Khamis, 6 Jun 2013

Perbandingan antara mata pelajaran KBSR dan KSSR



Izinkan saya mengupas seadanya beberapa elemen perbandingan antara mata pelajaran KBSR dengan KSSR. Secara umumnya, KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.

Ini bererti Standard Kandungan ialah merupakan suatu penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek

    pengetahuan,
    kemahiran dan
    nilai.

Manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Melalui perbandingannya, secara jelasnya mata pelajaran dalam KBSR menetapkan hasil pembelajaran (learning outcome) sebagai sasaran yang ingin dicapai setelah menamatkan sesuatu prose pengajaran dan pembelajaran (p&p). Namun bagi mata pelajaran KSSR ia menekankan standard kandungan dan standard pembelajaran sebagai sasarannya sewaktu guru merancang pembelajaran dan pengajaran (p&p).

Strategi dalam pembelajaran melibatkan mata pelajaran untuk murid menguasai Bahasa Inggeris dalam  KBSR ialah dasar PPSMI sementara dalam KSSR pula strateginya ialah dasar MBMMBI.

Dasar MBMMBI telah merubah struktur mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dari segi komponen, peruntukan bilangan masa p&p, pendekatan serta mewajibkan kedua-dua mata pelajaran tersebut diajar oleh guru opsyen.

Dalam penilaian mata pelajaran pula, elemen penilaian dalam KBSR menggunakan kaedah konvensyenal ujian dan peperiksaan sementara dalam KSSR pula menggunakan Standard Prestasi (yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan) sebagai panduan wajib guru untuk melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ujian dan peperiksaan sudah tidak lagi wajib dilaksanakan.

Pencapaian atau perkembangan murid bagi setiap mata pelajaran akan dilabelkan dengan band.  Tidak ada lagi nombor (kedudukan) dalam peperiksaan sebaliknya mereka dilabel dengan band dari 1 hingga 6.  Band 6 adalah aras tertinggi sementara band 1 pula adalah sebaliknya.
Saya juga mengambil kesempatan untuk menyatakan bahawa mata pelajaran j-QAF, bahasa komunikasi (sekarang dikenali sebagai modul elektif), LINUS dan pemulihan  masih relevan dalam KSSR walaupun ia lahir pada zaman KBSR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan