Khamis, 29 November 2012

Karangan Jenis Syarahan



KARANGAN JENIS SYARAHAN 

( hanya sesuai sebagai asas karangan syarahan)


CIRI-CIRI KARANGAN SYARAHAN.

1.Karangan jenis syarahan mempunyai format yang tersendiri.

2.Syarahan biasanya disampaikan untuk pertandingan.

3.Sebelum syarahan disampaikan,pensyarah perlu mengetahui tajuk
   syarahannya terlebih dahulu.

4.Tajuk syarahan lazimnya berkaitan dengan aspek perbincangan dan
   penghuraian pendapat dengan bernas,jitu dan padat.

5.Format yang terdapat dalam karangan syarahan ialah:
    a.Kata-kata aluan dimulakan sebagai pendahuluan dalam ucapan.
        Kata-kata aluan disampaikan mengikut tingkat kedudukan.
    b.Isi-isi dimulakan dengan ucapan terima kasih dan nyatakan tajuk
        syarahan.
    c.Penutup sebuah ucapan akan diakhiri dengan membuat
       kesimpulan daripada tajuk syarahan itu dan ucapan terima kasih. 

Tuliskan sebuah syarahan yang bertajuk ‘Kesan Pencemaran Alam Sekitar Kepada Manusia’.

            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adil, Tuan Guru besar dan seterusnya hadirin sekalian. Selamat Sejahtera saya ucapkan. ‘ Kesan Pencemaran Alam Sekitar Kepada Manusia’, begitulah tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini.
            Pencemaran merupakan pengotoran alam sekitar. Pencemaran dapat dibahagikan kepada tiga iaitu pencemaran udara, air dan bunyi. Keadaan ini berleluasa di bandar dan kawasan perindustrian. Pencemaran ini memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Hadirin yang dihormati.
            Pencemaran udara berlaku apabila gas karbon monoksida daripada asap kilang dan kenderaan dibebaskan terlalu banyak ke udara. Pencemaran ini menyebabkan penyakit jantung, barah, sakit kulit, sakit mata dan sebagainya.
            Pencemaran air pula berpunca daripada pembuangan sisa-sisa kilang ke dalam sungai dan laut. Pencemaran air menyebabkan kepupusan hidupan air. Sumber air bersih juga turut terjejas. Pencemaran bunyi yang mengganggu ketenteraman awam dan boleh merosakkan pendengaran berlaku paling teruk di kawasan bandar.
            Setiap orang mesti sedar dan bertanggungjawab dalam mengatasi masalah pencemaran ini. Sebelum saya mengundurkan diri, ingin saya memohon maaf jika tersalah dan terkasar bahasa. Sekian, terima kasih.

Kosa Kata:
Berleluasa                             : semakin bertambah
Karbon monoksida            : gas beracun
Kepupusan                          : Hilang/lenyap

Kamu akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan kamu ialah ‘ Faedah Melancong’. Tuliskan syarahan tersebut.

            Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang adil, Tuan Guru besar, guru-guru dan hadirin sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah “Faedah Melancong”.
            Melancong memberi banyak faedah. Biasanya kita melancong bersama keluarga atau secara bersendirian. Tempat yang biasa dilawati ialah tempat yang menarik hati dari segi keindahan, pemandangan serta sejarahnya.
            Kita dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman dengan melancong. Jika kita melancong ke luar negara, kita dapat mengetahui kebudayaan dan adat resam negara itu.
            Di samping itu, kita juga boleh menarik pelancong-pelancong luar negara ke negara kita. Pelancongan juga dapat meningkatkan taraf ekonomi sesebuah negara hasil daripada kemasukkan wang melalui pelancong asing.
            Oleh itu, saya berharap perusahaan pelancongan akan mendapat perhatian daripada rakyat dan juga kerajaan. Ini secara tidak langsung menjadikan negara kita terkenal di mata dunia.
Sekian terima kasih.


Latihan

Andaikan anda akan mewakili sekolah anda dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan kamu ialah ‘Kepentingan Semangat Gotong-royong’.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan