walaupun, ketika

Perhatikan rajah penggunaan kata hubung pancangan yang berikut.


Kata Hubung
Fungsinya
Contoh Penggunaan dalam Ayat

agar
Menerangkan maksud/tujuan
1. Ibu berdoa agar abang lulus dengan cemerlang dalam 
    ujian memandu itu.
2. Kadir sanggup makan ubat yang pahit itu agar dia cepat 
    sembuh.
apabila
Menerangkan masa berlakunya sesuatu peristiwa/kejadian
1. Apabila ditegur, dia merajuk.
2. Dawai itu mengembang apabila dipanaskan.
kerana
Menunjukkan alasan/sebab
1. Kerana demam, dia tidak dapat mengambil bahagian
    dalam sukan itu.
2. Dia dimarahi oleh ayahnya kerana memecahkan sebiji
    gelas minuman.
manakala
Menunjukkan masa dan perkara yang bertentangan
1. Fauzi sibuk menyiapkan kerja sekolahnya manakala 
    rakan-rakannya yang lain asyik bermain sahaja.
2. Mala sibuk menyiapkan hidangan untuk para tetamu yang datang manakala adik dan kakaknya sibuk melayan tetamu.
setelah/
sebelum
sejak
Menunjukkan masa
1. Setelah siap mengemas rumah, Ramlah menyiapkan
   kerja sekolahnya pula.
2. Sebelum ke bandar, Amran meminta keizinan ibunya 
    terlebih dahulu.
3. Sejak berpindah ke ibu kota, Azman jarang pulang ke 
    kampung.
supaya
Menerangkan maksud/tujuan
1. Ibu menyuruh kakak memberus gigi setiap hari supaya  
    gigi kelihatan cantik dan bersih.
2. Pamela menggunakan alat solek yang mahal harganya 
    supaya dia kelihatan lebih begaya dan cantik.

Kata Hubung Berpasangan

Kata hubung berpasangan ialah kata hubung yang digunakan secara berpasangan dalam satu ayat.
Contoh:
                baik…mahupun                                    kian…kian
                entah…entah                                        sedangkan…inikan pula
                bukan sahaja…bahkan juga               sungguhpun…namun
                makin…makin                                       bukan sahaja…tetapi juga
                sungguhpun…tetapi                           sama ada…atau
bagaimana…begitulah                        daripada…lebih baik
jangankan…pun                                   semakin…semakin

· Kata hubung berpasangan ‘baik…mahupun’.
       Digunakan untuk menyatakan maksud sama sahaja.
       Ayat contoh:
                1.   Baik Rosli mahupun Jamal boleh menyertai pertandingan nyanyian itu.
                2.   Sebagai seorang nelayan yang bergantung hidup kepada laut, Pak Ali terpaksa turun ke
      laut juga baik dalam keadaan cuaca baik mahupun keadaan laut bergelora.

· Kata hubung berpasangan ‘bukan sahaja…bahkan juga’.
       Digunakan untuk menyatakan maksud serta atau di samping itu juga.
       Ayat contoh:
                1.   Swee Kim bukan sahaja cantik bahkan juga berbudi bahasa.
                2.   Kamil bukan sahaja peramah bahkan juga pandai berjenaka.


· Kata hubung berpasangan ‘daripada…lebih baik’.
       Digunakan untuk menunjukkan pertentangan maklumat.
       Ayat contoh:
                1.   Daripada membazir wang lebih baik saya menabung.
                2.   Daripada membuang masa lebih baik saya membaca buku.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan