Jumaat, 7 Jun 2013

Kepesatan IT dan budaya popular menwujudkan gangguan terhadap budaya bangsa.



Budaya popular ini lebih digemari oleh golongan muda mudi masa kini. Nilai-nilai sosial, world-view dan falsafah yang terdapat di sebalik unsur-unsur budaya tradisi tidak dapat dipisahkan daripada kepercayaan warisan. Tradisi ini mempengaruhi keseluruhan cara hidup orang-orang Melayu masa lalu. Segala unsur budaya itu mempunyai kepentingan tersendiri dalam masyarakat, yang dapat difahami dan dirasai anggota-anggotanya.
             
Dalam masyarakat Melayu yang mengalami perubahan, berikutan pesatnya proses modenisasi dan urbanisasi, nilai-nilai sosial dan world-view yang mereka warisi turut mengalami perubahan. Kedudukan budaya rakyat tidak dapat menyesuaikan dengan keperluan masyarakat moden yang mengalami perubahan itu. Unsur-unsur budaya warisan itu cuba disesuaikan dengan fungsi atau kepentingan baru tetapi umumnya didapati tidak dapat menyesuaikan dengan perubahan cita rasa budaya ramai.
             
Budaya tradisi kita sepatutnya kita pertahankan demi sebagai rujukan dan panduan generasi akan datang. Dalam segi kesenian kita ,terdapat tarian,silat,lukisan batik dan tekstil.Seni Silat atau Pencak Silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu atau Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau.Akan tetapi budaya seni silat juga sudah kurang ketika ini kerana anak muda kita lebih gemar dengan seni mempertahankan diri dari negara matahari terbit.
             
Perkembangan pendidikan dan teknologi moden turut mempengaruhi kelemahan tradisi rakyat. Budaya popular membawa bersamanya nilai-nilai kemodenan dan kemajuan, sedangkan budaya rakyat dianggap tidak menyatakan nilai-nilai itu. Tradisi budaya selalunya berkaitan dengan kepercayaan warisan yang adakalanya dianggap tidak sesuai dengan ajaran Islam. Sebahagian daripada tradisi itu tidak lagi berfungsi atau tidak dapat memainkan peranan dalam masyarakat Melayu moden kini. Adakala tradisi rakyat itu bercirikan kedaerahan, yang tidak dapat difahami mereka dari luar daerah.
             
Dalam kepesatan perkembangan bahan-bahan budaya popular sekarang ini, usaha-usaha untuk mempopularkan unsur-unsur budaya tradisi rakyat perlu dilakukan. Dalam proses penyesuaian sebagai usaha komersial, pembaharuan perlu dilakukan.
             
Jati diri kebangsaan perlu wujud dalam bentuk semangat kebangsaan berasaskan aspirasi yang dikongsi bersama, yakni kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya, selain penerimaan teras Melayu. Walau apapun corak budaya popular yang masuk ke negara kita, budaya tradisional perlu kita pertahankan agar tidak pupus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan