Khamis, 6 Jun 2013

sistem pendidikan KBSR dan KLSR



Izinkan saya memurnikan sesi ini seadanya.  Secara peribadi saya dapat hayati bahawa antara matlamat lain yang ingin dicapai dalam sistem pendidikan ialah


  •     memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan sosial, kebudayaan dan politik ,
  •     menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih bersistematik dan selesa kepada para pelajar,
  •     meningkatkan taraf pendidikan di seluruh negara serta melaksanakan pendemokrasian pendidikan tanpa mengira bangsa, kaum mahu pun agama.


 Maka dalam memurnikan sistem pendidikan negara, wujud perbezaan asas matlamat antara KLSR dan KBSR. Saya cuba jelaskan prbezaan ini semampunya dalam bentuk perbandingan maklumat.

Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR)

Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) mula dilaksanakan sejak Negara mencapai kemerdekaan. Pada tahun 1960, sebuah Jawatankuasa Penyemak Mata pelajaran telah dibentuk yang dikenali sebagai Laporan Rahman Talib. Jawatankuasa ini diketuai oleh Menteri Pelajaran ketika itu, iaitu Abdul Rahman Talib.

Laporan Rahman Talib telah mencadangkan beberapa aspek pendidikan. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama di setiap sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Laporan Rahman Talib ini kemudiannya dibentangkan di Parlimen dan diluluskan yang mana kemudiannya dikuatkuasakan dalam Akta Pelajaran 1961.

Sejak itu, perkembangan pendidikan kebangsaan selanjutnya adalah berdasarkan kepada polisi pendidikan kebangsaan yang tercatat dalam Akta Pelajaran 1961 ini. Seterusnya pada tahun 1966 Laporan Razak telah diperkenalkan. Sekolah  umum menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sementara sekolah jenis umum seperti sekolah Inggeris, sekolah Cina, dan Tamil boleh menggunakan bahasa pengantar masing-masing. Satu sukatan yang sama diwujudkan untuk semua sekolah.

 Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)

            Perlaksanaan KBSR adalah susulan daripada perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perlaksanaan Dasar Pelajaran yang dikeluarkan pada tahun 1979. Kajian yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Kabinet ini terhadap Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) yang telah dilaksanakan sejak merdeka tersebut mendapati bahawa terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi.Antaranya termasuklah


  •     isi kandungan sukatan pelajaran yang berulang dan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
  •     Keduanya ialah dari segi sukatan pelajarannya yang terlalu banyak sehingga membosankan murid.
  •     Yang ketiga ialah guru dan murid terpaksa menghabiskan sukatan pelajaran apabila menjelang peperiksaan.
  •     Aspek keempat ialah pengajaran dan pembelajaran adalah menggunakan buku teks tanpa menggunakan sebarang bahan bantu lain.
  •     Aspek kelima ialah aktiviti kokurikulum dijalankan secara berpisah dan tiada kaitan dengan kurikulum formal bilik darjah.

Antara objektif penting pembentukan KBSR yang perlu dicapai ialah yang pertama, murid dapat menguasai dan menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai alat perpaduan dengan baik dan memuaskan. Rancangan KBSR juga telah menekankan penguasaan terhadap kemahiran asas 3M iaitu membaca , menulis dan mengira.

Di samping itu juga, ia juga memberi tumpuan terhadap


  •     perkembangan individu secara menyeluruh yang meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).
    Aspek pengajaran nilai-nilai murni dan kewarganegaraan juga turut ditekankan berbanding KLSR sebelum ini.
    Pengajaran mata pelajaran moral dan Pendidikan Islam pula menjadi unsur kesepaduan dalam pengajaran, bukannya terletak pada guru agama sahaja.
    KBSR dibahagikan kepada tiga bidang asas iaitu bidang komunikasi, bidang kemanusiaan dengan persekitaran dan bidang perkembangan diri individu.
    Bidang komunikasi pada asasnya terdiri daripada komponen Kemahiran Asas yang mengandungi mata pelajaran Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris serta Matematik.
    Bidang Kemanusiaan dan Alam Sekitar pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Kerohanian, Nilai dan Sikap serta Komponen Kemanusiaan dengan Alam. Mata pelajaran yang mewakili bidang ini ialah mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
    Bidang yang ketiga pula iaitu bidang perkembangan diri individu terdiri daripada komponen Kesenian dan Rekreasi yang mengandungi mata pelajaran Muzik, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan