Teknik Belajar & Membaca SQ3R
Saya sedar bahawa teknik sangat berguna semasa mengulangkaji dan juga semasa membaca buku. SQ3R adalah singkatan bagiS - Survey (Kaji) - Mengumpul maklumat yang diperlukan supaya anda boleh fokus kepada apa yang dibaca dan fikirkan apa yang mahu dicapai melalui pembacaan.
Q - Question (Soal) - Menyoal diri sendiri untuk membantu minda anda fokus kepada apa yang sedang anda lakukan.
R - Read (Baca) - Baca untuk mengisi maklumat ke dalam struktur pengetahuan yang telah anda bina melalui langkah S dan Q.
R - Recite (Lafazkan semula) - Melatih minda anda supaya fokus dan belajar sambil membaca.
R - Review (Ulang) - Menyusun maklumat yang anda telah perolehi di dalam minda dan mula proses untuk mengingatinya.
Anda mungkin faham jika saya kata ini adalah teknik belajar. Tetapi, apa kena mengena teknik ini dengan pengurusan masa?
Anda tentu pernah dengar kisah pelajar yang belajar 4 hingga 8 jam sehari tetapi masih gagal mendapat keputusan yang beliau kehendaki di dalam peperiksaan. Ia seolah-olah 4 hingga 8 jam itu langsung tidak bermakna. Ini juga mungkin boleh jadi kisah anda sendiri jika anda tidak pelajari teknik ini.
Teknik SQ3R ini melatih anda untuk menjadi seorang yang berkesan dalam melakukan tugas anda sebagai pelajar. Dengan mengamalkan teknik ini, anda akan dapat baca buku dengan masa yang singkat dan ingat serta faham lebih banyak maklumat. Mahukah anda miliki kebolehan seperti pelajar cemerlang ini? Tahniah. Teruskan membaca.
Masalah yang biasa saya dengar apabila pelajar membaca buku ialah, apabila mereka baca muka surat ke-3, mereka sudah lupa apa yang mereka baca di muka surat pertama dan kedua. Jika ini kerap berlaku, usaha anda membaca buku akan jadi sia-sia. Jadi, langkah pertama untuk mengelakkan ini terjadi ialah dengan memulakan dengan S- Survey.
Ini bermaksud, sebelum anda membaca sesuatu atau belajar sesuatu, anda perlu tahu apa yang anda mahu cari sebenarnya. maklumat apa yang anda perlukan dan apa yang anda akan jumpa semasa anda membaca itu. Jika anda mula berfikir begini, minda anda akan jadi lebih fokus.
Ada lagi beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk langkah pertama ini.
- Baca tajuk buku atau bahan bacaan yang anda hendak baca itu. Perhatikan tajuknya betul-betul. Fikirkan, apa agaknya maksud tajuk itu.
- Baca arahan, pembuka kata atau pengenalan oleh penulis buku tersebut. Selalunya, setiap bab dalam buku ada diselitkan ringkasan mengenai bab tersebut. Baca ringkasan itu dahulu untuk mendapat idea apa yang anda akan baca sebentar lagi.
- Perhatikan sebarang huruf besar atau huruf yang dihitamkan dan digariskan. Itu semua adalah petunjuk bahawa ia adalah penting untuk anda ketahui. Jika anda abaikannya, anda mungkin anda tertinggal isi penting dan tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh buku tersebut.
- Perhatikan jika anda gambar atau ilustrasi megenai bab yang akan anda baca. Ilustrasi dan gambar sangat membantu dalam memahami sesuatu. Ia juga banyak membantu anda untuk mengingat kerana anda lebih mudah untuk mengingat gambar, bukan tulisan.
- Teka, apa agaknya yang akan anda baca sebentar lagi. Buat seperti anda sedang bermain teka-teki dengan kawan-kawan anda di mana anda cuba meneka apa agaknya yang bakal anda baca sebentar lagi.
- Lihat soalan-soalan yang disediakan di akhir bab yang anda mahu baca. Selalunya, buku-buku berkaitan pelajaran ada meletakkan soalan di akhir bab untuk anda jawab. Selalunya anda mungkin lihat soalan-soalan ini selepas habis membaca. Tetapi sebenarnya anda akan lebih fokus dan berkesan jika anda baca soalan-soalan ini dahulu. Soalan-soalan ini akan membuka minda anda untuk menyedari apa yang sedang diceritakan oleh bab tersebut dan isi apakah yang penting dalam bab tersebut.
Ada satu perkara yang ajaib mengenai soalan. Soalan boleh membuat minda anda terbuka untuk mempelajari sesuatu. Contohnya, jika anda diberi apa-apa soalan, walaupun anda tidak mahu menjawabnya, minda anda akan terbuka untuk mencari dan menerima jawapannya.
Contohnya, jika saya tanya, bolehkah ayam mengeramkan telur itik? Apakah yang anda bayangkan?
Anda mungkin tidak berminat hendak menjawab soalan ini tetapi saya percaya apabila soalan itu saya ajukan, di minda anda mula terbayang gambar ayam sedang mengeramkan telur itik. Mungkin anda pergi lebih jauh lagi dengan membayangkan ayam membela dan membesarkan sekumpulan anak itik yang menyangka ayam itu sebagai ibu mereka.
Apa yang dapat kita pelajari di sini ialah:
- Apabila anda menyoal diri anda, anda jadi berminat untuk mengetahui jawapannya.
- Apabila anda berminat untuk mengetahui sesuatu jawapan, anda akan jadi lebih fokus. Jika anda sedang membaca dan terfikir tentang sesuatu soalan, minda anda akan jadi lebih fokus kepada apa yang anda baca. Ini akan membolehkan anda jumpa apa yang sedang anda cari.
- Soalan membuat anda sedar apa yang sedang anda cari. Apabila anda sedar apa yang anda cari, anda akan lebih mudah untuk menjumpainya.
“Kamu cari apa ni Ali?”
Ali menjawab, “err… cari….cari….cari apa ye Kasim?” kata Ali sambil menepuk bahu Kasim. Kasim pun kelihatan terpinga-pinga, tidak tahu apa yang dicarinya. Rupa-rupanya, semua 10 pelajar itu tidak tahu apa yang mereka cari. Mereka sekadar mengikut-ikut beberapa orang pelajar yang mencari kunci yang hilang tadi. Apabila pelajar tadi sudah jumpa kunci mereka dan meninggalkan tempat itu, 10 pelajar ini masih lagi mencari.
Semasa membaca atau mempelajari sesuatu yang baru, anda juga kadangkala begitu. Anda tidak pernah bertanya diri anda apa sebenarnya yang anda sedang cari. Jika kita lihat semula cerita tadi, apabila guru bertanya soalan “Kamu cari apa…”, barulah pelajar sedar kenapa mereka tidak dapat jumpa apa yang mereka sedang cari.
Jadi, mulai sekarang, apabila anda mahu baca sesuatu atau pelajari sesuatu, anda perlu mulakan dengan menyoal diri anda, apa yang anda mahu cari sebenarnya. Anda boleh mulakan dengan 3 langkah ini apabila anda mahu mula membaca atau mempelajari sesuatu.
- Soal diri anda, buku ini / topik ini berkenaan apa?
- Buka bahagian akhir bab itu dan cari soalan mengenai bab tersebut. Baca soalan-soalan itu dan cuba fikirkan sama ada anda tahu jawapannya atau tidak. Cuba teka dahulu apakah jawapan kepada soalan itu semua. Ini akan membuat minda anda semakin aktif dan fokus kepada apa yang anda akan baca.
- Soal diri anda, berapa lama aku perlu ambil masa untuk baca bab ini? Apabila anda tetapkan masa untuk membacanya, anda akan jadi lebih fokus dan berkesan. Anda akan tumpukan sepenuh perhatian kerana anda perlu habiskan membacanya dalam maca tertentu. Katakan anda tetapkan untuk baca dalam masa 30 minit, anda pasti akan lebih fokus dalam masa 30 minit itu. Anda juga tidak boleh leka atau khayal.
- Semasa membaca, apabila ada fakta atau cerita yang anda rasa tidak faham atau jelas, soal diri anda, kenapa macam ini? Mengapa ini/itu berlaku? Adakah ini benar? Soalan-soalan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap ingin tahu dalam diri anda. Jika anda pernah baca komik, tentu anda pernah rasa tidak sabar untuk membaca hingga ke akhir muka surat kerana anda ingin tahu apa yang akan berlaku. Perasaan ingin tahu ini pula timbul apabila anda menyoal diri anda tentang apa yang anda baca. Jadi, tingkatkan tahap ingin tahu anda dengan menyoal diri anda sendiri.
Membaca sepatutnya ada kaitan dengan berfikir. Apabila anda membaca, anda akan berfikir. Sebab itulah ada satu pepatah yang mengatakan
Readers are leaders. Leaders are readers. (Orang-orang yang membaca adalah pemimpin. Pemimpin adalah orang-orang yang membaca.)
Persoalannya, mengapa apabila anda membaca anda boleh mempunyai ciri-ciri dan kemampuan seorang pemimpin. Sebabnya ialah, seperti yang saya katakan tadi, apabila anda membaca, anda akan berfikir. Seorang pemimpin yang hebat mesti mempunyai keupayaan untuk berfikir.
Jika selama ini anda membaca sambil merasa mengantuk, anda mungkin tidak berfikir. Jika anda baca tetapi langsung khayal dan tidak sedar apa yang anda baca, sudah tentunya anda tidak berfikir ketika itu (sekurang-kurangnya, anda tidak berfikir tentang apa yang anda baca).
Jadi, anda perlu ingat, semasa membaca, anda perlu berfikir. Bagaimana mahu berfikir? Mudah sahaja. Ingat kembali soalan-soalan yang telah anda fikirkan dalam langkah S dan Q tadi. Apabila membaca, aktifkan minda anda dengan berfikir sambil mencari jawapan kepada soalan-soalan yang telah anda fikirkan tadi.
Apabila anda aktif berfikir untuk mencari jawapan, minda anda akan fokus. Anda akan mampu menumpukan sepenuh perhatian dan minat anda untuk terus mambaca juga akan semakin meningkat.
Apa yang menarik ialah, apabila anda terjumpa jawapan kepada soalan yang telah anda fikirkan, anda akan lebih mudah ingat akan fakta itu. Ini sebenarnya membantu daya memori anda juga.
Ikuti langkah ini:
- Untuk lebih mudah ingat soalan-soalan yang telah anda fikirkan, tuliskan soalan-soalan tersebut di atas kertas dan letakkan kertas itu di sebelah anda ketika membaca. Sekali-sekala, lihat semual kertas itu untuk mengingatkan diri anda kepada soalan-soalan tersebut.
- Jangan risau jika anda merasa sedikit pening apabila membaca disebabkan teknik baru ini. Rasa pening atau tidak selesa itu selalunya menunjukkan bahawa anda tidak biasa dengan teknik ini dan diri anda masih cuba menyesuaikan diri dengan cara baru anda belajar. Sama seperti anda mula-mula menunggang basikal atau belajar menggunakan komputer. Ia terasa tidak selesa, janggal dan kadangkala memeningkan. Tetapi apabila anda sudah biasa, anda akan rasa selesa dan serono menggunakan teknik ini.
- Selalunya, apabila anda membaca dan aktif berfikir, anda akan terfikirkan soalan-soalan baru. Tuliskan soalan itu di atas kertas tadi supaya anda tidak lupa.
- Mungkin tidak semua soalan anda akan dapat terjawab. Soalan yang tidak dapat anda jawab itulah yang patut anda tanyakan kepada guru anda di sekolah atau di pusat tuisyen anda. Penjelasan daripada guru pasti akan membantu anda memahaminya.
(Lafazkan semula ini tidak hanya bermaksud anda perlu sebut dengan kuat apa yang telah anda baca. Anda boleh hanya fikirkan dan sebutkan dalam hati.)
Semasa anda membaca, adalah normal jika anda jadi khayal dan leka hingga anda hilang fokus kepada apa yang anda baca. Ini adalah benar terutamanya anda membaca buku-buku berbentuk teknikal seperti buku Sains, Kimia dan Biologi. Namun anda tidak perlu risau kerana anda boleh kembalikan fokus anda dengan menggunakan teknik ini.
Anda perlu tahu, buku selalunya disusun mengikut bab atau bahagian-bahagian tertentu. Elakkan daripada membaca kesemua bab sekaligus tanpa berhenti dan melakukan langkah ini. Langkah R- Recite ini menyuruh anda:
- Selepas habis membaca satu-satu bahagian atau bab, berhenti seketika dan cuba ingat semula apa yang telah anda baca.
- Ingat semula soalan-soalan anda dalam langkah awal tadi dan cuba jawab soalan-soalan tersebut. Anda cuma perlu jawab dalam minda anda sahaja. Jika anda tidak dapat jawab, buka semula muka surat yang anda telah baca dan cari semula jawapan tersebut dengan pantas. Aktiviti ini akan menambahkan kecekapan anda dalam mencari sesuatu maklumat dalam buku atau mana-mana bahan bacaan.
- Jika boleh, jangan teruskan membaca selagi anda tidak tahu apa jawapan yang anda sedang cari melalui bab tersebut.
- Setelah anda yakin anda faham dan dapat jawab soalan tersebut, teruskan membaca bab dan bahagian seterusnya.
Langkah terakhir ini adalah sangat penting untuk memastikan anda ingat apa yang telah anda baca. Jika anda ada belajar tentang teknik memori, memori anda terbahagi kepada memori jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Jika anda baca sepintas lalu sahaja, maklumat itu semua hanya akan singgah di memori jangka masa pendek anda sahaja.
Ini bermakna, anda akan lupa semua maklumat itu dalam masa yang sangat singkat. Ada satu kajian yang mengatakan bahawa kita akan lupa lebih daripada 90% apa yang telah kita pelajari dalam masa 48 jam sahaja. Ini bermakna, jika anda baca buku pada hari Isnin, anda akan lupa hampir kesemuanya pada hari Rabu atau Khamis. Sia-sia bukan?
Jadi anda perlukan langkah terakhir ini. Apa yang patut anda lakukan ialah:
- Setelah anda habis membaca, lihat semula semua soalan yang telah anda fikirkan tadi. Cuba jawab semua soalan itu di dalam minda anda. Jika anda rasa anda yang anda tidak berapa ingat, anda boleh buka semula muka surat yang berkenaan dan cari maklumat tersebut.
- Bayangkan apa yang anda baca tadi dalam bentuk tayangan gambar, atau bayangkan apa yang anda baca tadi sebenarnya diceritakan oleh guru anda. Bayangkan anda melihat tayangan gambar dan penerangan itu dari awal hingga akhir.
- Anda juga boleh bayangkan soalan itu keluar dalam kertas peperiksaan di sekolah anda. Bayangkan, jika soalan itu benar-benar keluar, apa yang akan anda jawab.
- Akhir sekali, antara aktiviti yang paling berkesan untuk membuat anda ingat apa yang anda baca ialah dengan menulisnya di atas kertas. Anda tidak perlu tulis cantik-cantik seperti menulis nota yang lengkap. Anda cuma perlu menuliskan isi-isi penting yang telah anda pelajari menggunakan ayat anda sendiri.
Apabila anda sudah kuasai dan biasa dengan teknik ini, anda akan dapati diri anda lebih fokus terhadap apa yang anda baca. Anda juga akan sedar bahawa kebolehan anda untuk mengingat apa yang anda baca meningkat dengan mendadak. Ini semua adalah kerana teknik ini menggalakkan kebolehan anda untuk berfikir dengan aktif semasa anda membaca.
Banyak lagi kelebihan lain yang akan anda perolehi sebenarnya. Cuma, untuk lebih berkesan, anda perlu cari kelebihan-kelebihan itu semua dengan usaha anda sendiri. Saya ucapkan selamat berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan